6 Mac 2010

SPR Mula Kerja Awal Persempadanan Semula

Ketika Barisan Nasional (BN) sibuk membeli ahli parlimen Pakatan Rakyat bagi memperoleh 2/3 majoriti parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula sudah memulakan kerja awal sebagai persediaan membuat persempadanan semula.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pejabat-pejabat pilihan raya negeri sudah mula mengumpul data yang boleh membantu urusan kajian semula sempadan piliha raya.

“Kerja awal ini berkaitan dengan aspek pertumbuhan pembangunan, kemajuan infrastruktur, peningkatkan penduduk dan pergerakan penduduk dan sebagainya... yang akan membantu SPR dalam menentukan sama ada perlu dijalankan kajian ataupun sebaliknya,” katanya kepada Malaysian Insider.

Kali terakhir urusan persempadanan bahagian pilihan raya dijalankan adalah pada 2003 di mana ia menambah kerusi Dewan Rakyat kepada 222 dan diguna pakai dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Lazimnya sempadan bahagian pilihan raya semasa akan digunakan dalam dua kali pilihan raya.

Wan Ahmad berkata, keputusan mengenai kajian itu bagaimanapun hanya dibuat atau sebaliknya selepas tempoh lat lapan tahun berakhir Mac 2011.

Beliau turut mengakui persempadanan semula bahagian pilihan raya khususnya sebarang pertambahan kerusi
memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

Wan Ahmad berkata, SPR perlu memaklumkan kepada Parlimen, mengenai syor mereka sama ada perlu menjalankan kajian semula persempadanan semula pilihan raya ataupun sebaliknya.

“Sama ada hendak buat kajian atau pun, kita kena maklum kepada perdana menteri, kemudian kepada Kabinet dan Parlimen... juga kepada Dewan-dewan Undangan Negeri.

“Jika mahu kekal dengan sempadan semasa (dengan bilangan kerusi semasa) tanpa melibatkan apa-apa kajian, SPR kena maklumkan kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Tarikh cadangan persempadanan semula itu boleh bermula bila-bila masa selepas lat lapan tahun berakhir Mac 2011.

“Kita belum lagi bercakap apa-apa mengenai urusan persempadanan, masih terlalu awal sebab lat lapan tahun
sempadan bahagian pilihan raya semasa hanya akan berakhir Mac 2011.

“Sama ada hendak membuat kajian semula ataupun tidak, ia hanya akan diputuskan selepas lat lapan tahun berakhir. Kita akan adakan mesyuarat selepas Mac 2011.

“Jika SPR memutuskan untuk membuat kajian semula bahagian pilihan raya, maka urusan ini mesti siap dalam tempoh dua tahun daripada tarikh cadangan persempadanan semula dipamerkan,” kata beliau. -TVS



1 ulasan:

kembara putih berkata...

Syaitan sudah mula nak bekerja. Yang pasti Sarawak dan Johor akan ditambah kerusi.