19 Mac 2009

Adnan Yaakob Ajak Ketua UMNO Paya Besar Muhabalah

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, menegaskan beliau tidak akan mengendahkan desakan Umno Bahagian Paya Besar supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang selepas empat pemimpin Umno bahagian itu didapati melanggar Tata Etika Ahli.

Adnan berkata, beliau hanya akan berbuat demikian sekiranya Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, menjadi Presiden Umno.

"Saya akan letak jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang jika dia (Ahmad Tajuddin) menjadi Presiden Umno... esok dia jadi presiden (Umno), lusa saya letak jawatan kerana yang melantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri ialah Presiden Umno," katanya dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini, hari ini.

Umno Bahagian Paya Besar membuat gesaan itu semalam selepas Lembaga Disiplin Umno memutuskan menggantung anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, selama setahun dan memberi amaran kepada Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah; Naib Ketua Mohd Shohaimi Jusoh; dan ahli jawatankuasa bahagian, Mohd Zaili Besar.

Adnan berkata, orang yang sepatutnya letak jawatan adalah Ahmad Tajuddin sendiri kerana sebagai ketua, dia dilihat gagal menguruskan bahagian itu dengan baik.

"Mengenai tuduhan saya jadi dalang, itu satu tuduhan palsu daripada orang yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon pilihan raya kerana saya tidak mencampuri urusan pemilihan bahagian Paya Besar di mana saya tidak berjumpa atau berhubung, jauh sekali menolong mereka yang terbabit dalam pemilihan bahagian itu," katanya.

Sehubungan itu, Adnan mengajak Ahmad Tajuddin bermuhabalah di masjid negeri pada satu tarikh dan masa yang dipersetujui bersama.

"Dia boleh menuduh saya jadi dalang dan saya akan menafikannya dan dia boleh bawa seberapa ramai saksi yang dia boleh upah," katanya - BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ha..ha..ha.. nak tergelak lah pulak...

5 X 2, 2 X 5 je tu....

Bila dah tersepit atau menyepit pandai pulak nak bermuhabalah di masjid!
Guna stadium kan lebih baik.
Inilah spesis-spesis ......