12 Mei 2010

Resolusi MCA Selangor: Keadilan Untuk Beng Hock, Siasat Kes Rasuah!

Kerajaan pusat seharusnya mempercepatkan penyiasatan terhadap kes kematian Teoh Beng Hock, agar menegakkan keadilan untuk mendiang dan keluarganya. Di samping itu, kerajaan pusat juga harus memberi penjelasan kepada rakyat, dalam kes "banglow mewah Khir Toyo".

Demikianlah antara resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor kedua, yang diadakan di Jenjarom pada malam 8 Mei 2010. Pengerusinya, yang juga Naib Presiden MCA Pusat, Donald Lim Siang Chai (gambar kiri) memaklumkan keputusan mesyuarat kepada Oriental Daily, yang menyiarkan berita ini pada hari ini.

Donald Lim berkata, seandainya kerajaan gagal memberi penjelasan kepada rakyat dalam isu rasuah, maka ia akan memberi kesan kepada pilihan raya umum yang akan datang. Oleh yang demikian, Donald Lim mendesak agar kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga didedahkan kebenarannya dalam masa sesingkat mungkin.

Selain isu kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor yang dijumpa mati di bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), dan banglow mewah yang dimiliki bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor juga menggesa agar kerajaan pusat mengotakan janjinya terhadap masyarakat Cina ketika PRU ke-12, pada tahun 2008.

Donald Lim menyeru agar kerajaan pusat bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor, untuk menyelesaikan isu pembinaan dan perpindahan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, lantas mengatasi masalah kesesakan dalam sekolah Cina yang dihadapi pada hari ini. -MR

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MCA selangor pun main drama juga kepada ahli2nya. Sepatutnya dah lama mereka bertindak dgn banglo Khir Toyo, PKFZ dan kes sekolah itu. Kenapa masa BN perintah Selangor tak ungkit perkara ini?