8 Sep 2010

Bodek Yang Tak Menjadi. UMNO Tak Sokong Ibrahim Pada PRU13

Umno tidak sokong Ibrahim di PRU-13, letak calon di Pasir Mas

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan partinya tidak akan menyokong Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan pertubuhan bukan kerajaan pimpinan Ibrahim - Perkasa.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

Kemudian beliau mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat Bebas.

Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005 tetapi hanya memperoleh 415 undi dan hilang wang deposit.

Pengkalan Pasir adalah kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Pasir Mas.

Selepas memutuskan hubungan dengan PAS, Ibrahim menubuhkan Perkasa atas matlamat mahu mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertubuhan itu yang kini mempunyai lebih 50,000 ahli di seluruh negara menggesa pentadbiran Najib mempertahankan dasar ekonomi pro-Melayu dan Bumiputera meskipun kerajaan mahu meliberalisasikan ekonomi negara.

Dua minggu lalu Ibrahim mencabar agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan konsep 1 Malaysia dan mengemukakan satu resolusi berkaitan Perkara 153 Perlembagaan kerana gagasan itu bukan bererti kesamarataan hak.

“Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

“Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi,” katanya lagi.

Tengku Adnan mengingatkan pemimpin-pemimpin Perkasa bahawa BN perlu memenuhi keperluan dan kehendak semua kaum dan tidak boleh mendiskriminasikan mana-mana kaum jika mahu terus mentadbir negara ini.

Ketika ditanya nasihat kepada Ibrahim dan Perkasa, Tengku Adnan dengan nada penuh harapan berkata:

“Tolong perlahan sikit.”

“Apa saja yang anda lakukan, tolong fikir dengan baik. Apakah hasilnya? Apa yang anda mahukan untuk Malaysia? Anda mahukan perang saudara?” tanya Tengku Adnan yang sudah menjangkakan reaksi balas ahli Perkasa.

“Saya tahu bahawa apabila saya mengatakan begini, ahli Perkasa akan serang saya,” katanya lagi. -TMI


Pendirian terbaru ketua Perkasa puji Najib, terus hentam Khairy

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata beliau gembira kerana Datuk Seri Najib Razak “akhirnya mempertahankan” Perlembagaan dan kontrak sosial, sebaliknya beliau terus menyerang Khairy Jamaluddin dengan menyifatkannya sebagai tidak berpegang pada realiti.

“Saya gembira akhirnya Perdana Menteri bersuara dan mengingatkan semua pihak jangan persoal Perlembagaan dan kontrak sosial,” kata Ibrahim dalam kenyataan yang disalurkan menerusi SMS lewat semalam.

Ibrahim memberitahu, beliau amat gembira kerana selama ini Perkasa mempertahankan Perlembagaan dan kontrak sosial, tapi ada pihak yang melabelkan pertubuhan bukan kerajaan itu sebagai rasis.

“Sekarang terbukti Perkasa di pihak yang benar dan malangnya yang mempersoal dan menghina Perlembagaan dan kontrak sosial tidak pula dikatakan rasis,” kata Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini.

Ibrahim juga berkata Perkasa akan komited “membujur lalu melentang patah” selain mempertahankan Perlembagaan sehingga titisan darah terakhir.

Oleh itu Ibrahim menambah, Perdana Menteri hendaklah tegas dan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap mereka yang menyentuh isu sensitif ini.

“Nyatalah bahawa konsep 1 Malaysia bukan mengatasi Perlembagaan tapi ia telah diputar belit. Siapa yang pertahan I53, maka dikatakan bertentangan dengan 1 Malaysia... ini yang tidak benar dan dikelirukan,” kata beliau lagi.

Dalam komennya kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN memberitahu bahawa semua perkara yang sudah disepakati oleh pengasas-pengasas negara terutama sekali Perlembagaan yang berdasarkan kontrak sosial antara kaum tidak seharusnya dipersoalkan.

“Kita hendaklah beringat dan berpegang teguh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan dimaktubkan oleh bapa-bapa kita, generasi yang lalu, sejak sekian lama sehingga kita berada dalam suasana seperti hari ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata bahawa dalam menjaga hubungan antara kaum pula, setiap rakyat hendaklah peka kepada sensitiviti serta mengelak daripada perbuatan, tindakan atau tutur kata yang boleh melukakan saudara daripada kaum-kaum lain.

Mengenai kenyataan terbaru Khairy, yang melihat Perkasa menjadi asas menurunnya undi kepada BN, Ibrahim sekali lagi membidas dengan menyifatkan Ketua Pemuda BN itu “cakap macam orang tak ada akal dan orang gila.”

“Perkasa baru tubuh selepas pilihan raya umum ke-12. Pilihan raya umum ke-12, BN kalah teruk sebab orang membenci beliau (Khairy),” kata beliau merujuk kepada berita bertajuk “KJ: Perkasa punca BN hilang undi”.

Ibrahim mengetengahkan hujahnya bahawa Perkasa ditubuhkan sebab tidak mahu Melayu berpecah.

Sambil menyifatkan Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno sebagai pemimpin “bernafsu besar tapi dah hilang taring”, Ibahim menambah, “orang membenci Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebab Khairy mengawal Pak Lah... kalau Perkasa tubuh sebelum pilihan raya ke-12 ada logik.”

“Umno lagi rosak ada orang akal putus macam Khairy,” katanya.

Dalam temu bual dengan sebuah portal berita yang disiarkan semalam, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau masih yakin ahli-ahli Perkasa tidak akan sokong pembangkang kerana mereka akan memberikan undi pada Umno.

“Jadi kesan politik Perkasa kepada Umno adalah minimal kerana ia tidak menambahkan undi Melayu,” katanya.

Selain itu kata beliau, sekiranya anggota parti itu diminta memilih antara Umno dan Perkasa sebagai sebuah parti politik, keadaan mungkin berbeza.

“Di akhirnya, kesan undi bukan Melayu terhadap Umno dan BN, disebabkan Perkasa, adalah signifikan. Dalam perkiraan politik, di akhirnya, (Perkasa) menghilangkan lebih banyak undi daripada yang ditambahnya,” jelas Khairy.-TMI


Ulasan GB

Baru saja Ibrahim keluarkan kenyataan "menyokong Najib" dalam isu kontrak sosial. Tiba-tiba Setiausaha Agung telah keluarkan kenyataan yang bermaksud NO TO IBRAHIM ALI IN PASIR MAS!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aku harap bila Berahing ni bertanding dalam PRU ke-13 nanti, Tok Guru Nik Aziz akan buat satu kenyataan iaitu :-

"wahai rakyat jelato sekalian inilah dio seore calon yang telah ambo beri kepercayaer, tapi bilo dio menang dio gigit pulok kaki ambo, oleh itu pakat-pakatlah kito toksir pemimpin jenis gini"

Nescaya mapuh tergoleklah mung Berahing...