18 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Tiada Sebab Undi BN - Husam

Perdana menteri masih lagi membisu terhadap banyak kes membabitkan pencabulan undang-undang negara. Maka, tidak ada sebab untuk rakyat mengundi Barisan Nasional di Bagan Pinang, kata AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa.

Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan berkata, ketika undang-undang dicabul, negara pula terpaksa berhutang RM95 bilion, pemulihan kedaulatan undang-undang masih belum berlaku walaupun sudah lebih lima bulan Najib Razak berada di puncak kuasa.

Misalnya dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri, siasatannya sehingga membawa kepada kematian Teo Beng Hock.

"Seorang pemuda India pula mendakwa diseksa semasa penyiasatan SPRM. Semuanya itu tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Perdana Menteri," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri di Masjid Kamil Hassan, Salor baru-baru ini.

Menurut Husam, keadaan ini jelas menunjukkan tidak ada pemulihan dari segi perjalanan kedaulatan undang-undang dalam negara. Manakala dari segi ekonomi, Malaysia kelihatan semakin parah.

Keadaan negara yang setakat tahun ini sahaja telah berhutang RM93 bilion dalam bentuk jualan bon, merupakan satu jumlah yang sangat menakutkan sehingga boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi negara.

Ekoran daripada dasar perkembangan itu, beliau yakin tiada sebab untuk rakyat menyokong calon BN di Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini.

"BN kini sudah tidak mampu lagi memimpin negara ini. Rakyat harus menyedarkan BN dengan memberikan undi alternatif kepada pihak lain," tambahnya.

Ditanya sama ada PAS mampu memecahkan undi penyokong BN di kerusi tersebut, Husam berkata:

"Kalau kita mengatur strategi yang tepat kita ada peluang untuk menang biar kawasan itu mempunyai lebih 4,500 undi pos.

Tiada ulasan: