24 Feb 2010

Tidak Bersentuhan Bukan Muhrim Tidak Mudah Tanpa Iman

Filem berkonsep muzikal Magika arahan Edry Abd Halim menggandingkan pelakon remaja Diana Danielle dan penyanyi popular, Mawi sebagai teraju utama buat julung kalinya di layar perak.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 18, anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini membawa watak Ayu yang terperangkap dalam dunia Magika dan bertemu Badang (Bad) lakonan Mawi dalam filem terbitan Kru Studios ini.

Kata pelakon yang sering dilanda gosip dan kontroversi ini, dia berusaha mencari keserasian dengan Mawi terutama dalam menjiwai babak romantik Ayu dan Badang dalam filem itu.

"Saya mengaku memang ada satu babak, saya perlu berdiri rapat sangat sehingga saya tidak boleh memandang tepat pada mata Mawi kerana berasa malu dengannya. Begitu juga dengan Mawi. Maklumlah, Mawi penyanyi popular dan ini kali pertama kami digandingkan bersama dalam filem.

"Kalau nak ikutkan, memang babak Ayu dan Badang perlu nampak janggal kerana mereka baru kali pertama berjumpa dalam dunia magika dan Badang juga tidak suka manusia," katanya.

Terus terang, kata Diana, dia dan Mawi tidak bersentuhan langsung sepanjang penggambaran filem ini.

"Sebenarnya, sebelum menjayakan babak romantik Ayu dan Badang, Mawi sudah memberitahu saya, kalau boleh, cuba elakkan kami bersentuhan dalam babak itu.

Malah ketika menjayakan babak Ayu membalut luka di tangan Badang pun masih ada kain yang menjadi alas antara kami berdua.


"Apapun, Mawi tetap memberikan kerjasama terbaik bagi menjayakan babak Ayu dan Badang sepanjang penggambaran filem ini," kata Diana.

Apapun, Diana berkata, dia juga mengelak berdua-duaan dengan Mawi selepas penggambaran babak mereka selesai kerana tidak ingin menimbulkan sebarang fitnah di mata orang lain.

"Pada masa sama, saya juga ingin menjaga hati isteri Mawi, Ekin (Nora'Ashikin Rahmat). Ekin seorang yang baik dan peramah. Saya juga menghormatinya. Kalau saya sudah berkahwin pun, pasti saya tidak suka suami berdua-duaan dengan orang lain selepas penggambaran,"
katanya.

Mengenai lagu yang disampaikan dalam filem itu, Diana berkata, dia menyampaikan sebanyak enam lagu dalam filem berkenaan.

"Saya tidak ada masalah sepanjang proses rakaman lagu dan semuanya berjalan dengan lancar. Proses rakaman satu lagu juga mengambil masa setengah hari saja," katanya.

Ditanya pengalamannya bekerjasama dengan nama besar dalam filem itu seperti Ziana Zain, Aznil Nawawi, Ning Baizura, M Nasir dan Vanida Imran, Diana berkata, semua pelakon memberi kerjasama yang baik.

Tambah Diana yang juga penuntut jurusan biosains di Universiti Nottingham, cawangan Semenyih, antara babak paling meninggalkan kesan pada dirinya ialah babak Ayu dengan Pak Andeh (lakonan Aznil).

"Babak paling susah pula ialah babak Ayu dan Badang di jambatan yang juga babak akhir dalam filem ini. Saya juga tidak menjangka jambatan itu kecil saja dan tidak seperti digambarkan dalam filem. Malah, Edry pun 'naik angin' sikit ketika menyiapkan babak berkenaan," katanya.

Selain Magika, Diana juga baru selesai penggambaran filem '...Dalam Botol' arahan Khir Rahman. Diana memegang watak kekasih Ruby dalam filem yang mengisahkan kehidupan cinta sejenis itu.

Diana ditemui ketika tayangan amal filem Magika di Cathay Cineleisure, Damansara di sini, baru-baru ini.

Bagi Raja SMS, Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani pula, 29, dia menjayakan watak Badang mengikut skrip filem Magika.

"Dari segi keserasian pula, saya memang tidak pernah berbual dengan Diana sebelum ini. Insya-Allah, saya dan Diana mempunyai keserasian dalam filem ini seperti diharapkan pengarah. Cuma Diana yang takut tengok mata saya dalam salah satu babak dalam filem ini.

"Pada pandangan saya, watak Badang itu juga tidak perlu bersentuhan dengan Ayu dalam filem ini. Watak Badang juga penyayang dan dia menganggap Ayu seperti adiknya sendiri," katanya.

Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini juga menafikan dia meletakkan sebarang syarat pada pengarah untuk menolak babak bersentuhan dengan Diana dalam filem itu.

"Saya pernah buat kenyataan perkara ini tapi ia menjadi isu besar ketika filem Aduh! Saliha dulu. Justeru, saya tidak ingin komen lebih-lebih lagi perkara ini. Cuma kalau boleh, saya ingin mengelak daripada melakukan babak bersentuhan dengan Diana mahupun pelakon wanita lain dalam filem.

"Saya juga boleh berbincang dengan pengarah mengenai perkara itu. Tapi kalau tak boleh nak elak, saya buat sajalah seperti dikehendaki skrip.

"Pada masa sama, saya juga tidak ada masalah untuk bergandingan dengan Diana dalam filem lain pada masa depan," katanya.

Ditanya sama ada lakonannya dalam Magika lebih berjaya berbanding filem Jin Notti, Mawi berkata, dia memang berasa lain macam selepas menonton filem Magika buat kali kedua. -hmetro

Ulasan GB

Yang baik jadikan tauladan. Di dalam dunia perfileman, para artis lazimnya terpalit dengan kisah bukan sekadar dosa persentuhan dengan bukan muhrim, malah lebih jelek dari itu. Namun rupa-rupanya masih ada yang menjaga iman dengan berterus terang minta agar dielakkan perkara sedemikian berlaku.

Dan ia akan berjaya bila ada kerjasama kedua-dua pihak, bila si perempuannya turut serta seperti kata-kata Diana:

"Pada masa sama, saya juga ingin menjaga hati isteri Mawi, Ekin (Nora'Ashikin Rahmat). Ekin seorang yang baik dan peramah. Saya juga menghormatinya. Kalau saya sudah berkahwin pun, pasti saya tidak suka suami berdua-duaan dengan orang lain selepas penggambaran."


Tiada ulasan: