Pada pertemuan singkat sempena kehadiran Mohd Fauzi pada satu program anjuran jentera parti di kampung berkenaan semalam, calon Pas itu diadukan masalah beberapa penduduk berkaitan tuntutan hak milik tanah.
Wakil penduduk terbabit, Ali Bakar, 78, berkata, masalah timbul apabila tanah seluas enam hektar yang diusahakannya bersama tiga penduduk lain sejak lebih 30 tahun lalu kini dituntut hak milik oleh orang lain.
Menurutnya, individu terbabit mendakwa kawasan yang terletak bersempadan dengan tanahnya itu, juga seluas enam hektar, sudah dibeli daripada pemilik asal dan kini dalam proses mendapatkan geran.
“Kawasan ini dulu kami yang tebas dan tanam sehingga pokok getah sekarang sudah boleh ditoreh dan setengahnya sudah boleh ditebang pun.
“Tiba-tiba datang orang dakwa tanah ini hak (milik) dia dan katanya sudah beli daripada pemilik asal sedangkan setahu saya, setakat ni sudah tiga kali kawasan ini beralih (bertukar) tuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Ali berkata, biar pun kesuntukan masa, pertemuan dengan Mohd Fauzi yang memang dikenali penduduk Lata Rek termasuk Kampung Latatual itu diharap akan memberi harapan baru kepada penduduk terlibat.
Katanya, dia juga percaya Mohd Fauzi yang mempunyai pengalaman selama 19 tahun sebagai Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Krai akan berusaha menyelesaikan masalah ‘perebutan’ tanah itu dengan baik.
“Saya sendiri pun sudah kenal lama dia (Mohd Fauzi), sebab itu bila tahu dia datang sebagai calon (Pas) hari ini, saya ambil peluang bercakap masalah (tanah) ini sebagai wakil kawan-kawan yang lain.
“Lebih-lebih lagi kalau dia dipilih sebagai wakil rakyat (ADUN Manek Urai) 14 Julai nanti, saya yakin masalah berebut tanah ini lagi cepat boleh selesai,” kata Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan