19 Mac 2009

Semua Wakil Rakyat Paya Besar Terlibat Rasuah

Paya Besar adalah sebuah kawasan Parlimen dalam negeri Pahang. Dalam Parlimen ini pula terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panching, Sungai Lembing dan Lepar.

Dalam pilihan raya umum ke-12 lalu kerusi Parlimen Paya Besar termasuk ketiga-tiga DUN di dalamnya telah dimenangi oleh Barisan Nasional melalui wakil Umno.

Hari ini Paya Besar telah mencatat sejarahnya tersendiri dalam politik tanah air khususnya politik BN apabila keempat-empat wakil rakyatnya (satu Parlimen dan tiga DUN) didapati bersalah terlibat dalam rasuah.

Apabila Lembaga Disiplin Umno melalui pengerusinya Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan keputusan siasatan ahli-ahlinya yang didakwa terlibat dengan politik wang, mungkin ramai yang terlepas pandang kerana lebih memberi tumpuan kepada calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan calon ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Tetapi disebalik 29 nama dalam senarai keputusan siasatan lembaga Disiplin Umno itu terdapat nama Abdul Manan Ismail (Ahli Parlimen Paya Besar), Md Sohaimi (Adun Sungai lembing), Mohd Zaili Besar (Adun Panching) dan Mohd Shohaimi Jusoh (Adun Lepar) yang kesemuanya diputuskan bersalah.

Mungkin ini satu kejutan besar kepada semua pengundi Paya Besar kerana empat wakil rakyat yang mereka pilih sama ada mewakili parlimen maupun DUN-DUN dalam kawasan ini tiada seorangpun yang bersih dari jenayah politik wang.

Namum lebih menarik apabila ketua Umno bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menghantar faks kepada Siasah dengan dakwaan amat serius.

"Perlakuan rasuah oleh keempat-empat ahli Umno tersebut didalangi oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri," katanya.

Demikian dilaporkan oleh siasahdaily

Bernama pula melaporkan Umno Bahagian Paya Besar semalam menggesa agar Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab di atas keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendapati empat wakil rakyat Umno dari bahagian itu bersalah melanggar Perlembagaan parti dan Tata Etika Ahli.

Ketuanya Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa pihaknya mempunyai saksi bahawa keberanian keempat-empat wakil rakyat tersebut yang secara terbuka mencabar etika parti, adalah didalangi oleh Adnan sendiri.

"Umno Bahagian Paya Besar merakamkan rasa kesal terhadap tindak tanduk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang dan berpendapat beliau hendaklah mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang," katanya dalam satu kenyataan yang difakskan ke Bernama di sini, hari ini.

Ahmad Tajuddin berkata beliau percaya keputusan Lembaga Disiplin parti adalah berasaskan peraturan sedia ada dalam rangka mengembalikan integriti parti.

Sementara itu, Adnan menasihati anggota Umno Pahang yang telah didapati bersalah supaya lebih berhati-hati pada masa depan untuk mengelakkan tragedi yang sama berulang ke atas mereka.

Dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini hari ini, beliau menasihatkan mereka, jika boleh, supaya menangguhkan sementara tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat, ketika berlangsung pemilihan Umno minggu depan, agar tidak didakwa sebagai melakukan apa-apa kesalahan.

Lembaga Disiplin Umno semalam memutuskan Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail digantung selama setahun, Ketua Pemuda Maran Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi digantung keanggotaan selama tiga tahun manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, Naib Ketua Umno Bahagian Paya Besar Mohd Shohaimi Jusoh dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Paya Besar Mohd Zaili Besar diberikan amaran.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata, kejadian itu adalah sesuatu yang menyedihkan bagi Umno Pahang namun beliau bertegas, bahawa pada dasarnya, mereka yang didapati terbabit itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

"Adalah menyedihkan bila menyaksikan rakan-rakan kita dihukum kerana melampaui batasan kod etika parti tapi yang baiknya ialah mereka tidak melakukan apa-apa bentuk jenayah, namun keputusan Lembaga Disiplin Umno mesti dihormati oleh semua ahli parti.

"Saya ingin jelaskan bahawa Ahli Parlimen Paya Besar yang digantung setahun dan tiga Ahli Dewan Undangan dari Sungai Lembing (Md Sohaimi), Lepar (Mohd Shohaimi) dan Panching (Mohd Zaili) yang dikenakan amaran bukanlah kerana menggunakan wang tetapi didapati telah menganjurkan dan menyertai perjumpaan dalam usaha mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dalam tempoh pemilihan jawatankuasa Umno bahagian yang lepas," kata beliau.


Tiada ulasan: