20 Jul 2009

Tengku Temenggong Saman Manohara Dan Ibu Mertua RM105 juta

Bekas model, Manohara Odelia Pinot dan ibunya kini menggalas beban di bahu masing-masing apabila Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra hari ini secara rasmi memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta kerana didakwa memfitnah baginda.

Writ saman tersebut difailkan oleh peguam Mohd. Haaziq Pillay hari ini di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Dalam tindakan saman itu, Tengku Muhammad Fakhry, 31, selaku plaintif menamakan ibu mertuanya, Daisy Fajarina dan Manohara, 17, selaku defendan pertama dan kedua.

Pasangan tersebut telah berkahwin pada 26 Ogos 2008 sebelum kembali ke Indonesia sembilan kemudian, secara mendadak tanpa sebarang kebenaran dan di luar pengetahuan suaminya.

Di Indonesia, plaintif mendakwa, defendan pertama dan kedua telah membuat beberapa siri sidang akhbar yang didakwa telah memfitnah dan memburukkan nama baik dan reputasi baginda.

Plaintif mendakwa antara bulan April sehingga bulan Jun lalu, defendan pertama telah secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan-perkataan yang bersifat umpatan (slander), sindiran yang tidak benar dan tidak berasas.

Perkataan-perkataan fitnah tersebut yang diterbitkan semula kata demi kata adalah sebahagian daripada perkataan-perkataan defendan pertama dalam media elektronik antaranya, AFP, Jakarta Globe, The Star, Malay Mail, Kosmo dan Online di Malaysia dan Indonesia serta penerbitan antarabangsa lain.

Dakwa plaintif, perkataan fitnah telah mengakibatkan kerosakan maksimum ke atas reputasi baginda di mata rakyat jelata, secara nasional dan antarabangsa.

Defendan pertama dan kedua dakwa plaintif, tidak memberikan sebarang peluang untuk baginda membuat komen atau menjawab tuduhan yang dibuat sebelum menyebutkan perkataan fitnah tersebut.

Plaintif juga mendakwa keseriusan perkataan-perkataan fitnah tersebut, telah menyebabkan perasaan sedih dan menimbulkan perasaan aib yang keterlaluan, merendahkan martabat baginda dan keluarga serta mencemarkan nama baik terutamanya di kalangan kerabat di raja dan masyarakat.

Akibat tohmahan yang sebegitu rupa, plaintif terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan nama baik baginda yang telah tercemar.

Plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan masing-masing berjumlah RM35 juta bagi setiap kategori ganti rugi tersebut.

Selain itu, plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua sama ada secara sendiri atau melalui pekerja-pekerja mereka daripada terus menyebut perkataan-perkataan yang serupa yang memfitnah beliau.

Plaintif turut menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun atas jumlah ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Tiada ulasan: