Ketika pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) menyifatkannya sebagai perkembangan positif, pembangkang pula mahu Perdana Menteri mengotakan janji beliau.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menganggap kesediaan kerajaan menyediakan tempat untuk pembangkang mengadakan perhimpunan jelas memperlihatkan ia tidak menyekat kebebasan bersuara rakyat.
"Sejak dari awal lagi kerajaan memang bersikap terbuka kepada semua pihak tidak kira mereka daripada parti politik pembangkang atau pun sebaliknya.
"Apa sahaja yang kerajaan buat tak pernah mereka (Pakatan Rakyat) sokong, mereka hanya tahu menuding jari menyalahkan kerajaan sahaja," katanya.
Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, pada masa yang sama berharap pembangkang tidak akan mengambil kesempatan dan memanipulasikan isu berkenaan.
"Kita (Puteri) sentiasa menyokong usaha positif seperti ini," katanya.
Kelmarin, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengadakan perhimpunan anti-ISA di ibu negara, yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan selain disertai kira-kira 20,000 orang mendesak kerajaan agar menghapuskan ISA.
KOMEN PEMIMPIN PAKATAN
Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar melahirkan pandangan berbeza dalam isu tersebut.
"Saya minta Perdana Menteri (Najib) kotakan apa yang dikata. Beliau (Najib ) dah lepas cakap dan berjanji sedemikian (sediakan stadium)," katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Pakatan akan mengadakan perhimpunan yang lebih besar daripada yang diadakan Sabtu lalu.
"Kita (Pakatan) akan adakan perhimpunan yang lebih besar selepas ini, kita harap dia (Najib) akan laksanakan apa yang dijanjikannya.
"Kita akan mohon untuk adakan perhimpunan di Bukit Jalil. Kita harap Perdana Menteri akan bagi kelulusan. Jangan beliau (Najib) beri alasan pula ketika itu," katanya.
Ketika ditanya bila perhimpunan terbaru itu akan diadakan, Mahfuz berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
"Kita akan bincangkan mengenainya. Namun sekarang bukan masa yang sesuai untuk adakan perhimpunan kerana kita sudah hampir ke bulan Ramadan dan kita juga akan hadapi pilihan raya kecil (Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir) tidak lama lagi.
"Mungkin selepas semua perkara itu selesaikan kita akan adakan perhimpunan itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, kerajaan sepatutnya bersikap adil kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
"Mereka (kerajaan) perlu bersikap adil. Kalau perhimpunan itu diadakan secara aman, kerajaan kena bagi ruang mereka berhimpun, jangan disekat dan mereka (kerajaan) perlu beri kebenaran," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berpendapat isu kerajaan menyediakan tempat untuk mengadakan perhimpunan tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan tidak boleh mencampuradukkan urusan kerajaan dengan politik.
"Kita tak perlu kerajaan sediakan tempat untuk kita adakan perhimpunan. Mereka (kerajaan) tidak harus campur tangan dalam isu ini.
"Bagi saya apa yang perlu dilakukan ialah pihak polis meluluskan permit yang kita mohon selepas itu mereka (polis) perlu jaga lalu lintas dan keselamatan... itu sudah cukup.
"Polis juga harus bersikap profesional dan tidak boleh mengikut pendirian yang melibatkan kepentingan parti politik tertentu," katanya.
1 ulasan:
aku terbayang suasana yg bakal berlaku jika apa yg dihajatkan oleh yb mahfuz menjadi realiti...apakah bukit jalil akan lbh meriah jika dibandingkan dgn friendly game manchester united vs pilihan m'sia baru2 ni??dua2 kali game jumlah penonton +/-80 ribu..kita tggu, join n tgk sndr..
Catat Ulasan