6 Mac 2010

KEADILAN Lucut Keaggotaan Zulkifli Noordin

Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat yang bermesyuarat selama lebih empat jam hari ini mengambil keputusan memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin.

Menurut Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail yang membuat pengumuman selepas mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya, keputusan yang diambil olh anggota Lembaga Disiplin adalah sebulat suara.

"Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebulat suara mengambil keputusan mengesahkan dan memperakui cadangan Lembaga Disiplin parti.

"Parti akan memaklumkan kepada Zulkifli keputusan MPP melalui surat berdaftar, emel dan juga faks pada hari Isnin depan," kata Saifuddin.

Ahli Parlimen Machang itu berkata keputusan tegas itu diambil ekoran tindakan Zulkifli membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan kandungan wawancara beliau dengan sebuah stesen televisyen swasta yang dianggap telah melanggar disiplin secara serius.

"Lembaga Disiplin berdepan dengan pertuduhan terhadap Zulkifli dan telah melihat merit serta fakta yang telah dipertimbangkan secara teliti dan keputusan ini diambil dalam kerangka Perkara 27 Perlembagaan KEADILAN.

Ditanya samada KEADILAN bimbang jumlah Ahli Parlimen parti akan berkurang kepada kini 27 orang Saifuddin berkata parti meletakkan kepentingan menjaga nama baik parti serta amanah dan kepercayaan 500,000 ahli parti lebih daripada mengekalkan Zulkifli sebagai ahli KEADILAN.

"Jika itulah tindakan yang terpaksa diambil oleh parti untuk menjaga imej, nama baik dan amanah rakyat serta ahli KEADILAN maka itulah harga yang kita terpaksa bayar," tegas beliau.

Beliau berkata pemecatan Zulkifli tidak ada kena mengena langsung dengan isu kalimah Allah yang oleh laungkan oleh Ahli Parlimen berusia 46 tahun itu.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali, Naib-Naib Presiden Mustafa Kamil Ayub dan R. Sivarasa serta Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin.

Naib Presiden KEADILAN Mustafa Kamil berkata tindakan sebulat suara MPP menunjukkan sikap serius KEADILAN dalam menjaga disiplin parti sambil menyeru ahli parti supaya sentiasa menjaga nama baik dan memberi apa-apa pandangan terhadap parti melalui saluran yang sopan dan tertib.

"Zul masih ada peluang untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini sekiranya beliau masih berminat untuk meneruskan perjuangan dalam KEADILAN," kata beliau

Mengulas perkara yang sama Ketua Wanita berkata keptusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin adalah satu tindakan yang tepat.

"Parti ini bertindak atas prinsip demokrasi dan amanah rakyat maka pemecatan ini adalah wajar.

Sehubungan pada sidang akhbar yang sama Saifuddin berkata mesyuarat MPP hari ini juga membincangkan persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak pada bila-bila masa kini.

"Mesyuarat juga membincangkan mengenai DVD berhubung fatwa terbaru ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi untuk menyanggah Konspirasi 2 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ia akan dilancarkan malam esok pada sambutan ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru," terang beliau lagi.

Berikutan tindakan keluar parti oleh tiga Ahli Parlimen KEADILAN dan terbaru pemecatan Zulkifli, parti telah memutuskan Datuk Seri Anwar menjaga kebajikan rakyat di Parlimen Nibong Tebal sementara Yusmadi Yusuf, Ahli Parlimen Balik Pulau menjaga Bayan Baru.

Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan pula ditugaskan menjaga Kulim-Bandar Baharu manakala Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye menjaga Bagan Serai.
-SK



1 ulasan:

Manjung Mari berkata...

Elok pun si mangkok ayun ni belah! Dia nampak mcm dah ada line dgn belah sana.Tapi yg penting kita kena sekat yg lain2 dpd ikut jejak dia.Kita kena ikat depa yg dok ada tu dgn tali temali yg tak mungkin dirongkaikan.Kami di PAS ada cara kami sendiri.Kawan2 dlm PKR kena fikirlah caranya macam mana.
Mungkin kalau kita suruh depa sign IOU (Surat Hutang) bahawa kalau depa lompat depa kena bayar kat PKR RM50 juta baru la depa tak berani lompat kot? Ni cadangan jer,fikir2kan la.