24 Feb 2010

Rais Tidak Layak Persoal Jawatan Saya – Anwar.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang mempersoalkan statusnya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen ekoran konspirasi II yang dihadapinya.

"Menteri itu (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) tidak berhak mempersoalkannya. Kedudukan saya sebagai Ketua Pembangkang hanya boleh diputuskan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat (PR)," jelas Anwar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rais semalam, yang memberi tekanan kepada dirinya agar melepaskan jawatan itu.

Kata Anwar, tugas dan bidang kuasa Rais hanyalah menjaga stesyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik kerajaan pusat, bukannya mengambil peranan menentukan jawatan politik individu lain.

"Dia tanya saya, saya tanya dia pula. Layak atau tidak dia jadi Menteri Penerangan? Ingat semua kuasa dia nak aturkan, dia aturkan RTM adalah," soal Anwar.

"Tidak penting bagi Rais memperkatakan soal itu. Apa-apa biar tanya pemimpin pembangkang lain. Biar mereka pertimbang dan putuskan." katanya kepada Suara Keadilan selepas merasmikan pelancaran Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di Seksyen 19, Shah Alam malam tadi.

Anwar yang juga merupakan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hadir bersama-sama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menyampaikan sumbangan kepada lebih 300 orang.

Mereka adalah penerima di bawah skim Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang yang mula diperkenalkan PR sejak mengambil alih tampuk kerajaan
negeri.

Majlis dianjurkan untuk meraikan dan mengimbas kembali usaha-usaha Kerajaan Negeri membela nasib rakyat melalui program-program kebajikan, yang menjadi teras kepada dasar MES.

Sejak dilancarkan pada Jun 2008, seramai 111,397 warga emas yang layak telah mendaftar dibawah dasar SMUE untuk menerima bantuan dalam bentuk khairat kematian dengan jumlah peruntukkan Kerajaan Negeri sebanyak RM20 juta. -FMT


Rais Setuju Anwar Perlu Lepas Jawatan Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau bersetuju dengan pendapat beberapa pihak supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen ekoran pertuduhan liwat yang dihadapinya itu.

Beliau berkata negara sudah banyak melihat kes apabila mereka yang menghadapi pertuduhan di mahkamah meletakkan jawatan seperti Tan Sri Kasitah Gaddam sebagai menteri beberapa tahun dulu dan juga penjawat awam lain apabila menghadapi tuduhan di mahkamah.

"Dari segi keluhuran undang-undang atau perimbangan hak asasi, sebaik-baiknya seseorang yang pegang jawatan sama ada sebagai ahli parlimen, ketua pembangkang, menteri atau anggota pentadbiran harus meletak jawatan dulu dan menghadapi dakwaan yang dikemukakan padanya.

"Pandangan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berbuat demikian bukan sahaja memenuhi tuntutan perimbangan kesejagatan undang-undang tetapi juga dari segi prinsip perjuangan beliau sendiri sebab beliau banyak berhujah tentang keadilan sosial dan masyarakat madani," kata Rais ketika diminta mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini mengenai perkara itu.

Terdahulu Rais melancarkan "TMpoint on Wheels", satu perkhidmatan Telekom Malaysia secara bergerak kepada pelanggan yang menyediakan perkhidmatan seperti produk telekom dan pembayaran bil, di Menara TM di sini hari ini.

Laporan Utusan Malaysia itu memetik pandangan ahli akademik yang berkata bahawa Anwar perlu melepaskan jawatan itu dan digantikan sama ada oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Penasihat DAP Lim Kit Siang agar mereka boleh menumpukan sepenuh masa kepada perjalanan Dewan Rakyat kerana Anwar perlu banyak masa mempersiapkan diri menjalani prosiding mahkamah.

"Saya setuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak ke arah itu. Jadi sekarang perkara itu sudah sampai ke batang hidung beliau (Anwar), saya percaya beliau harus berfikir dan jalan keluar terbaik ialah meredakan keadaan dan letak jawatan.

"Tapi ini bukan mudah dan terserahlah kepada beliau," kata Rais. - BERNAMA


2 ulasan:

Martoiriat berkata...

Rais Yatim YB yg tak bermaruah dan berprinsip. Semasa dalam parti Semangat 46, masuk kampong keliling kampong cari pengaruh dan menuduh Umno bermacam2 sehingga sanggup membakar jambatan. Sekarang masuk Umno dan jadi pulak jurucakap Umno. Apakah YB macam ni bolih percaya ke?

Marzuki Yusoff berkata...

Arsonist (kaki bakar) mana boleh percaya. Cakap tak boleh straight to the point. Tesis yang dia buat sendiri pun dia tak percaya, Rais, Rais ....