24 Feb 2010

Polis Guna Akta Hasutan Untuk Soalsiasat Sivarasa Dan Salehuddin (updated)

Politik kotor Umno-Barisan Nasional kini semakin terserlah apabila mengenakan taktik ugutan Akta Hasutan untuk menghalang pemimpin Pakatan Rakyat daripada terus memberikan ceramah berhubung isu-isu kepentingan rakyat.

Terbaru Naib Presiden KEADILAN Sivarasa Rasiah dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob hari ini disoal siasat polis berkaitan ceramah disampaikan mereka di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 7 Februari lalu.

Kedua-dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu disoal siasat berikutan alasan polis yang mengatakan kandungan ceramah yang disampaikan berkenaan isu politik negara dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Antara kandungan ceramah yang disampaikan termasuk isu kes fitnah terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu penyelewengan dan rasuah Umno, pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu serta isu penggunaan kalimah Allah.

Laporan polis itu dibuat oleh pegawai polis Seberang Jaya, Inspektor Irwandi Khirrudin Mohd Rijal pada 8 Februari lalu.Sivarasa dan Salahuddin mula disoal siasat selama sejam oleh dua pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Jaya ASP S. Subramaniam dan Inspektor Fahmi Abu Samah di bangunan Parlimen pada pukul 1 tengahari tadi.

Sivarasa ketika ditemui pemberita di pejabat Ketua Pembangkang dibangunan Parlimen berkata sebanyak 18 soalan dikemukakan oleh dua pegawai polis terbabit namun beliau dan Salehuddin enggan menolak untuk menjawab soalan yang diajukan.

"Dibawah Seksyen 112(2) Kanun Acara Jenayah, sebagai orang kena suspek (OKS) kami boleh menolak untuk menjawab soalan tersebut," katanya.

Sementara itu ketika mengulas mengenai laporan polis terhadap mereka, Sivarasa berkata ini merupakan satu cubaan untuk mengugut dan menghalang pemimpin Pakatan Rakyat daripada memberikan maklumat sebenar kepada rakyat melalui ceramah.

"Ini adalah satu ugutan untuk menghalang politik Pakatan Rakyat. Lebih baik tumpukan kepada siasatan jenayah berat yang lain. Buang masa saja polis datang dari Pulau Pinang semata-mata untuk menyoal siasat. Mereka (polis) ini sebenarnya diperalatkan oleh permainan politik kotor Umno-BN," tegas beliau lagi.

Ditanya jika ceramah yang disampaikan itu mengganggu prosiding mahkamah terhadap isu membabitkan kes Datuk Seri Anwar,

Sivarasa berkata kandungan ceramah yang disampaikannya itu sama sekali tidak mengganggu perjalanan kes.

"Ceramah saya langsung tidak mengganggu perjalanan kes kerana hakim menentukan fakta, keterangan, dan hujah apa yang ada dalam mahkamah sahaja, bukan kerana kenyataan Sivarasa dan Salehuddin dalam ceramah.

"Jika hakim dipengaruhi oleh keterangan daripada luar, maka dia harus letak jawatan kerana kredibilitinya menghakimi kes akan dipersoalkan," kata Ahli Parlimen Subang itu."

Beliau berkata tindakan polis ini tidak akan menghalang beliau dan pemimpin PR daripada terus berpolitik dan memperjuangkan kebenaran.

"Kami tetap yakin pada Pakatan Rakyat dan terima keadaan ini sebagai salah satu cabaran dalam perjuangan politik, dan ini juga tidak menghalang perjuangan kami dalam menegakkan kebenaran bagi Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat.

Dalam nada yang sama Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata tuduhan yang dilemparkan di bawah Akta Hasutan itu seperti wujud skrip yang dirancang terlebih dahulu kerana pihak polis mendakwa ada bukti rakaman video ceramah serta saksi, begitu juga dengan soalan siasatan yang dikemukakan.

Mengulas mengenai kandungan ceramahnya Salehuddin berkata, beliau ketika itu banyak menekankan pendirian PAS tentang isu penggunaan kalimah Allah dan beberapa isu penyelewengan dan rasuah membabitkan pemimpin Umno-BN.

"Saya yakin ceramah yang diberikan adalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai dasar dan prinsip PAS mengenai penggunaan kalimah Allah dan ini tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

Salahuddin ketika disoal siasat turut menolak untuk menjawab kesemua soalan yang diutarakan.

Semasa sesi soalsiasat Sivarasa dan Salahuddin diwakili peguam N. Surendran.

Dalam perkembangan yang sama Ketua Menteri Pulau Pinang juga telah diminta memberi keterangan oleh pihak polis hari ini berhubung enam laporan polis yang dibuat terhadap beliau.

Laporan polis itu juga berkaitan dengan kandungan ceramah beliau yang didakwa menyalahi Akta Hasutan 1948. -Suara Keadilan



1 ulasan:

Awanama berkata...

yang menghasut dan perkauman UMNO, tapi yang kena siasat pakatan rakyat