16 Mei 2009

Hishamuddin dan Musa Hassan Juga Boleh Dipenjara - Peguam

Badan Peguam Malaysia akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri bagi mendesak beliau memecat Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein berhubung kenyataan beliau baru-baru ini yang mendakwa golongan peguam tidak mengatasi undang-undang negara.

Badan tersebut juga akan memfail saman terhadap kerajaan Malaysia dan Ketua Polis Negara berhubung penahanan tersebut.

Hishammuddin membuat kenyataan tersebut berkaitan insiden penahanan lima peguam di depan Balai Polis Brickfields 7 Mei lalu.

Mereka adalah antara 20 yang ditahan dalam perhimpunan kecil menyalakan lilin bagi menyokong Wong Chin Huat, jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), yang direman di balai tersebut sehari sebelum itu.

Lima peguam dari Biro Bantuan Guaman termasuk pengerusinya Ravinder Singh Dhalliwal hadir di depan balai polis tersebut tujuan memberi bantuan guaman terhadap sekumpulan 15 orang yang ditangkap kerana berhimpun sebagai tanda sokongan kepada Wong.

Badan Peguam yang membuat keputusan tersebut selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Petaling Jaya tengahari tadi.

Badan itu juga mendesak supaya Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid serta DSP Jude Pereira dipecat.

Tindakan penahanan lima peguam itu juga dikutuk keras dan disifatkan penahanan itu tidak sah di sisi undang-undang.

Presiden Badan Peguam, K. Ragunath berkata jika golongan peguam tidak mengatasi undang-undang maka pihak polis juga tidak boleh bertindak sesuka hati dan di luar batasan kuasa. -tva


1 ulasan:

Unknown berkata...

Najib nak dengar ke? Musa adalah algojo belaan Mahathir dan Hisham adalah sepupu Najib.