18 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Noordin Md.Top Terbunuh

Ketua Polis Indonesia Jen Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di negara ini, Noordin Mohd Top mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah, awal pagi ini.

Katanya, polis berani mengesahkan bahawa lelaki itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki yang berasal dari Malaysia itu.

"Alhamdulillah, dengan kebesaran Allah dan berkat di akhir bulan Ramadan ini, dia adalah Noordin Mohd Top," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini Khamis, yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Katanya, polis terutama pasukan khas anti pengganas Densus 88 telah bekerja keras selama sembilan tahun mengesan dan memburu jejak Noordin dan akhirnya pada awal pagi ini dalam operasi di Solo, berhasil membunuh Noordin dan tiga pengganas lain serta seorang lagi yang cedera ditembak.

Bambang juga berkata polis turut menjumpai 200 kilogram bahan letupan yang sedia untuk digunakan di dalam rumah yang diserang hendap itu selain senjata M16 yang lengkap berisi peluru, selain komputer riba dan pelbagai dokumen. BERNAMA


Noordin letupkan diri

SOLO, Indonesia 17 Sept. – Pengganas No. 1 Asia, Noordin Mat Top, 41, terbunuh dalam satu serbuan polis ke atas tempat persembunyian kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) di Solo, Jawa Tengah, pagi ini.

Noordin dilaporkan terbunuh bersama empat lagi pengganas apabila pasukan keselamatan menggempur sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Noordin dan konco-konconya, setelah membuat intipan dan mengepung kawasan itu sejak malam tadi.

Noordin yang berasal dari Malaysia, dipercayai terbunuh setelah meletupkan dirinya menyebabkan mayat hancur dan kepalanya terputus.

Sebelum itu, letupan kuat dan tembakan senjata api kedengaran apabila polis menyerbu rumah tersebut pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan selepas sembilan jam mengepung rumah itu di pinggir bandar ini, yang selama ini dijadikan kubu oleh kumpulan militan JI itu.

Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di Asia itu terbunuh dalam serbuan polis tersebut.

Ketika ditanya sama ada benar Noordin telah terbunuh dalam serbuan itu, Bambang Danuri berkata: “Ya, Ya, Ya, semua maklumat (tentang kematian Noordin) berada di ibu pejabat polis, ”

Terdahulu, Bambang Danuri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagi memaklumkan mengenai serbuan tersebut.

Bulan lalu, media tempatan yang memetik sumber polis turut melaporkan kematian Noordin selepas polis melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah, juga di Jawa Tengah, namun selepas ujian forensik dijalankan beberapa hari kemudian ia terbukti salah.

Kerajaan bantu bawa pulang jenazah Noordin Mat Top

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Kerajaan akan membantu keluarga Noordin Mat Top membawa pulang jenazah pengganas paling dikehendaki di Indonesia itu ke tanah air setelah selesai segala siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan setakat ini tidak dapat menentukan bila tarikh jenazah itu akan dibawa pulang memandangkan pihak berkuasa republik berkenaan masih perlu melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identitinya secara mutlak.

"Kita akan berbincang dengan pihak keluarga untuk mengenal pasti siapa yang akan menerima dan menguruskan jenazah termasuk pergi ke Indonesia jika perlu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Bersama Petugas Ops Sikap di Plaza Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Indonesia, Jen. Bambang Hendarso Danuri yang mengesahkan Noordin mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah awal pagi hari ini.

Pengesahan bahawa mayat itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki itu.

Menurut Hishammuddin, keutamaan lain kerajaan pada masa ini adalah untuk menjaga kebajikan keluarga Noordin yang sudah pasti terjejas dengan kematiannya.

Dalam pada itu, katanya, beliau merasa sedih kerana kerajaan Malaysia tidak dapat membawa Noordin untuk menjalani proses pemulihan bagi mengubah sikapnya seperti yang telah dilakukan terhadap ahli-ahli Jemaah Islamiah (JI) dan militan lain sebelum ini.

"Adalah menyedihkan apabila akhirnya dia menamatkan hidup dengan keadaan seperti ini dan perasaan ini bukan bererti kita mengiakan perkara salah yang dilakukannya sehingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa," katanya.

Mengenai kejayaan pihak berkuasa Indonesia mengesahkan mayat pengganas itu dengan pantas, beliau berkata, ia berdasarkan cap jari yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada pihak perisikan republik itu sebelum ini.

''Kerjasama seperti ini perlu terus diutamakan kerana ancaman militan yang merentasi sempadan boleh menjejaskan kestabilan negara dan keselamatan rakyat yang tidak berdosa," katanya.



Tiada ulasan: