
Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim dan inkues tragedi kematian Teoh Beng Hock telah dijadualkan pada awal bulan Februari, sebelum diberi kata dua "siapakah Menteri Besar Perak yang sah" pada 9 Februari. Desas-desus mula tersebar, meramalkan pembubaran DUN Perak dalam masa yang terdekat.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang menjadi sasaran selepas Perak, juga diuar-uarkan bakal ditumbangkan. Khabar ini tercetus sejak tahun lalu, meletakkan 16 September 2009 sebagai saat letup-hancurnya kerajaan PR, yang kemudiannya ditundakan kepada Januari 2010.
Biarpun khabar sedemikian disifatkan sebagai "perang psikologi" oleh mereka yang tidak mempercayainya, namun ia tetap mencungkil saraf PR, sehingga Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sendiri turun ke gelanggang negeri darul Ehsan ini untuk menghalang impian UMNO-BN daripada menjadi "kenyataan".
Bubar DUN Perak?

Berlatar-belakangkan konteks ini, Najib dijangka akan melepas tangan sebelum PRU ke-13. Lebih-lebih lagi, UMNO-BN amat yakin dengan sokongan masyarakat Melayu-nya di Perak, ditambah pula penghakiman kes ini bakal memberi implikasi yang boleh menimpa Najib sendiri, maka UMNO-BN terpaksa memilih untuk berdepan dengan rakyat.
Sama ada Menteri Besar BN sekarang, Zambry Abdul Kadir membubar DUN sebelum penghakiman diumumkan, atau Menteri Besar PR, Nizar Jamaluddin berbuat demikian seandainya dirinya disahkan sebagai "MB halal", akan menjurus kepada pembubaran DUN dan disusuli dengan pilihan raya negeri Perak.
Kes liwat: Perkembangan yang tidak menentu

Di Kuala Lumpur pula, perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim akan berlangsung. "Bahan bukti" yang bakal dihadap ke mahkamah, sama ada "melucukan" atau "menggemparkan", pastinya menjadi isu kempen jikalau pilihan raya Perak diadakan. Malah, untuk berdepan dengan perkembangan yang tidak menentu ini, PR perlu mengerah kepakaran peguam dan sokongan rakyat di ibu negara.
Sudah pastinya, Anwar Ibrahim wajib berulang-alik ke mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan. Sebahagian rakan seperjuangannya akan berada di sisinya untuk menghadapi kes mahkamah, sementara sebahagian yang lain pula akan menjelajah ke negeri Perak untuk mengembalikan kuasa kerajaan negeri itu ke pangkuan PR.
Perkiraan ini berdasarkan andaian bahawa DUN Perak dibubarkan. Seandainya ditambah pula andaian pembubaran DUN Sarawak (pilihan raya lalu - Mei 2006), pembahagian kerja antara pemimpin PR akan menjadi lebih rumit.
Bagaimana pula dengan Selangor?

Tidak cukup dengan itu, imej kerajaan PR di Selangor dicalitkan apabila gambar peribadi Elizabeth Wong didedahkan pada tahun lalu, dan tuduhan khalwat dilontarkan terhadap Halimah Ali. Malah, ADUN PR yang lain seperti Lau Weng San sebagainya terbelit dengan tuduhan menyertai perhimpunan haram, yang belum tentu nasibnya.
Melihat kepada senario sedemikian, tidak mustahil sekiranya kerajaan negeri PR ini digulingkan, walaupun pernah seketika selesa dengan kedudukan 36-20 kerusi selepas PRU ke-12. Pada November 2009, ADUN Port Klang-PKR Badrul Hisham Abdullah keluar parti sebagai calon bebas yang menyokong BN, merapatkan jurang kepada perbezaaan 14 kerusi, yang cuma memerlukan "penyeberangan" lapan orang ADUN untuk menukar kerajaan.
Kemelut luar dan dalam
Namun, kemelut terbesar sebenarnya datang dari dalaman PR sendiri. Zulkifli Noordin (PKR), Hasan Ali (PAS)... antara pemimpin PR yang kontroversi telah dihadapkan kepada lembaga disiplin parti masing-masing. Nasib Hasan Ali dan seorang lagi pemimpin PAS, Khalid Samad akan diketahui minggu ini, sementara tindakan terhadap Zulkifli Noordin pula akan diketahui dalam tempoh sebulan.
Padahal, lidah UMNO telah bersedia dengan retorik yang bakal didendangkan seandainya kedua-dua orang yang menggelar dirinya "pejuang Islam" ini tersingkir dari PR. "Zul Noordin pejuang sejati atau 'duri dalam daging'" tulisan Zaini Hassan yang tersiar di Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan, "Apa ini? Bercakap mengenai Islam pun tak boleh? Hendak mengkritik kawan yang menentang Islam pun tak boleh?"
Januari semakin ke penghujungnya. Februari satu Malaysia mula bergolak. - Lim Hong Siang (Merdeka Review)
5 ulasan:
1 malaysia slogan mempengaruhi mahkamah oleh UMNO
Mana boleh percaya mahkamah zaman najib, hakim boleh di pengaruhi
kalau perdana menteri tak betul, bagaimana hakim nak betul, bapa borek, anak rintek.
korek.. korek..korek..! korek.. korek..korek..!!!
Bikin malu kepada dunia! Dalam PRU13 nanti eloklah ditukar saja kuasa tu.
Catat Ulasan