8 Sep 2010

Keghairahan Azmin Bakal Mengundang Padah

Guna premis HQ PKR untuk kempen satu kesalahan

Berkempen untuk seseorang dalam pilihan raya parti dengan menggunakan premis ibu pejabat (HQ) PKR sekarang ini menjadi satu kesalahan berikutan garis panduan Kod Etika yang baru dikeluarkan hari ini.

"Amat dikesali sidang media yang dianjurkan oleh beberapa ahli parlimen untuk menyatakan sokongan terhadap Naib Presiden Azmin Ali dibuat di ibu pejabat parti itu baru-baru ini," kata Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Dr Molly Cheah.

Dr Cheah dalam satu kenyataannya berkata, salah satu larangan termasuklah individu dan kumpulan tidak dibenarkan mengadakan mesyuarat dan sidang media di ibu pejabat PKR di sini untuk tujuan berkempen.

JPP PKR hari ini mengeluarkan garis panduan Kod Etika mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan ketika berkempen dan semasa pilihan raya parti.

Menurut beliau, JPP dibentuk bagi memantau pilihan raya parti 2010 berikutan perubahan dalam Perlembagaannya di mana ahli berhak memilih semua peringkat kepimpinan melalui sistem pilihan raya "satu orang satu undi".

"Larangan lain ialah tuduhan politik wang dan kempen memburuk-burukkan peribadi calon dan hendaklah dilaporkan kepada JPP," katanya.

Politik wang kesalahan serius

Beliau berkata, "amalan politik wang adalah suatu kesalahan yang serius dan jika didapati bersalah maka seseorang itu boleh digantung dari penyertaan dalam proses pilihan raya."

Menurut Kod Etika itu juga, calon-calon yang meraih sokongan mestilah tidak mencemar imej parti atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan perkhidmatan terhadap parti, termasuk menjaga kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Katanya, garisan panduan ini ditetapkan ekoran dari proses penamaan calon untuk kepimpinan di peringkat Cabang yang sedang hangat berlangsung dan ini penting untuk membawa reformasi dalam parti.

"Langkah ini juga memberi peluang dan tanggungjawab ahli melaksanakan hak individu untuk memilih pemimpin yang baik dan berkesan," ujar beliau.

Peraturan berhubung proses pilihan raya telah disiapkan termasuk penamaan calon dan maklumatnya boleh didapati pada laman web rasmi KEADILAN.

Sebarang aduan hendaklah diajukan kepada JPP di ibu pejabat PKR

dan tidak melaporkan kepada pihak media, termasuk blog peribadi," jelas beliau. -FMT


Calon Timbalan Presiden PKR: Siapa di sebalik tabir?

Sekumpulan ahli akar umbi PKR yang tidak berpuas hati dengan situasi yang wujud dewasa ini menggesa sebuah jawatankuasa pemantau bagi menyiasat dalang di sebalik pengumuman ahli-ahli parlimen dan senator mengenai jawatan timbalan presiden parti.

Dua hari lalu, sekumpulan 13 ahli parlimen dan senator menyatakan sokongan terbuka kepada Naib Presiden Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti November ini dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Sumber dalaman parti, seorang pemimpin peringkat akar umbi dari Johor meluahkan rasa kecewa dengan sikap ahli-ahli parlimen parti itu yang didakwa cuba mengelirukan ahli-ahli parti.

"Ketika mana, pencalonan dan pemilihan belum selesai, kenapa mereka (ahli-ahli parlimen berkenaan) begitu terdesak untuk menyatakan sokongan terhadap Azmin sedangkan pilihan raya parti hanya berlangsung pada November nanti," soal beliau.

Pemikiran Umno dalam PKR

"Apa yang mereka lakukan jelas memperlihatkan perangai dan pemikiran Umno dalam PKR," tambahnya.

Beliau menerangkan bahawa sejak semalam, beliau menerima banyak panggilan telefon daripada ahli-ahli parti, bertanyakan adakah Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong Azmin untuk jawatan nombor dua itu.

"Sebagai ahli tegar PKR, saya meminta Anwar membersihkan namanya dengan menyatakan beliau menyokong Azmin atau tidak, atau beliau bersikap berkecuali dalam perkara ini," katanya kepada FMT ketika dihubungi hari ini.

Seorang pemimpin masyarakat di Jasin, Melaka mencabar Ahli Parlimen Teluk Kemang Kamarul Bahrin Abas supaya memberitahu siapa yang menganjur sidang media itu dan kenapa sidang media itu di adakan terlalu awal sedangkan pemilihan ialah pada November depan.

Apabila memberi komen tentang kenyataan Kamarul Bahrin bahawa parti harus memberi jawatan itu kepada Azmin memandangkan beliau telah mengharungi pahit maung perjuangan sejak zaman reformasi dan lebih senior berbanding calon-calon lain beliau berkata,

"Sebagaimana yang kita ketahui Anwar menyertai parti secara rasmi pada 2005. Ini membuktikan saya lebih senior kerana saya menjadi ahli parti sejak 1999. Adakah ini bermakna saya lebih layak berbanding Anwar untuk menjadi penasihat parti?," soal beliau.

Beliau mengakui bahawa sebagai ahli yang lama dalam parti bukannya satu kelebihan buat Azmin.

Azmin bukan pilihan yang betul

Sambil menafikan beliau adalah penyokong pencabar Azmin, Zaid Ibrahim beliau berkata, "Azmin bukanlah pilihan yang betul dan terbaik untuk jawatan nombor dua kerana beliau sukar dihubungi atau ditemui.

"Saya yakin bahawa majoriti ahli-ahli parti bersetuju dengan pendapat saya bahawa Azmin sukar dihubungi. Kita tidak mahu seorang timbalan presiden yang bersikap demikian," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, PKR berada di atas landasan yang betul untuk menawan Putrajaya. Semua ahli PKR mesti berdiri di belakang Anwar bagi mencapai cita-cita ini.

"Untuk menjayakan tugas ini, parti memerlukan seseorang yang mampu berfikir seperti Zaid dan bukan ahli politik asli seperti Azmin untuk jawatan nombor dua.

Beliau juga berkata bahawa beliau akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai perkara ini selepas selesai pemilihan nanti.-FMT


1 ulasan:

Martoiriat berkata...

Jika pertandingan yang sihat akan lahir pimpinan yang baik. Tapi saya tidak begitu yakin kerana kebanyakan calun atau ahli PKR adalah Spesies Umno.