4 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Muhyiddin Dan Utusan Disaman RM100juta Jika Gagal Minta Maaf Drp Anwar

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Utusan Melayu Sdn. Bhd. diminta membuat permohonan maaf secara terbuka dan bercetak kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat berhubung rencana bertajuk "Anwar Pengkhianat, Putar Belit Fakta Mengenai Usaha Martabatkan Melayu – Muhyiddin".

Peguam Anwar, Sankara Nair berkata, surat tuntutan maaf telah dihantar kepada kedua-dua pihak berkenaan. Surat itu turut menuntut Utusan menarik balik artikel berkenaan dan berjanji tidak mengulangi tindakan berkenaan.

Katanya sekiranya kedua-dua pihak gagal memenuhi tuntutan berkenaan dalam masa tujuh hari bermula hari ini, saman ganti rugi berjumlah RM100 juta akan difailkan terhadap mereka.

“Ia telah diucapkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam kapasitinya sebagai pemimpin UMNO. Sebab telah pun dicetak, surat ini juga ditujukan kepada Utusan Melayu berdasarkan satu artikel bertajuk Anwar Pengkhianat, Putar Belit Fakta Mengenai Usaha Martabatkan Melayu – Muhyiddin.

“Anak guam kami menyatakan bahawa artikel ini adalah satu artikel yang memfitnah dan satu tuduhan tidak berasas bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang pengkhianat pada bangsa Melayu. Klien saya mengatakan bahawa dengan terbitnya artikel ini ianya berniat jahat terhadap beliau,” katanya.

Menurutnya artikel berkenaan yang diterbitkan hari ini menggambarkan Anwar sebagai individu yang tidak jujur, penipu, ahli politik yang tidak boleh dipercayai, pengkhianat pada bangsa Melayu, tidak layak memerintah, tidak ada prinsip dan korup, dan tidak beretika.

Kata Sankara lagi, terpulang kepada Anwar sama ada untuk meneruskan atau menarik balik saman berkenaan sekiranya kedua-dua pihak berkenaan memenuhi tuntutan yang dibuat.

“Bila lakukan fitnah, sekalipun fitnah telah ditarik-balik namun bisanya masih ada. Itu terpulang kepada Anwar untuk tarik tuntutan atau tidak terpulang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya telah menghantar satu permohonan semakan kehakiman terhadap kes pertuduhan liwat Anwar.

“Bersama-sama ini, pada jam 2.40 petang kami telah memfailkan satu lagi permohonan di Mahkamah Tinggi. Ini adalah terhadap satu kenyataan oleh pihak pendakwa yang mereka katakan mereka tiada apa-apa dokumen yang berpihak kepada kes Datuk Seri Anwar. Ini adalah permohonan untuk semakan kahakiman,” katanya.



Tiada ulasan: