14 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Bai'ah Sumpah Setia Laknat Bukan Talak Tiga

Pas mengakui ia hanya mengamalkan bai'ah sumpah setia laknat bukannya amalan bai'ah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kata Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar Pas yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.

"Pas ada cara sendiri, kita guna tradisi dalam Islam. Bai'ah kita adalah ikrar setia dalam perjuangan. Pas buat benda ni sebelum pilihan raya lagi, sewaktu kita dipilih sebagai calon.

"Walaupun kita (Jawatankuasa Pas Pusat) tak setuju apa yang dilakukan oleh Khalid, tetapi kita hormati pendirian beliau. Mungkin itu pilihan dia untuk tunjukkan kesetiaan kepada parti,"
katanya pada sidang media berhubung isu bai'ah di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Khalid baru-baru ini telah mendedahkan mengenai wujudnya amalan bai'ah dalam kalangan calon wakil rakyat parti itu yang dikehendaki melafazkan akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya keluar parti.

Mustafa berkata bai'ah anggota Pas menjelang pilihan raya umum lalu tidak melibatkan lafaz menceraikan isteri, sebaliknya merupakan "sumpah setia laknat" bagi mengelak daripada berlakunya lompat parti.

Katanya hanya terdapat dua anggota parti itu dari Selangor menggunakan lafaz bai'ah yang berbeza daripada amalan bai'ah biasa, dan seorang daripadanya adalah Khalid sendiri.

Menurut Mustafa, pimpinan tertinggi Pas berpendapat, bai'ah yang dilafazkan oleh Khalid tidak sepatutnya berlaku kerana ikrar seperti itu seperti merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

Berikutan tindakannya itu, Mustafa berkata, Khalid telah diberikan peringatan lisan oleh parti.

Khalid dalam pendedahannya sebelum ini mengakui memasukkan lafaz cerai taklik dalam bai'ahnya bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.

Mustafa berkata, lafaz bai'ah Khalid dan seorang lagi anggota Pas di Selangor itu juga berbeza antara satu sama lain.

Mustafa bagaimanapun enggan menyatakan nama seorang lagi pemimpin yang dimaksudkan.

"Kita anggap ini hanyalah kes terpencil. Tak perlulah didedahkan nama individu itu, sama ada anggota parlimen atau anggota dewan undangan negeri. Pas harap isu ini tidak diperbesarkan," katanya. - BERNAMA Video : TVS


Ulasan GB

GB kurang bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa bai'ah yang dilafazkan oleh Khalid seperti merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

Malah ia meninggikan darjat wanita, bererti wanita menjadi kuasa penentu di dalam rumahtangga "sekiranya suami sudah belok (derhaka)" kepada perjuangan.

Misalnya seandainya si suami dari PAS bertukar parti, maka bukan sahaja ia dilaknati, malah beliau turut tidak boleh beristerikan lagi dengan orang yang selama ini mendampinginya. Biarlah si suami bertukar parti, si isteri tetap PAS, si isteri takkan ikut suami yang derhaka itu.

Si isteri tidak boleh dipaksa menuruti langkah suami tetapi sebaliknya mesti dibenarkan membuat pilihannya untuk bersuami lain yang tidak derhaka kepada perjuangan parti.

Jadi, dimana sebenarnya kebenaran yang menyatakan ia merendahkan darjat wanita?

Wanita sedemikian jauh lebih mulia dari isteri-isteri yang dah terbayang gelang emas penuh di tangan dan kaki jika suami melompat parti.

Wanita sedemikian jauh lebih mulia kerana tidak lagi ingin disentuh dan dipeluk oleh mereka yang sudah derhaka kepada Allah dan RasulNya serta perjuangan Islam.

Mengapa isu ini dihebohkan sedemikian rupa? Adakah kerana ada pemimpin PAS yang terkilan kerana telah melakukan sumpah baiah menyebabkan dia tak boleh melompat parti dan kemudian jadikan Khalid Samad sebagai sasaran serangan?



1 ulasan:

kembara putih berkata...

Terkilan la dengan Mustafa Ali ni. Bila ada kes geng lawan, laju jer mereka bertindak, bila Hassan Ali buat onar, senyap sunyi je. Khalid Samad cuma membuat pengakuan untuk meredakan keadaan. Kes ni mula tercetus bila Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa membongkar rahsia di perjumpaan sulit dengan blogger2 UMNO. Kalau nak berlaku adil ada baiknya diberi juga amaran lisan kepada Hassan Ali dan Nasharuddin agar tidak sewenang2nya bongkar perkara sensitif kepada blogger2 UMNO.