14 Nov 2010

Salah Orang, Janda Yang Ditangkap Itu Bukan Saya

Janda ditangkap itu bukan saya’

KAMPUNG BENDANG MAN - Gara-gara sikap orang ramai yang mudah membuat spekulasi mengikut andaian sendiri, seorang ibu tunggal terpaksa menanggung malu walaupun bukan kesalahannya tetapi dia dituduh melakukannya.

Menurut Rokiah Abdullah atau dikenali sebagai Ani, 44, berkata, dia baru menyedari perkara tersebut kelmarin setelah diberitahu oleh seorang jiran yang kesian melihat dirinya difitnah tanpa usul periksa.

Katanya, perkara itu terjadi selepas Sinar Harian melaporkan kisah mengenai suami orang ditangkap berkhalwat dengan seorang janda oleh Pejabat Agama Daerah Sik (Pads) di Lata Mengkuang pada 21 Oktober lalu.

“Dalam berita tersebut, secara kebetulan kisah wanita yang ditangkap itu mempunyai sedikit persamaan dengan diri saya iaitu dua kali menjanda dan mempunyai lima anak, namun umur wanita tersebut adalah 37 tahun.

“Pada mulanya saya tidak menyedari apa-apa, kerana sewaktu berita itu keluar saya tidak sempat membelinya (akhbar Sinar Harian), tetapi setelah semakin ramai orang menyangka wanita yang ada dalam gambar itu adalah saya, saya bertekad untuk membetulkan keadaan,” katanya.

Rokiah berkata, dia terkilan dengan sikap sesetengah pihak yang suka melemparkan tohmahan tanpa usul periksa sehingga menjejaskan kesejahteraan hidup orang lain terutamanya dalam kalangan insan bergelar janda.

“Semenjak dari itu saya mula dipandang sinis oleh segelintir penduduk kerana mereka menyangka saya yang melakukannya tambahan pula keadaan fizikal wanita tersebut lebih kurang saya, tetapi gambar muka dikaburkan untuk mengelakkan dari dikenali.

“Perasaan malu saya semakin menebal ketika mengunjungi majlis kenduri di kampung, walaupun tidak melakukannya tetapi sangkaan orang mengatasi segalanya dan perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan maruah saya,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima orang anaknya kini telah meningkat dewasa, yang sulung berusia 25 tahun dan mempunyai seorang anak, manakala anak kedua menolongnya menoreh getah, seorang di sekolah menengah serta dua anak bongsunya baru tamat sekolah rendah.

“Bagi menjernihkan kembali keadaan dan mengubah persepsi orang kampung, saya berani tampil ke depan untuk menjelaskan perkara yang sebetulnya dan saya sama sekali tidak terlibat dalam kes tersebut.

“Saya percaya sekiranya tohmahan seperti ini berterusan akan menjejaskan kehidupan kami sekeluarga, terutamanya anak-anak yang baru meningkat remaja sedangkan semua tohmahan tersebut tidak berasas sama sekali,” katanya. -SH

2 ulasan:

otaistillkick berkata...

Bersabar dan berserah pada allah

http://relaxkedaikopi.blogspot.com/2010/11/haji-dan-korban-tahun-ini-bertemu-lagi.html

Tanpa Nama berkata...

Itulah budaya masyarakat Malaysia mudah percaya tanpa usul periksa, mudah buat andaian tanpa bukti dan akhirnya suka sangat mencari dan mendedahkan kesalahan orang lain.