2 Mac 2010

Sallehuddin Hashim Tuntut Gaji RM50,000 Sebulan

Timbalan Presiden KEADILAN Dr Syed Husin Ali mendedahkan kemarahan bekas Setiausaha Agung Datuk Salehuddin Hashim terhadap parti berpunca daripada permohonan beliau untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang dengan gaji bulanan sebanyak RM50,000 ditolak.

"Saya memang tahu selama beliau berkhidmat dengan baik, sikap Salehuddin terhadap parti, terutama pimpinannya, sering turun naik. Akan tetapi kemarahan beliau memuncak apabila “permohonannya” untuk menjadi CEO Syarikat Perangsang, yang membawa gaji lebih dari RM50,000 sebulan, ditolak tidak lama sebelum beliau meletakkan jawatan," dedah Dr Syed Husin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini beliau menjelaskan Salehuddin telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang perkhidmatan beliau dengan KEADILAN - tiga tahun sebagai Setiausaha Pengelola dan tiga lagi sebagai Setiausaha Agung.

"Salehuddin telah memberikan khidmat baik kepada KEADILAN selama kira-kira enam tahun. Biro Politik telah mencatatkan terima kasih atas jasanya.

"Ada anggapan kononnya parti mendapat khidmat Salehuddin secara percuma. Saya ingin merakamkan yang sebenar, iaitu Salehuddin bersetuju dibayar RM9,000 sebulan, walaupun asalnya beliau meminta USD3,000 sebulan. Bayaran ini dibuat bukan oleh parti tetapi oleh salah seorang penyokong," jelas beliau.

Dr Syed Husin menyifatkan dakwaan Salehuddin bahawa 10 lagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN akan mengikuti jejak langkah Ahli Parlimen Bayan Baru dan Ahli Parlimen Nibong Tebal sebagai spekulasi semata-mata.

"Kini Salehuddin meramalkan kira-kira 10 orang lagi Ahli Parlimen akan keluar parti. Biarkanlah Salehuddin dengan ramalannya dan hanya masa saja yang akan membuktikan sama ada ramalan itu akan terbukti tepat atau tidak.

"Namun dengan maklumat yang ada pada saya, saya percaya ini hanya sebagai tuduhan melulu bersifat perang urat saraf yang tidak mempunyai asas kukuh.

"Saya tidak tahu dan tidak ingin tahu apakah peranan yang dimainkan oleh bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Salehuddin Hashim. Beliau menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa beliaulah di belakang tindakan Anggota Parlimen yang keluar Parti dan saya mempercayainya," kata Dr Syed Husin lagi.

Timbalan Presiden itu menambah mereka yang meninggalkan parti didakwa menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor sebelum membuat keputusan keluar KEADILAN.

"Orang sudah tahu semua ADUN dan AP yang keluar mempunyai masalah kewangan ataupun masalah disiasat oleh SPRM. Namun tidak dinafikan ada juga masalah pribadi dengan pimpinan parti atau kerajaan negeri. Boleh dikatakan semuanya menemui PM Najib Razak dan ada kalanya isteri beliau, Rosmah Mansor, sebelum bertindak keluar,".

Dr Syed Husin walau bagaimanapun yakin parti akan terus kukuh dengan tindakan mereka yang keluar parti.

"Saya sentiasa berpendapat bahawa apabila daki sudah dibersihkan, kulit akan lebih menarik dan badan lebih sihat. Kita harus jangan lupa bahawa dalam sejarah permulaannya PAS, DAP dan bahkan UMNO menghadapi masalah Presiden, Setiausaha Agung dan pemimpin lain mereka berhenti. Akhirnya semua parti muncul lebih kuat," kata beliau. -SK

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tahniah! semakin ramai yang berkepentingan dan tidak ikhlas keluar dari Pakatan, yang tinggal yang bersih sahaja lagi baik

sofialoren berkata...

Bagus ! Keluarlah dari perjuangan PR jika masih nak amalkan budaya umngok yg sombong, angkuh, tamak halobakan wang ringgit yg tak cukup-cukup dan harta benda.Biarlah yg tinggal yg bersih, sederhana, sabar, ikhlas dan kuat jatidiri memperjuangkan nasib rakyat marhaen, itukan yg lebih baik.

Tanpa Nama berkata...

nak pendapatan lebih masuk UMNO, nak sokongan rakyat, masuk pakatan rakyat