28 Jan 2010

Merlimau Akan Hebat Membangun Bila UiTM Berpindah Ke Semujok

Bandar Merlimau dijangka akan pesat membangun apabila berikutan keputusan kerajaan pusat memindahkan projek pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang akan dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, ke Jasin, Melaka.

Kawasan yang dimaksudkan ialah di tanah milik Yayasan Melaka di Seri Mendapat, Semujok, yang terletak lebih kurang 8 km dari Pekan Merlimau.

Kawasannya berhampiran dengan Politeknik Merlimau. Dan di merlimau juga terdapat sebuah Kolej Komuniti Jasin. Selain itu, terdapat sebuah Pusat Kokurikulum di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran Melaka yang beroperasi di Kampung Lanchang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jasin akan dibuat menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menawarkan kepada PYBK Usahasama Sdn Bhd untuk membina kampus itu yang dianggarkan bernilai RM300 juta di tanah milik Yayasan Melaka tersebut dijangka siap pada 2013.

Katanya asalnya kampus itu ditawarkan untuk dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor.

"Kampus UiTM ini akan membantu Melaka menjadi hab pendidikan kerana daerah lain di Melaka semuanya sudah ada universiti," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak kampus UiTM itu Rabu.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan cadangan pembinaan kampus UiTM oleh YBK di Serendah, Rawang dibatalkan ekoran keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan tapak bagi projek tersebut dan dipindahkan ke Jasin.

Di dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui rakyat negeri Selangor akan mengalami kerugian besar daripada segi pembangunan sosial berikutan keputusan kerajaan pusat memindahkan projek pembinaan kampus UiTM, yang akan dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, ke Jasin.

Katanya beliau juga tidak mempersoalkan keputusan kerajaan pusat untuk memindahkan projek itu kerana yang akan rugi ialah rakyat dan bukannya kerajaan negeri sebab tanah itu boleh dibangunkan untuk tujuan lain.

“Cuma saya berharap penggunaan duit pembayar cukai yang diambil kira dalam projek ini, akan dikaji sedalam-dalamnya oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Mohamed Khaled yang mengesahkan kampus baru UiTM itu dipindahkan ke Jasin, Melaka.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata cadangan asal pembinaan kampus itu yang sepatutnya didirikan di Serendah, Rawang dibatalkan ekoran keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan tapak bagi projek tersebut.

Masalah kelulusan tapak itu bermula apabila YBK enggan mengikut syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu mesti melantik Menteri Besar dan seorang Exco sebagai anggota dalam lembaga yayasan tersebut.

Di samping itu, beliau juga berkata pihaknya tidak akan campur tangan dalam apa-apa urusan perniagaan yang melibatkan YBK dengan entiti perniagaan lain.

Sementara itu, Khalid berkata semua wakil rakyat pakatan pembangkang akan mengadakan satu perjumpaan esok bagi membincangkan strategi dalam usaha memenangi hati dan minda rakyat.

Tiada ulasan: