25 Nov 2010

Kes Sosilawati: Tertuduh Fail Notis Dakwa Dipaksa Buat Pengakuan

Pembunuhan Banting: Tertuduh Fail Notis Dakwa Dipaksa Buat Pengakuan

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya memfailkan notis usul bagi memgemukakan bukti baru berhubung dakwaan berlaku paksaan untuk dia mengaku salah atas pertuduhan tersebut.

K. Sarawanan (gambar), 19, turut mendakwa dipukul, disepak pada bahagian kemaluan dan diugut yang menyebabkannya berbohong mengaku telah melakukan kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, dia memfailkan notis usul terbabit menerusi peguam A.S. Dhaliwal untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi di sini, memanggil dan memeriksa rekod prosiding yang berlaku di Mahkamah Majisret Telok Datok, Banting, dekat sini bagi tujuan memastikan kebenaran, keesahan dan ketepatan prosiding terbabit.

Dia juga memohon supaya mahkamah meminda dan membetulkan fakta-fakta yang telah dikemukakan sebelum ini kerana fakta-fakta yang tidak benar telah menyebabkan dia menjadi pihak yang terkilan dan tidak mendapat keadilan.

Dhaliwal pula memberitahu, notis usul tersebut difailkan pada Rabu, dan sehubungan itu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin menangguhkan prosiding semakan kehakiman dan rayuan Sarawanan kepada 10 Januari depan bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan membalas afidavit yang difailkan oleh Sarawanan.

Pada prosiding sama, peguam Amer Hamzah Arshad yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi tertuduh utama pembunuhan itu, N. Pathmanathan, turut memberitahu, pihaknya telah memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran bagi mencelah dan berhujah dalam pendengaran semakan dan rayuan oleh Sarawanan.

Permohonan untuk mencelah dibuat atas alasan pertuduhan terhadap Sarawanan dan seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh jelas menyentuh dan mengaitkan diri yang akan memprejudiskan diri Pathamanathan.

Pada 15 Oktober lalu, Sarawanan dan Suresh mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi yang lain, iaitu Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Rahim dan Kamaruddin Shamsuddin.

Semua mangsa dilaporkan hilang selepas menuju ke Banting untuk satu urusniaga pembelian tanah sebelum disahkan telah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dicampakkan ke dalam Sungai Panchau.

Selain Pathamanathan, mereka yang turut didakwa atas tuduhan membunuh semua mangsa ialah T. Thilaiyagan, R.Matan dan R.Kathavarayan. -mstar

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Takut jugak si tambi tuh bila macam dah ternampak tali penggantung. Cuba nak berhelah. Kita tengok. Adakah pihak pendakwa atau pembela yang menang. Pendakwaan beasaskan kerja pihak tertentu khususnya polis.

Tanpa Nama berkata...

Biasalah...Tak kenal ke/@#$%^&