4 Feb 2010

Rasuah Pasir - 7 Termasuk Inspektor dan Ibu Tunggal Didakwa

Tujuh orang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes rasuah yang berkaitan dengan perlombongan pasir secara haram di Selangor.

Mereka dihadapkan di Mahkamah Sesyen di hadapan hakim Mat Ghani Abdullah di sini hari ini.

Ketujuh-tujuh tertuduh termasuklah seorang polis berpangkat inspektor, kakitangan kerajaan dan seorang suri rumah.

Akhir bulan lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap hampir 40 orang di pelbagai lokasi di seluruh negara disyaki terlibat dengan sindiket mencuri dan menyeludup pasir.

Sebahagian daripada mereka sudah pun dihadapkan di mahkamah.

Abdul Halim didakwa sebagai penolong pengarah tanah yang bertugas di Pejabat Daerah & Tanah Hulu Langat telah meminta untuk dirinya suapan wang tunai RM2,000 daripada Khairul Anuar Ahmad Bustaman, 23, supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas aktiviti pengeluaran pasir tanpa permit yang sah oleh Khairul Anuar di kawasan Lot 1519, Batu 19 1/2 dan Lot 3654, Batu 1/4 Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah & Tanah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, kira-kira pukul 11 pagi pada 23 April tahun lepas.

Abdul Halim juga didakwa secara rasuah setuju menerima suapan wang tunai RM2,000 daripada Khairul Anuar melalui Mohd Azam Ab Jalil, 30, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di dalam sebuah kereta Perodua Kancil nombor pendaftaran WPN 5287 di Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi pada 24 April tahun lepas.

Abd Wahab pula didakwa sebagai Penolong Pengurus Tanah yang bertugas di Kumpulan Semesta Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan Selangor) telah secara rasuah memperoleh dari Mohd Shafiq Idrus wang tunai RM3,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya sebagai dorongan untuk memproses permohonan Mohd Shafiq bertarikh 6 Okt 2009 bagi mengusahakan kawasan pasir di sepanjang Sungai Langat, Dengkil, Sepang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Kajang, Ground & Mezzanine Floor, 28-30, Jalan Tukang Pekan Kajang, Hulu Langat, kira-kira pukul 3 petang pada 18 Sept tahun lepas.

Abdul Amir didakwa sebagai Inspektor polis di cawangan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah secara rasuah memperolehi untuk dirinya suapan wang tunai RM200 daripada Lee Keen Seng, 43, di pejabat Cawangan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah Kajang, kira-kira pukul 2 petang pada 6 Nov 2008.

Tertuduh juga didakwa memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM1,500 daripada Wong Yun Fui, 32, melalui Ahmad Khairi Ley di tempat letak kenderaan di kawasan rehat Lebuhraya Kajang Silk menuju ke Kajang, Hulu Langat, kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada 13 Nov 2008.

Abdul Amir turut didakwa memperoleh bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM4,500 daripada Wong melalui akaun Maybank miliknya di Maybank cawangan Sri Serdang dekat sini, pada 22 Dis 2008, 19 Jan dan 4 Mac tahun lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori pasir yang membawa lebih muatan. Kesemua tertuduh didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mat Ghani membenarkan Abdul Halim yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dibebaskan dengan jaminan RM6,000 serta seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 17 Mei depan serta sebutan kes pada 11 Mac depan.

Sementara bagi Abd Wahab yang juga diwakili peguam Amir Khusyairi, mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan pada 20, 21 dan 24 Mei depan serta sebutan kes pada 11 Mac.

Mat Ghani turut membenarkan Abdul Amir yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork dibebaskan dengan jaminan RM7,000 serta seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 6 Julai depan serta sebutan kes pada 22 Mac.

Ibu tunggal antara 7 didakwa rasuah sindiket curi pasir

Dalam pada itu di mahkamah yang sama, tiga individu termasuk seorang ibu tunggal turut menghadapi tuduhan rasuah membabitkan aktiviti pengeluaran pasir di kawasan Hulu Langat, pada Oktober 2009 dan Januari lepas.

Latifah Mahfodz, 45, dari Cheras; dan Azman Annhar, 44, dari Hulu Langat; serta Hamzah Che Hassan, 43, dari Semenyih dekat sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Latifah, suri rumah dan Azman yang bekerja sendiri, didakwa bersama-sama meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada Adnan Abd. Mokhtar, 41, sebagai dorongan kononnya untuk diberikan kepada penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan SPRM supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Adnan yang akan menjalankan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah di atas tanah kerajaan Bukit Enggang, Hulu Langat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Thoiba di No. 101A, Jalan 2, Batu 9, Cheras dekat sini, kira-kira pukul 10 malam pada 14 Jan lepas.

Latifah, ibu kepada tiga orang anak dan Azman, juga didakwa bersama-sama menerima suapan wang tunai RM10,000 daripada Nur Aida Arifin, 24, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Starbucks Coffee di G31, Aeon Cheras Selatan Shopping Center, Hulu Langat, kira-kira pukul 5.25 petang pada 18 Jan lepas.

Hamzah pula didakwa telah menerima suapan wang tunai RM500 daripada Tea Ming Kun, 40, sebagai dorongan kononnya untuk membantu mendapatkan permit pengeluaran pasir di Lot 3512 dan Lot 3513, Ulu Sungai Long, Hulu Langat, dan bagi

pengeluaran pasir di Stock Pile milik Kilang Cheras Kaolin Sdn Bhd dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran & Cafe Anjung, No. 70, Jalan Temenggong 1/9, Cheras, kira-kira pukul 10.30 pagi pada 22 Okt tahun lepas.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mat Ghani membenarkan Latifah yang diwakili peguam Muhammad Izzam Zailani dan Azman yang diwakili peguam Zainuddin Abdul Razak dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang serta seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan selama tiga hari bermula 17 Mei depan.

Sementara bagi Hamzah yang juga diwakili peguam Zainuddin, Mat Ghani menetapkan ikat jamin berjumlah RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 1 Jun depan.

Mahkamah turut menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan bagi kedua-dua kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee dari SPRM.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Adnan Mokhtar tu aku kenal sangat... Satu sekolah dengan aku. Karat UMNO tu. Orang kuat YB Johan tu...

waksab berkata...

Yang aku muskil ialah...orang yang memberi rasuah tak kena tangkap jugak ker..bukankah sama kesalahannya..memberi dan menerima rasuah keduanya patut dihukum dalam islam..malah menghampiri rasuah juga dah kira bersalah..macam zina..

http://waksab@blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

UMNO perasuah dulu, kini dan selamanya?