Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Booh Wah menolak permintaan untuk memberikan kenyataannya kepada polis yang kini sedang menyiasat kes kematian Setiausaha Politik Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis juga telah mengeluarkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan untuk hadir memberikan keterangan berhubung kes tersebut.
Teoh yang merupakan seorang bekas wartawan adalah setiausaha politik kepada Ean Yong.
"Kita sudah menghubungi Tan tetapi beliau menolak, jika beliau menolak untuk tampil ke hadapan, kita terpaksa menyamannya di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah," katanya kepada media selepas memberikan taklimat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai perkembangan kes berkenaan.
Siasatan awal mendapati Teoh Beng Hock sudah meninggal dunia empat atau lima jam sebelum mayatnya ditemui dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu, kata ketua polis negeri.
Menjawab soalan kemungkinan setiausaha politik seorang exco kerajaan Selangor itu jatuh dari Tingkat 14, yang menempatkan pejabat SPRM itu, Datuk Khalid Abu Bakar berkata: "kemungkinan besar."
Ditanya mengenai barang-barang yang diambil dari pejabat SPRM itu semalam, Khalid berkata, polis melihat semula tempat kejadian dan apa yang tertinggal pada hari pertama kejadian.
Petang semalam, polis mengambil beberapa dokumen dan selak tingkap di Tingkat 14 bagi membantu siasatan kematian Teoh yang menimbulkan pelbagai pertanyaan.
Dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan di ibu pejabat polis negeri di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, rakaman CCTV menunjukkan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah memasuki bangunan itu jam 5.15 petang Rabu.
Bagaimanapun tiada rekod Teoh keluar keesokannya selepas dilaporkan selesai siasatan jam 3.45 pagi Khamis.
Khalid juga berkata, polis sudah mendapat telefon bimbit Teoh daripada seorang pegawai penyiasat SPRM.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan rekod telefon tersebut kerana masih dalam siasatan polis.
Musa, dalam sidang itu, berkata polis setakat ini telah berjaya menyiasat 60 peratus kes kematian tersebut.
Banyak pihak mempersoalkan tindakan Ketua Polis Kuala Lumpur berkenaan yang mana sepatutnya mereka melakukan siasatan serapi-rapinya ke atas pegawai-pegawai SPRM yang menyoalsiasat Teoh Beng Hock sampai ke pagi, tetapi sebaliknya majikan dan mereka yang tidak terlibat yang hendak disoal-siasat.
1 ulasan:
Secara psikologinya polis dah tahu punca sebenar Teo mati, bukan bunuh diri, tapi angkara khianat SPRM. Cuma sekarang sebagai balas dendam polis cuba menegatifkan pihak yang lain dengan harapan pihak tersebut tersasul dan boleh lah di pindahkan kesalahan ke pihak tersebut.
Catat Ulasan