18 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Bebaskan Baki Tahanan ISA - SUHAKAM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu Kementerian Dalam Negeri membebaskan kesemua baki sembilan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih berada di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting di sini.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun (gambar) berkata, Suhakam berpendapat kesemua yang ditahan itu boleh dibebaskan daripada ISA manakala dua tahanan dari Thailand dan Pakistan yang didakwa melakukan pemalsuan dokumen boleh dituduh di mahkamah terbuka.:

“Ada hanya sembilan lagi tahanan ISA, daripada jumlah itu hanya empat tahanan rakyat Malaysia. Kita telah menemui dan berdialog dengan lapan tahanan hari ini...mereka yang dikatakan memalsukan dokumen sepatutnya dituduh di mahkamah terbuka supaya mereka diberi peluang untuk membela diri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dua jam masing-masing ke Penjara Taiping dan Kem Tahanan Perlindungan Kamunting di sini bersama-sama Pesuruhjaya Suhakam Datuk N Siva Subramaniam serta beberapa pegawainya.

Katanya, seorang lagi tahanan ISA, yang paling lama iaitu tujuh tahun, gagal ditemui mereka kerana memencilkan diri dalam tandas dipercayai mengalami tekanan.

Sipaun berkata, bahawa sejak Suhakam ditubuhkan pada 2000, suruhanjaya itu mengambil langkah pertama mengkaji ISA selama lebih setahun dan telah membuat pelbagai syor kepada kementerian berkenaan.

“Syor itu kita buat dalam dua fasa. Fasa pertama mengesyorkan kepada kerajaan untuk memansuhkan ISA kerana ia melanggar hak asasi manusia tetapi kita juga sedar bahawa ada keperluan undang-undang untuk hadapi ancaman terhadap keselamatan negara.

“Kita berpendapat ISA perlu diganti dengan undang-undang baru yang benar-benar dapat menangani kesalahan berhubung ancaman keselamatan negara, tetapi ini akan mengambil masa dan kita telah mencadangkan kerajaan mengkaji semula ISA supaya ia tidak mudah untuk diselewengkan dan disalahgunakan,” katanya.

Siva Subramaniam pula berkata, bahawa sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak perubahan yang dilakukan.

Kini dengan hanya tinggal sembilan tahanan ISA, ia adalah paling kecil dalam sejarah.

Beliau juga berkata bahawa dalam tempoh 20 tahun lepas, pihak polis memperlihatkan kecekapan yang tinggi dan kaedah siasatan terbaik. -Bernama


Tiada ulasan: