9 Jul 2009

Isu Ke Manek Urai : 6 Generasi Jadi Mangsa PPSMI

Tanggal 08.07.09 jam 2.30 petang maka berakhirlah dasar PPSMI yang gila itu(PPSMI dasar gila adalah kenyataan Prof DiRaja Ungku Aziz).

Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin telah mengumumkan pemansuhan sepenuhnya pada tahun 2012. Tahun 2012 diambil adalah untuk tidak menganggu sistem yang sedang berjalan pada masakini.

Pelajar darjah 3 yang akan mengambil UPSR pada tahun 2012, pelajar tingkatan 1 yang akan mengambil PMR pada tahun 2011 dan pelajar tingkatan 4 yang akan mengambil SPM pada tahun 2010 tidak akan terjejas pembelajaran mereka untuk mengadapi peperiksaan tersebut.

Walaupun pelajar darjah 1 akan mengambil UPSR pada tahun 2014 tetapi pelajar darjah 1 dan darjah 2 tidaklah menerima kesan yang besar terhadap pemansuhan dasar PPSMI ini.

Bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa ibunda akan menjadi bahasa penghantar mereka. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris akan diperkukuhkan untuk mempastikan bahawa pelajar-pelajar akan menguasai bahasa tersebut. Walau apapun istilahnya yang penting kerajaan telah memansuhkan PPSMI.

Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan yang beliau tidak bertindak mengikut desakan mana-mana pihak tetapi tindakannya memansuhkan PPSMI selepas Himpunan 100 Ribu anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI(GMP) sudah menjadi bukti yang amat kukuh menyatakan bahawa kerajaan tunduk kepada tekanan kuasa rakyat.

Dato’ Hishamuddin Tun Hussein, mantan Menteri Pelajaran telah membentangkan hasil 6 persidangan meja bulan, tiada satu pun resolusi yang mahu memansuhkan PPSMI.

Semuanya lebih kepada mengubahsuai dasar yang ternyata gila itu. Selepas Himpunan 100 Ribu barulah ada bunyi memansuhkan PPSMI. Selepas rakyat berkumpul di Kuala Lumpur dengan semburan pemedih mata tahap tinggi barulah menteri-menteri terbeliak mata mereka.

Pemansuhan PPSMI ini adalah kejayaan rakyat seluruh negara. Kita harus bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas pemansuhan ini. Walaubagaimana pun kita jangan lupa pembaziran sebanyak RM5.4 bilion kesan daripada dasar yang gila ini. Ada juga kenyataan yang mengatakan bahawa perbelanjaannya adalah diantara RM10 bilion – RM12 bilion.

Kita mendesak pihak kerajaan mengemukakan perbelanjaan sebenar dasar yang gila ini.

Bukan sahaja duit rakyat telah dibazirkan tetapi 6 generasi pelajar sekolah telah dikorbankan dalam dasar PPSMI ini. Mereka menghadapi tekanan mental yang sangat kuat ekoran dasar gila yang telah dilaksanakan. Asas-asas kefahaman mereka terhadap Sains dan Matematik adalah lemah berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin semalam. Siapakah yang akan membela nasib mereka?

Kesimpulannya banyak telah terkorban akibat salah dasar yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka yang terkorban patut menuntut bela atas kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan. Cara yang paling mudah tanpa kos yang besar adalah tumbangkan kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang. Itulah ubat yang paling mujarab bagi mengubat penyakit yang sedang dan telah dihadapi.

Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat


Tiada ulasan: