14 Mei 2009

Tindakan Zambry Sungguh Memalukan - Khalid

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu Menteri Besar Perak oleh Datuk Seri Dr Zambry Kadir sebagai cukup memalukan.

Beliau berkata, tindakan Zambry memalukan kerana dilihat seolah-olah enggan menerima keputusan mahkamah selain ingin mempertahankan statusnya sebagai Menteri Besar.

Menurutnya lagi, penangguhan itu tidak akan membawa sebarang perubahan memandangkan mahkamah telah membuat keputusan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah.

“Mahkamah Tinggi dah putuskan bahawa beliau (Zambry) bukan menteri besar yang sah sebaliknya jawatan itu adalah kepunyaan Nizar.

“Tapi beliau tak boleh terima dan buat permohonan untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut. Memang memalukan” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pasir Panjang itu tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti ADUN.

Bagaimanapun, Nizar hanya sempat menyandang jawatan itu kembali selama 19 jam apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dengan keputusan tersebut, Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Khalid berkata, Zambry tidak mempunyai justifikasi untuk membuat rayuan tersebut dan mempertahankan jawatan sebagai menteri besar.

“Atas alasan apa beliau nak buat rayuan? Kalau ditangguhkan sekalipun, beliau bukannya boleh mengubah keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.


Tiada ulasan: