16 Mei 2009

ZAMBRY MUKA TAK TAHU MALU

Ramai yang terkejut dengan apa yang telah berlaku awal minggu ini. Mula-mula DS Nizar diumumkan sebagai Menteri Besar yang sah di Mahkamah Tinggi. Tuan Hakim menyebut bahawa DS Nizar tidak pernah tidak menjadi Menteri Besar semenjak perlantikan beliau pada bulan Mac tahun lepas. Ini bermakna bahawa semenjak Februari tahun ini apabila rompakan kuasa dilakukan oleh BN, DS Zambri merupakan Menteri Besar Haram. Sijil haramnya disahkan oleh mahkamah tinggi! Zambri telah menjawat jawatan MB secara tidak sah, berlagak sebagai MB sedangkan beliau tidak mempunyai apa-apa hak untuk mengisi jawatan tersebut.

Sepatutnya Zambri merasa malu dengan keputusan itu dan bersegera untuk meyerahkan balek jawatan yang dia tidak layak memegang itu. Malangnya sesuai dengan gelaran di atas, beliau bertindak untuk menyekat dan menangguh perlaksanaan keputusan mahkamah tersebut dengan mendapatkan ‘stay order’ dari mahkamah rayuan.

‘Stay order’ ini tidak bermakna bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tersebut ditolak atau diterbalekkan. Ia hanya menunda perlaksanaan keputusan mahkamah tersebut. Ertinya, mahkamah rayuan tidak menolak keputusan mahkamah tinggi. DS Nizar diakui MB yang sah. Hanya tak boleh lagi diberikan kembali jawatan MB kepadanya kerana ada ‘stay order’. Oleh itu, dakwaan bahawa Zambri kembali sebagai MB yang sah adalah satu dakwaan yang palsu dan memalukan. Bagi mereka yang tahu malu.

Tidak puas dengan menyamar sebagai MB selama 3 bulan lebih, Zambri berjaya melanjutkan lagi tempoh untuk dirinya terus menyamar. Muka tak malu sungguh! Sekiranya nak tunggu tarikh perbicaraan di mahkamah rayuan untuk menolak keputusan mahkamah tinggi sekalipun, sepatutnya Zambri mengakui buat masa ini DS Nizar lebih berhak ke atas jawatan tersebut. Zambri sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Perak kerana menipu mereka selama ini, serahkan jawatan balek ke DS Nizar dan terus berkhidmat sebagai ADUN biasa sehingga tarikh perbicaraan di mahkamah rayuan.

Namun apakan daya. Teringin sangat beliau kepada jawatan tersebut walaupun diputuskan beliau tidak berhak. Mungkin dianggap rakyat bodoh dan tak faham.

Malah beliau dengan begitu bangga kembali sebagai MB Haram sambil mendabik dada menyamakan dirinya sebagai pejuang seperti Gandhi dan Mandela! Rakyat benar-benar dianggap bodoh oleh gerombolan ini!

Gandhi dan Mandela berjuang untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak diredhai rakyat. Mungkin DS Zambri tak sedar, kerajaan yang TIDAK diredhai rakyat di Perak adalah kerajaan BN! Mereka masih anggap rakyat bodoh. Namun rakyat nampak siapa sebenarnya yang bodoh!

Bukti mereka tahu bahawa BN tidak diredhai jelas dari sikap mereka yang begitu takut untuk membubar DUN Perak. Malahan, tanpa segan silu, seorang lagi ahli kumpulan yang tak tahu malu, Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan mendesak BN supaya jangan membubar DUN kerana kalau dibubar dan diundi semula, BN pasti akan kalah! Tahu pun! Kalau dah tahu dan dah sedar, insaf ajelah. Ini, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong siapa suruh? Apa dah nak jadi kepada Malaysia ini? MB muka tak malu, PM muka tak malu (kes Mongolia) dan mantan PM yang juga muka tak malu!

Mereka satu kapal. Semoga karam bersama! -khalidsamad


Tiada ulasan: