28 Jan 2010

400 Orang Ketua-ketua Agama Bertemu Di Kelantan

Lebih 400 orang ketua-ketua agama dari empat buah agama di seluruh negara akan menghadiri jemputan Mahabbah Kerajaan Kelantan sempena majlis jamuan tengahari yang bakal diadakan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pada masa yang sama, majlis yang julung kali diadakan secara besar-besaran itu juga bakal disertai wakil media seluruh negara.

“Selain ketua-ketua agama dari ulama Islam, paderi dan sebagainya, saudara-saudara dari rakan media juga turut menjadi tetamu pada hari berkenaan esok,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini semalam.

Sempena majlis yang diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga, ada beberapa acara antaranya ucapan dari Tuan Guru sendiri termasuk wakil-wakil dari pemimpin agama juga akan turut berucap.

Program berkenaan bertujuan untuk meredakan keadaan yang sedikit tegang baru-baru ini yang berkait dengan beberapa isu agama.

“Mudahan dengan cara ini Kelantan dapat menjadikan ianya suatu contoh isu-isu sansitif seperti itu dapat diselesaikan secara musyawarah bagi mengekalkan keharmonian masyarakat di negara ini.

“Kita berbangga kerana Kelantan telah menjadi perintis pada program seperti ini,”ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menyeru rakyat Kelantan seluruhnya hadir untuk mendengar penjelasan isu tuntutan royalti di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, bermula dengan solat Maghrib petang ini.

Menurutnya, rakyat Kelantan wajar hadir pada majlis itu untuk mendengar taklimat khas yang akan disampaikan oleh pengerusi Petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah malam esok.

Majlis berkenaan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Badan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang turut disertai berpuluh NGO lain.

“Majlis bermula dengan solat Maghrib, solat sunat hajat dan Isyak sebelum ceramah yang akan ditekankan soal-soal hak, khususnya dari sudut undang-undang,”ujarnya.

Tambahnya, amat wajar rakyat negeri ini turun beramai-ramai untuk mendengar pendedahan yang tidak pernah diketahui oleh mereka.

“Jadi saya seru pada semua lapisan masyarakat di negeri ini, tidak kira bangsa, agama dan fahaman parti politik supaya turut datang mendengar ceramah ini,”ujarnya.

Tuan Guru turut mendapat maklum, masyarakat Terengganu juga dijangka hadir untuk mendengar taklimat berkenaan. -harakahdaily


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kami sokong penuh TGNA, singkirkan UMNO musuh rakyat dan pemuda

Tanpa Nama berkata...

Semua penganut ugama adalah sama kecuali dalam soal makanan. BN dah tak peduli itu semua. Mereka yang dalam BN tu nak kejar kekayaan saja!