29 Nov 2010

Mampukah PKR Lulus "UPSR" Politik?

Selepas 11 tahun apakah PKR akan lulus ‘UPSR’ politik?

Kongres Nasional PKR menutup tirai dengan Anwar diberikan penghormatan agar terus menerajui parti itu, yang tidak pernah bebas daripada serangan bertubi-tubi.

ANALISIS, 29 Nov — Semenjak Malaysia merdeka, majoriti besar rakyat negara ini memberikan sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN). Namun sejak dua tahun lalu, senario itu berubah apabila mereka mula mengubah arah kepada pembangkang yang membawa kepada kelahiran Pakatan Rakyat (PR).

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tunjang kepada penyatuan tiga parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PKR, PAS dan DAP.

Malah, perubahan senario politik negara bermula apabila PKR mengangkat martabat semua kaum di Malaysia sama ada Melayu, Cina, India dan Bumiputera.

Melalui usaha ini dilihat majoriti besar rakyat di negara ini memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-12.

Malah, dalam pilihan raya umum itu majoriti besar masyarakat India di negara ini meletakkan harapan kepada Pakatan Rakyat dalam membela nasib kaum itu yang selama ini didakwa tidak diberikan perhatian oleh kerajaan BN.

PKR yang ditubuhkan 11 tahun lalu dianggotai kira-kira 400,000 ahli dengan peratusan ahli 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus Sabah dan Sarawak.

Jika melihat daripada struktur rakyat di negara ini ternyata masyarakat India dilihat semakin jauh tertinggal jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu dan orang Cina.

Sepanjang 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, kerajaan BN seolah-olah mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat India.

Walaupun, MIC yang merupakan parti bagi masyarakat India, namun sehingga kini part komponen BN ini dilihat gagal menjalankan tanggungjawab untuk membela nasib masyarakat India.

Persoalannya sekarang sekiranya BN gagal membela nasib masyarakat India, adakah PKR bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut?

Di PKR pula lima pemimpin kalangan masyarakat India bertanding kerusi naib presiden tetapi semuanya tewas.


Jika dilihat melalui kempen dan ceramah yang diadakan jawapannya adalah “ya”. Tapi adakah PKR benar-benar serius atau hanya sekadar gimik politik semata-mata mahu menang dalam pilihan raya?

Malah dalam Kongres Nasional PKR yang berakhir semalam menunjukkan kepimpinan dan perwakilan parti itu tetap melaungkan slogan “keadilan untuk semua rakyat”.

Jika dilihat sepanjang kongres tersebut dijalankan, majoriti besar perwakilan membangkitkan isu kesemarataan bagi semua kaum ni negara ini.

Kelima-lima usul iaitu usul menyokong ucapan dasar presiden, usul pemberdayaan demokrasi, usul pendidikan, usul ekonomi dan usul memartabatkan maruah bangsa dan ketuanan rakyat yang dibentangkan perwakilan dalam kongres itu semuanya menyentuh soal menjunjung asprasi reformasi rakyat.

Melalui pembahasan itu, jelas membuktikan PKR sememangnya serius untuk memberikan keadilan seterusnya memartabatkan semua masyarakat di negara ini.

Bak kata pepatah Melayu “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”.

Selain itu, kongres yang berlangsung selama tiga hari ini turut menyentuh soal memantapkan dan memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan akan diadakan pada tahun depan.

Malah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar presiden berkata semua ahli parti itu bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata semua ahli parti tidak mempunyai pilihan kecuali untuk bersiap sedia kerana memikul amanah besar untuk membela rakyat.

“Kita berkumpul pada hari ini di dalam kongres yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, kalau desas-desus yang kuat bertiup itu benar.

“Apa pun, kita tidak punya pilihan kecuali untuk bersiap sedia secukupnya kerana kita memikul amanah besar untuk membela rakyat. Kalau ada yang pernah luka, hilangkanlah parutnya.

“Kalau ada yang sedikit tercalar, gilaplah supaya semangat juang kembali tinggi untuk berdepan dengan musuh. Yang menang memikul tanggungjawab memimpin, yang kalah bersiap sedia merempuh musuh bak kata pepatah biduk lalu kimbang bertaut,” katanya.

Malah Dr Wan Azizah turut berkata amanah membela rakyat dan mengangkat martabat negara adalah lebih besar dari parut atau calar dalam parti itu.

Persoalan juga timbal berhubung sama ada kepimpinan baru PKR yang diumumkan secara rasmi mampu membawa perubahan yang besar kepada parti itu.

Bagi jawatan timbalan presiden PKR ia dimenangi Azmin Ali yang sebelum ini menyandang jawatan naib presiden parti.

Empat jawatan naib presiden PKR disandang Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman.

“Masa depan PKR kini bergantung kepada sejauh mana kepimpinan baru ini mampu meyakinkan semula rakyat terutamanya ahli parti sendiri selepas berakhirnya pemilihan yang telah menimbulkan banyak persoalan dan masalah.

“Jika tanya kepada saya, tiada perubahan yang besar pun dalam kepimpinan baru ini tetapi mereka perlu buktikan kepada ahli bahawa mereka benar-benar layak untuk memegang jawatan itu,” katanya penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian.


Sementara itu Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat struktur kepimpinan baru PKR itu masih tidak menampakkan parti itu benar-benar kuat apatah lagi untuk menghadapi pilihan raya umum.

“Dari segi kepimpinan yang baru saya tidak lihat banyak perubahan yang boleh dilakukan.

“Tapi saya berpendapat PKR boleh menjadi kuat sekiranya dapat memulihkan semula keyakinan ahli dan rakyat kepada parti itu selepas banyak masalah yang timbul selama ini,”
katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Walaupun banyak persoalan yang timbul berhubung kepiminan baru PKR namun adalah lebih baik sekiranya mereka yang terpilih ini terlebih dahulu menjalankan tugas dan peranan masing-masing supaya ia boleh dinilai ahli.

PKR tidak bebas daripada serangan bertubi-tubi sejak ia ditubuhkan. Yang terbaru berkaitan dengan krikan dan kecaman cara yang mengendalikan pemilihan parti,

Dalam ucapannya Anwar berkata parti itu akan terus dengan bertahan walaupun Umno-BN terus-menerus menyerang beliau dan PKR.

Persoalannya apakah PKR mampu berbuat demikian selepas lebih satu dekad ia menghadapinya. Dilihat daripada sudut persekolahan seseorang kanak-kanak, PKR akan menduduki peperiksaan UPSR tahun depan. Apakah ia akan berjaya ujian itu tahun depan? -TMI


Tiada ulasan: