Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd Shahril Abd Aziz berkata, pemandu terpaksa menanggung kos penukaran meter yang mahal dan tidak munasabah.
“Masa yang diperlukan untuk menukar meter baru tidak sampai lima minit, tetapi kami dikenakan RM 70 dan ini amat membebankan kami.
“Kami terpaksa menukar meter ini di kedai persendirian kerana pihak Puspakom hanya menyediakan perkhidmatan pengesahan meter sahaja”, katanya.
Beliau berkata, jika masalah ini berterusan, Petekma akan mengambil tindakan drastik dengan memulaukan pengusaha meter dan melantik agen baru yang menawarkan harga yang berpatutan.
Beliau juga mahu pihak Puspakom menetapkan hari tertentu untuk pengusaha teksi mengesahkan meter mereka untuk mengelakkan berlaku kesesakkan dan menjimatkan masa menunggu mereka.
Di dalam perkembangan lain Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Kelantan (PKDK), Hussein Awang berkata, kesemua pemandu teksi (kereta sewa) di negeri Kelantan akan masih mengekalkan tambang lama walaupun kadar baru telah ditetapkan.
"Kami akan masih mengekalkan harga lama kerana hanya dengan cara ini sahaja kami dapat menarik minat orang ramai untuk menggunakan kemudahan teksi," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, cara tersebut dilakukan kerana kadar peratusan penggunaan teksi di negeri ini sangatlah kecil.
Hussein berkata, pengguna sekarang sudah kurang gemar menaiki teksi berbanding dahulu.
Jadi katanya, dengan pengekalan harga lama sekurang-kurangnya ia dapat menarik semula minat pengguna untuk menggunakan perkhidmatan tersebut di negeri ini.
“Setelah melihat kepada sambutan yang diberikan oleh penumpang barulah kami akan memikirkan tentang harga tambang dan buat masa sekarang ini tambang adalah harga lama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan