2 Mac 2010

Piket Bantah Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) Di Hospital Kerajaan

Kementerian Kesihatan digesa membekukan pelaksanaan Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) di hospital-hospital kerajaan.

Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Mohd Nasir Hashim berkata, skim berkenaan dilihat akan memberi kesan negatif terutamanya kepada golongan miskin.

“Apabila skim ini dilancarkan pada tahun 2007, ramai pihak telah membantah pelaksanaannya kerana ia dibuat tanpa menjalankan sebarang kajian mengenainya.

“Pendekatan yang digunakan oleh kementerian mencerminkan kerajaan tidak serius terhadap tanggungjawab murni menjaga dan memupuk kualiti rawatan untuk pesakit biasa yang bergantung pada hospital-hospital awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum bantahan kepada Timbalan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Aminuddin Tauhid di sini semalam.

Penyerahan memorandum setebal dua muka surat itu hadir diserahkan bersama kira-kira 15 ahli serta penyokong Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK).

Mohd Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara berkata, kementerian perlu menjalankan kajian terhadap kesan skim berkenaan terutamanya terhadap prestasi doktor-doktor pakar yang mengambil bahagian dalam skim terbabit.

“Ada sebahagian daripada pakar yang menumpukan terlalu banyak masa dan tenaga merawat pesakit swasta sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pesakit biasa yang tidak membayar penuh.

“Malah, beberapa doktor pakar yang tidak mahu menyertai skim ini terasa tidak puas kerana mereka terpaksa menanggung kerja-kerja yang diabaikan oleh pakar yang melibatkan diri dalam skim terbabit dan ini membawa kepada kemerosotan semangat bekerja di kalangan doktor,” katanya.

“Kita juga meminta supaya pihak kerajaan agar meningkatkan bajet kewangan dan memperkasa untuk hospital kerajaan dan kita berharap pihak berkenaan akan mengambil berat serta tindakan sewajarnya untuk menangani perkara itu,” katanya.

Sementara itu di Serdang, GMPPK turut menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan skim itu di Hospital Serdang.

Bantahan yang dibuat melalui piket aman itu disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan parti politik Pas.

Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan berkata, protes secara aman itu turut diadakan serentak di turut diadakan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Sultan Ismail, Pandan, Johor Bahru.

Arutchelvan berkata, protes berkenaan bertujuan meminta kerajaan membatalkan skim rawatan swasta berkenaan di hospital lain yang dicadangkan, namun pada masa yang sama mewujudkan skim gaji lebih baik untuk semua kakitangan kesihatan kerajaan.

“Kalau mereka mengamalkan skim berkenaan untuk mengelakkan doktor pakar berhijrah dari hospital kerajaan ke tempat lain, apa yang perlu dilakukan adalah menaikkan gaji mereka (doktor pakar) kepada tahap yang relevan bukannya mewujudkan rawatan swasta di hospital kerajaan.

“Kita tidak mahu kemudahan awam di hospital kerajaan digunakan untuk membuat kerja swasta semata-mata memberi keuntungan kepada doktor pakar, namun merugikan rakyat negara ini yang bergantung kepada perkhidmatan hospital,” katanya. -SH



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tolak BN ganti pakatan rakyat, insyaallah rawatan rakyat percuma dihospital kerajaan

Tanpa Nama berkata...

rakyat diutamakan hanya slogan kosong UMNO, rakyat di perbodohkan.

Tanpa Nama berkata...

UMNO perintah malaysia dah lama, dah kaya, rakyat dilupakan...