30 Okt 2010

Wajibkan Lulus Matapelajaran "Sejarah" Untuk Kepentingan UMNO

Wajib lulus Sejarah untuk Kepentingan politik Umno?

PETALING JAYA: Ahli Sejarah, Profesor Emeritus Khoo Kay Kim (gambar) hari ini menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk memertabatkan mata pelajaran Sejarah dalam sistem pendidikan negara amat wajar.

Namun begitu, beliau tidak menolak keraguan sesetengah pihak yang mendakwa langkah ini diambil bertujuan menyelamatkan kepentingan politik parti pemerintah dan bukanlah semata-mata demi kepentingan sejarah itu sendiri.

Keraguan ini memang mempunyai asasnya jika dilihat kembali terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan oleh ahli-ahli akademik khasnya untuk memertabatkan Sejarah yang selama ini dilihat sepi oleh kerajaan.

Hanya setelah kedudukan politik parti pemerintah ini dalam kedudukan genting, barulah kepentingan Sejarah dibangkitkan mereka.

Berbanding dengan usaha yang telah lama dijalankan oleh ahli akademik yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi.

"Kami, para akademik memang telah lama mengharap dan kemukakan usul agar Sejarah dijadikan salah satu mata pelajaran utama dalam sistem pendidikan negara ini.

"Tetapi nampaknya ia hanya boleh terlaksana apabila ada perwakilan Umno yang menyuarakannya dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini," demikian luahan Profesor Khoo ketika dihubungi FMT hari ini.

"Ahli politik bukanlah orangnya yang patut membuat keputusan tentang Sejarah dan dasar-dasar dalam sistem pendidikan negara.

"Perkara ini harus diputuskan oleh ahli-ahli akademik yang telah membuat penyelidikan begitu lama tentang sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ahli sejarah tulen

"Dalam konteks melibatkan Sejarah, keputusan harus melibatkan ahli sejarah yang tulen, yang tidak boleh dipengaruhi oleh agenda mana-mana parti politik," kata beliau lagi.

Menurut beliau lagi, matlamat untuk memperkasakan mata pelajaran Sejarah hanya boleh terlaksana jika pihak-pihak terbabit jujur untuk melaksanakannya dengan mengambil kira beberapa syarat.

"Guru-guru yang mengajar subjek Sejarah haruslah diberikan latihan semula. Mesti guru yang benar-benar memahami Sejarah, Undang-undang dan Perlembagaan Negara. Mereka haruslah memahami bagaimana negara ini ditubuhkan.

Beliau turut memberikan syarat sukatan mata pelajaran Sejarah dan buku teks Sejarah perlu dikaji dan ditulis semula.

"Penulis buku teks Sejarah haruslah di kalangan ahli sejarah yang benar-benar membuat penyelidikan tentang sesuatu Sejarah.

Bukannya menulis dengan jalan mudah, sekadar mengutip fakta dimana-mana buku, internet dan sebagainya," kata beliau lagi.

"Tindakan ‘menghitamkan’ dan ‘memutihkan’ sesuatu bahagian Sejarah adalah tindakan yang dibuat oleh bukan ahli sejarah tulen".

Sebelum ini, ketika menggulung perbahasan oleh Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, beliau mengumumkan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat lulus dalam peperiksaan SPM. -FMT

4 ulasan:

zaid kuantan berkata...

Sebelum ini mata pelajaran sejarah dianggap subjek biasa sahaja namun kini ia mahu dimartabatkan. Saya setuju kerna intipatinya memberikan pengajaran bahawa perpaduan amat penting untuk keamanan dan kejayaan sesebuah negara. Cendiakiawan setuju kerna telah lama mereka ( PE KKK ) mengharapkannya. Kita semua mesti faham bahawa keseluruhan sistem yang bergerak di negara kita adalah bergantung kepada kuasa politik; dalam ungkapan lain Politic is Power ! Untuk menjayakan sesuatu maka gunalah saluran politik, sekiranya tidak maka janganlah anda mengharap apa-apa............

Tanpa Nama berkata...

sejarah tipu UMNO, pejuang islam berjuang, UMNO terima kemerdekaan sendirian

guru sejarah pencen berkata...

Sejarah mana yang Muhyiddin Yassin nak jadikan mata pelajaran wajib peringkat SPM tu.Kalau sejarah UMNO/BN,tak payahlah.Kalau benar-benar ikhlas dan jujur,sukatan pelajaran sejarah wajar ditulis kembali,ikut fakta-fakta sejarah yang betul dan benar.UMNO tak boleh nak tipu dan kelentong fakta sejarah sebab dulu ramai penulis-penulis sejarah terdiri dari orang asing yang buku-buku mereka masih ada diPerpustakaan Negara dan diperpustakaan-perpustakaan luar negeri.Sebelum merdeka,buku-buku inilah yang digunakan oleh pelajar disekolah.Apa bila merdeka untuk lebih dari 10 tahun,buku-buku ini masih digunakan.Jadi UMNO jangan cuba nak putar-belit fakta sejarah negara mini.Memang sudah sampai masanya,sejarah negara ini ditulis kembali dengan fakta-fakta yang betul,benar dan soheh.Walau pun ada fakta-fakta tu,pahit buat UMNO,MCA dan MIC namun ia tetap fakta sejarah.Apa macam Muhyiddin? Ada berani?

Tanpa Nama berkata...

Pelajaran sejarah menjadikan kehidupan manusia lebih maju dan bertamaddun, tahu sesuatu kejadian berdasarkan kepada fakta, mendidik manusia supaya menghormati sesuatu untuk dijadikan pedoman, iktibar dan dijadikan sempadan.