12 Jun 2009

PAS UMNO : Kemana Halatuju PAS?

Quo Vadis PAS?
Oleh Amin Ahmad

Saya dijemput oleh Astro Awani untuk membincangkan ‘Hala Tuju Parti Islam se-Malaysia (PAS)’ sempena berakhirnya muktamar parti itu pada 7 Jun 2009. Turut serta bersama saya ialah Encik Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Centre.

Sebagai pemerhati politik, saya tidak melihat cita-cita PAS untuk menjadi parti utama dalam politik negara sebagai masalah besar. Sesuai dengan kewujudannya yang melangkaui separuh abad, sewajarnya PAS meletakkan cita-cita yang demikian. Justeru itu, saya merasakan kenyataan Dato’ Paduka Husam Musa bahawa “PAS mesti berfikir untuk menjadi alternatif kepada UMNO” sebagai satu kenyataan penting berbanding cadangan untuk mewujudkan “kerajaan perpaduan” oleh sebilangan pendokong PAS.

Tambah rumit, dalam usaha PAS menonjolkan diri sebagai parti utama, terlihat sisi perbincangan dasar yang berlaku dalam muktamar kali ke-55 itu gagal mewakili cita-cita ini. Kenapa saya berpendapat demikian?


1. Wujud gesaan awal bahawa kepimpinan PAS ‘wajib’ diserahkan kepada kelompok ulama’.

Saya bersyukur apabila usul ini tidak diterima malah saya berpendapat bahawa usul ini tidak harus ada pun! Pertamanya, PAS gagal menjelaskan siapa yang mereka maksudkan kelompok ulama’ ini. Adakah kelompok ini mereka yang memiliki ijazah dalam bidang pengajian agama? Bagaimana pula dengan ilmuan dalam bidang professional yang mempunyai fikrah agama? Kenapa usul ini muncul? Tidak cukupkah Majlis Syura dan Dewan Ulama’ PAS yang telah sedia ada? Tapi jauh lebih penting daripada itu, saya berpendapat gesaan ini muncul dari faham eksklusif yang menjadikan prinsip kepimpinan sebagai salah satu peranan manusia kepada undang-undang pengetahuan (rule of knowledge) sebagaimana Sokrates membincangkan isu kebebasan dalam karya Republic. Prinsip persamaan di mata hukum yang menentukan peluang di padang sama rata terabai dari cadangan ini.

Saya tidak pasti sama ada ini telah menjadi cadangan bersama gerakan-gerakan yang memakai label Islam di negara lain. Apa yang pasti, kepimpinan ulama’ adalah idea yang dikembangkan dari semangat Revolusi Iran 1979 – konsep Wilayatul Faqih. Sambil PAS mahu melihat idea ini sebagai baik dan patut dikembangkan, PAS juga harus belajar rentetan kezaliman yang muncul pasca kejayaan Revolusi Iran 1979 atas nama agama.

Secara politiknya, saya melihat usul ini muncul dari pergelutan dalaman PAS apabila wujud kelompok ulama’ yang membelakangi Majlis Syura mereka di peringkat awal untuk berunding dengan UMNO. Saya difahamkan, YB Ustaz Nasharuddin Md Isa selaku Timbalan Presiden PAS waktu itu (dan dipilih semula dalam muktamar kali ini) telah berunding dengan wakil UMNO melalui arahan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS. Namun, tindakan ini dibantah oleh kalangan professional dan Mursyidul Am PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

2. Kerajaan Perpaduan

Antara topik penting yang dibincangkan ialah berkaitan Kerajaan Perpaduan. Saya fikir tajuk ini bukan saja menjadi keperihatinan dalaman PAS, tetapi juga pemerhati politik di luar PAS.

Sebagai sebuah parti yang memakai label Islam, saya percaya keinginan PAS untuk berinteraksi dengan semua pihak barangkali banyak disandarkan atas faktor dakwah. PAS sebagai parti politik yang tentu sekali perlu bertarung untuk merebut kuasa sering kali terperangkap dengan pilihan tindakan politik dan tindakan agama.

Pertikaian ramai orang dalam hal ini tentu saja kerana PAS harus komited dengan persetujuan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR) bersama Parti keADILan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Saya fikir, ramai yang membantah kerana siri awal rundingan PAS dan UMNO ini yang membelakangi Majlis Syura telah menyebabkan pemerhati-pemerhati politik, terutama yang bersimpati dengan PR tidak mahu percaya bulat dengan idea Kerajaan Perpaduan. Meskipun Majlis Syura memberi lampu hijau kemudiannya, ia dilihat tidak lebih dari keputusan politik untuk menjaga imej PAS akibat keterlanjuran yang berlaku.

Pada saya, jika PAS mengatakan idea Kerajaan Perpaduan sebagai satu sikap dakwah, lebih baik PAS meneruskan usaha menggesa supaya institusi dan ruang demokrasi disegarkan. PAS boleh terus berdakwah kepada siapa saja melalui institusi dan ruang demokrasi yang ada. Interaksi PAS dengan semua pihak, bukan saja UMNO, ternyata akan lebih baik melalui institusi dan ruang demokrasi yang dijamin.

PAS harus faham dalam membaca kebimbangan ramai jika PAS dan UMNO bergabung sebagai kekuatan politik. Kebimbangan ramai ini absah jika kita mengambil kira pendedahan Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak yang mendakwa adanya arahan dari pihak tertentu dalam kepimpinan parti yang mahu PAS Perak bersama UMNO menubuhkan kerajaan negeri di sana.

Kebimbangan ramai selain dari faktor politik ‘tidak percayakan UMNO’ ialah kebimbangan yang lebih besar. Meskipun mungkin majoriti orang Melayu Muslim beranggapan penggabungan ini penting untuk kelangsungan kuasa Melayu Muslim di Malaysia, ia tetap mempunyai risiko tersendiri.

Penggabungan ini akan melanjutkan kempen politik berbaur perkauman. Akan berterusan dasar-dasar perlindungan terhadap Melayu Muslim di samping dasar-dasar yang seakan menggambarkan kalangan bukan muslim sebagai “warganegara kelas kedua”. Untuk saya, ini sangat tidak mewakili semangat, cita-cita dan kaedah Islam! Malah, ia mungkin mengheret negara kita ke arah ketegangan kaum yang berterusan.

3. Usul mengharamkan Sisters in Islam (SIS)

Saya fikir ini usul yang menjadi kayu aras kenapa sebahagian Yang Berhormat PAS akan menjadi mangsa di tempat-tempat tertentu, terutama kawasan campuran di bandar semasa Pilihan Raya. Ia bukan kerana para pengundi sangat menyukai SIS, tetapi masyarakat sivil di bandar menolak segala pendekatan autoritarian.

Kewujudan SIS untuk saya punya peranan yang signifikan, meski ada hal-hal yang tidak kita persetujui. Kita tidak boleh membelakangi sumbangan SIS yang banyak hanya kerana ada hal-hal yang kita sifatkan ‘menggugat aqidah umat Islam’.

Mengambil semangat dakwah sebagai landasan hujah untuk Kerajaan Perpaduan, PAS seharusnya menggunakan ruang demokrasi untuk menjawab balas hujah-hujah SIS. Keluasan Fekah harus diambil sebagai jalan inklusif. Usul pengharaman SIS yang diterima tanpa bahas adalah ciri mundur PAS.

Saya berpendapat bahawa setiap perbezaan secara aman mesti ditangani secara aman. Penggunaan kuasa untuk menafikan kebebasan asasi setiap individu atau kelompok dalam masyarakat bukan pilihan terbaik untuk menawarkan Islam sebagai sistem pemerintahan. Malah, jika orang ramai menerima idea pemerintahan Islam sekalipun, tidak mustahil jika mereka tidak mahu idea-idea ini digerakkan oleh PAS atas faktor kepercayaan sebagaimana ‘rasa tidak percaya kepada UMNO’.

4. Lain-lain

Saya juga terbaca kritik Dewan Pemuda PAS terhadap agenda liberalisasi sektor perkhidmatan yang diluluskan kerajaan bagi menghidupkan ekonomi negara. Untuk saya, hujah yang ada dibentangkan secara cetek dan ia patut diperkemaskan lagi. PAS tidak boleh selamanya bersandarkan sentimen dalam berhujah jika benar-benar mahu menerajui negara. Jika selama ini PAS banyak bergantung harap kepada penyokong mereka di luar bandar, mereka harus lebih banyak berdepan dengan pengundi bandar yang jauh lebih kritikal dan rasional serta bercampur pelbagai latar belakangnya. Hanya dengan ini PAS akan lebih bertambah baik dalam hal menggariskan hala tuju mereka.

Sebagai parti politik, bukanlah satu anomali untuk PAS mempunyai cita-cita politik yang besar. Namun dari apa yang tergambar di muktamar ke-55, saya berpendapat PAS belum bersedia untuk menerajui Malaysia ke depan – untuk masyarakat tempatan, apatah lagi berdepan dengan dunia luar.

Cuma barangkali yang lebih pentingnya ramai yang akan sentiasa bertanya Quo vadis PAS? atau mungkin lebih tepat ila aina tawajjaha al-hizbul Islami PAS?

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University. Kini merupakan Penyelidik bagi Malaysia Think Tank.


1 ulasan:

Abuzar berkata...

Sdr Amin. Saya setuju dengan ulasan tuan.

Keputusan pemilihan muktamar PAS ke55, lebih menjurus kepada sentimen "kepimpinan ulamak" secara melampau. Ia disulami dengan istilah "wala' kepada pemimpin" secara taqlid buta, penafian atas perbezaan & plurailsm Islam, kecenderungan kepada "empire building" dan terlalu fokus kepada pembolotan kuasa bercorak authoritarian.

Muktamar yang tidak fokus kepada "capacity & networking building" terutama dalam "akad" yang metrai dalam Pakatan , bahkan menanam bibit2 kecurigaan dalam adab berpakat & bersahabat. Penonjolan ingin berkuasa secara berlebihan, dilihat membelakangkan aspirasi rakyat. Pendekatan siasi yang tidak konklusif menyebabkan hala tuju baru dilihat sebagai bercabang-cabang!

Usaha membetulkan semula persepsi umum terhadap hala tuju PAS pasca-muktamar ke55 amat perlu. Para "Think Tank PAS" perlu gembeling tenaga semula menghurai secara tepat dan jelas membetulkan persepsi negatif baru ini. Think Tank PAS dibelakang tabir perlu sabar mendepani kerenah "Tokoh2 baru". Input realistik Think Tank sentiasa dinanti supaya para "penggerak PAS" disemua peringkat tidak tersasul "kalimat mengelirukan" masyarakat massa. Keborosan kata-kata akan menjarakkan rakyat kepada PAS & Islam. Pendekatan dakwah interaktif lebih wajar dalam konteks politik Malaysia kini dari pendekatan politik pamir kuasa & kata2 menghukum!

Wallahu alam.