25 Nov 2010

Bangunan Parlimen Perlu Ubahsuai Keseluruhan

Bangunan Parlimen perlu ubahsuai keseluruhan," Shaziman

Gambar: Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor (kiri) ketika meninjau lokasi berlakunya kebocoran di bumbung bangunan Parlimen di sini, hari ini. Semalam di ruangan kafeteria Ahli Parlimen sekali lagi mengalami kebocoran akibat hujan lebat. Turut kelihatan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim (dua kiri) foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya memberi jaminan bahawa bangunan Parlimen selamat untuk digunakan tetapi pihaknya akan membuat cadangan untuk melakukan ubahsuai keseluruhan bangunan kepada Jemaah Menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat bumbung dewan makan ahli parlimen petang ini, Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, cadangan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi.

"Sebelum ini ubahsuai yang kita lakukan hanya di tempat yang berlaku kerosakan (kebocoran). Memandangkan bangunan Parlimen sudah berumur 47 tahun maka ubahsuai secara menyeluruh mesti dibuat.

"Tetapi untuk membuat ubahsuai semuanya, dewan persidangan terpaksa dipindahkan ke dewan di luar bangunan Parlimen," katanya.

Semalam, beliau melawat atap bangunan Parlimen yang bocor akibat hujan yang lebat.

Bagaimanapun, menteri kerja raya itu tidak dapat memberitahu jumlah kos yang diperlukan untuk membaik pulih secara keseluruhan bangunan Parlimen tetapi akan dimaklumkan setelah dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Bangunan ini telah melalui beberapa kali pengubahsuaian menyebabkan kebocoran berlaku melalui sambungan di kawasan berkenaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pemeriksaan setiap kali hujan. Menurutnya, pada mula kebocoran itu disebabkan oleh saluran air tetapi setelah diperiksa ia berpunca daripada pelbagai faktor setelah hujan lebat. -FMT


Bangunan Parlimen kekal di KL, tapi diubahsuai RM485 juta
Oleh Clara Chooi November 23, 2010

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Menara Parlimen berusia 47 tahun akan kekal di ibu negara tetapi akan melalui pengubahsuaian yang menelan RM485 juta – melibatkan pembinaan sayap baru dan bangunan tambahan enam tingkat bagi tujuan pentadbiran ahli-ahli Parlimen.

Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu The Malaysian Insider bahawa kerja-kerja itu akan dimulakan pertengahan tahun depan.

Rancangan itu kini menunggu kelulusan Kabinet.

“Saya telah bercakap dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya dan mereka telah diminta disediakan satu kertas kerja untuk dikemukakan kepada Kabinet waktu terdekat,” kata beliau ketika ditemui di Parlimen.

Nazri berkata beliau ada menerima maklum balas daripada ahli-ahli Parlimen daripada kesemua parti mengenai langkah menambah sayap dewan dan bangunan tetapi sebulat suara tidak bersetuju Parlimen dipindahkan ke tempat lain.

“Kesemua ahli Parlimen mengatakan bahawa Parlimen harus kekal di sini dan itu adalah asas kertas kerja JKR yang akan dibawa ke Kabinet,” katanya.

Menurut Nazri kerja-kerja pengubahsuaian akan mengambil masa tiga tahun.

Ia akan bermula dengan pembinaan sayap baru dewan di gelanggang badminton pada kos RM55 juta.

Sayap dewan itu akan menempatkan Dewan Rakyat dan Senat buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pengubahsuaian selesai.

Bangunan enam tingkat pula akan menelan kos RM300 juta.

Sebaik sahaja kedua-dua premis itu selesai, kata Nazri, sidang Parlimen akan dipindahkan ke sayap baru itu sementara kerja-kerja mengubahsuai Parlimen akan dimulakan.

“Ia akan memakan masa 18 bulan lagi dan akan menelan kos RM130 juta,” katanya.

Dalam pada iti, kejadian bocor yang berlaku di kafeteria Ahli Parlimen, yang terletak bersebelahan Dewan Rakyat, petang ini menyebabkan sebahagian daripada kafetaria itu terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja menyedut keluar air.

Punca sebenar kebocoran bumbung itu, yang berlaku kira-kira 2.50 petang, belum dikenal pasti, kata Nazri.

Beliau menjelaskan kebocoran bumbung kafeteria itu disebabkan Parlimen adalah bangunan lama dan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu dilakukan oleh JKR.

Kebocoran di bahagian bumbung kafeteria itu disedari kira-kira 20 minit selepas Dewan Rakyat berhenti rehat dan dikatakan ekoran hujan lebat mulai kira-kira 1 tengah hari tadi.

Antara kejadian bocor berlaku di Parlimen ialah pada 28 April 2005 akibat kesilapan teknikal penutup kabel elektrik pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pada 7 Mei 2008, kejadian bumbung bocor berulang di Parlimen apabila air keluar dari saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nazri berkata Parlimen tidak akan berpindah atas sebab kerosakan yang berlaku dan bersedia menerima cadangan daripada Ahli Parlimen untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan pula meminta pengurusan Parlimen menyiasat kebocoran itu dan perlu segera membaikinya. -TMI


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lebih baik ganti kerajaan yang menerajui BN, dah lama dahhhhh

Tanpa Nama berkata...

BN sengaja biar berlaku, supaya orang ramai pertikai kemudian boleh beri kroni bina bangunan baru...Masyuk RM