14 Nov 2010

Kemalangan Maut Libatkan 2 Pelajar UiTM

2 penuntut UiTM maut nahas

Gambar: KEADAAN kereta yang dinaiki empat sahabat pelajar UiTM yang terbabit dalam kemalangan maut di KM 47.7 berhampiram susur keluar Tol Alor Setar Utara, 7 pagi ini. Dalam kejadian itu dua maut, dua lagi parah. Foto: Syaharim Abidin

ALOR SETAR: “Malam Rabu lalu, arwah Syazwan bersalaman dengan saya dan berkata tak sabar untuk mengikut rakannya ke Pulau Pinang.

“Saya pelik kerana dia nampak tergesa-gesa pada malam itu. Saya tak sangka itu antara tanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Muhd Najib Zakaria, 18, rakan Syazwan Azizan, 19, yang maut bersama seorang lagi rakannya, Azrul Hadi Azizzan, 18, manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 47.7, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran susur keluar Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, Syazwan dan Azrul Hadi maut, manakala Muhammad Aiman Ismail, 18, patah tangan dan kaki, sementara pemandu kereta, Faris Abdul Ghani, 18, cedera ringan selepas kereta Perodua Viva dinaiki terbabas dan melanggar pokok.

Keempat-empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu dalam perjalanan pulang ke Perlis selepas menziarahi ibu Azrul Hadi di Pulau Pinang.

Muhd Najib berkata, dia pelik dengan sikap Syazwan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Teh di kalangan rakan sekuliah sebelum dimaklumkan rakan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Sementara itu, bapa saudara Azrul Hadi, Abdul Rahman Omar, 68, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Arwah mungkin pulang ke rumah kakaknya di Pulau Pinang untuk menziarahi ibunya yang mengalami darah tinggi. Sejak bapanya meninggal dunia tiga bulan lalu, ibunya Mariam Md Saman, 45, mengikut anak perempuannya ke Pulau Pinang.

“Saya tak sangka arwah pergi terlebih dulu daripada kami. Dia seorang yang periang dan selalu mendengar kata orang tua,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.

Difahamkan, empat sahabat baik itu mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perladangan di UiTM berkenaan dan baru mendaftar masuk ke universiti itu pada Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghaffar Rajab berkata, empat penuntut lelaki berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Arau, Perlis.

“Kereta Perodua Viva dipandu Faris dikatakan cuba mengelak ‘objek’ melintas di lebuh raya menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas,” katanya.

1 ulasan:

Amuraria berkata...

ORANG MELAYU NI PELIK ,SETIAP KALI ADA KEMALANGAN AKAN ADA SAJA 'KEADAAN' ATAU 'KEJADUIAN' PELIK ATAU TANDA-TANDA SI MANGSA AKAN MENUNJUKKAN KELAINAN ATAU APA-APA SAJA .TERUTAMA MEDIA HAPRAK KAKI BODEK & KELENTONG DARI UTUSAN MELOYA,BERITA HAIRAN JUGA AKHBAR-AKHBAR MELAYU LAIN ,MESTI ADA SAJA MERAPU KONON MANGSA KEMALANGAN ATAU MAUT AKAN TUJUK APA-APA ! APA PUNYA KEPERCAYAAN MERAPU ! ISLAM DAH ADA KETENTUAN NYA BUKAN SOALAN BANGANG WARTAWAN 'APA ATAU ADA KA TANDA-TANDA ARWAH TUNJUK SEBELUM MENINGGAL !