14 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Azmin Tempelak Fitnah Jahat Vickneswaran

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menegaskan laporan yang mengaitkan beliau dan isterinya memiliki aset dalam bentuk saham bernilai RM8.5 juta adalah tidak berasas sama sekali dan juga satu fitnah untuk merosakkan reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

Kata beliau lagi, dakwaan ini juga satu fitnah jahat untuk mengaibkan dirinya dan juga keluarganya.

“Sejak tahun 1998 saya dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya.

“Malahan alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahan saya pada 16 sehingga 22 September 1998 (dan) saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami,” kata Azmin dalam satu kenyataan petang Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vickneswaran semalam (Jumaat) yang mendakwa beliau telah menerima satu kiriman yang mengandungi dokumen berkaitan dengan pembelian saham melibatkan tiga individu termasuk Azmin, isterinya Shamsidar Tahrin dan Jamal Tahrin bernilai RM8.5 juta dari tahun 1992 sehingga 1994.

Antara tahun 1992 hingga 1994, Azmin berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Vickneswaran mendakwa dokumen tersebut diserahkan kepada pengawal keselamatan kediamannya di Kota Kemuning pada lebih kurang jam 3 pagi.

Azmin dalam reaksi balasnya petang ini berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menyegerakan prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan fitnah tersebut.

“Saya percaya dokumen yang didedahkan oleh Vickeswaran itu dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkannya (salah laku) dengan saya dan isteri saya,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan rasa kesalnya kerana apa yang berlaku ini menunjukkan usaha untuk melancarkan fitnah ini tidak henti-henti demi untuk menganggu keamanan, ketenteraman, mengaibkan dan mencemarkan nama baiknya dan juga keluarganya.

“Malah kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat itu jelas mempunyai motif politik bertujuan merosakkan reputasi saya selaku ahli Parlimen Gombak dan naib presiden PKR. Maka Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Vickneswaran ke atas saya,” tegas beliau. -MSTAR


Azmin Perlu Beri Penjelasan Dakwaan Pembelian Saham RM8 Juta - Khairy

SEREMBAN: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali perlu menjawab dan memberi penjelasan mengenai dakwaan pembelian saham bernilai RM8 juta yang dibangkitkan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S.A. Vickneswaran, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

"Pembelian saham tak salah, cuma perlu diberi penjelasan bagaimana membiayai pembelian saham tersebut. Dia mesti ada jawapannya dan penjelasannya dan kita menunggu penjelasannya," katanya.

Khairy ditemui pemberita selepas melancarkan kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja anjuran Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sempena Kempen Konsumer Kebangsaan di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Ja'afar, Sungai Gadut dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Vickneswaran berkaitan pembelian saham mencecah RM8 juta melibatkan tiga invividu, termasuk Azmin pada awal 1990an yang disiarkan beberapa akhbar hari ini.

Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau berkata Vickneswaran telah membangkitkan beberapa soalan yang mungkin Azmin perlu memberi jawapan terutamanya jika pembelian itu dibuat sewaktu beliau berkhidmat sebagai seorang pegawai kerajaan.

"Kita harap Azmin tidak akan mengelak daripada memberi penjelasan sebab ini berhubung kait dengan kredibiliti.

"Banyak perkara dituduh pada kerajaan Barisan Nasional (BN), jadi tak salah kalau kita minta supaya akauntabiliti yang sama digunakan pakai dengan pemimpin pembangkang," katanya.

Mengenai langkah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor, beliau berkata tindakan itu jelas menunjukkan ketidakmampuan kerajaan Selangor untuk mentadbir dan mengurus ekonomi sehingga perlu mengambil 'orang luar'.

Mengenai kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja, Khairy berkata langkah itu merupakan antara cara yang dapat membantu rakyat Malaysia meringankan beban kewangan mereka. BERNAMA


Tiada ulasan: