Berapa lama slogan Satu Malaysia itu akan ditahan sementara di Perak? Tidak ada jangka masa tertentu, malah sudah jelas slogan itu tidak boleh dipakai di DUN Perak sehingga UMNO/BN pasti mereka akan berkuasa selama-lamanya di Perak. Adakah ini bermakna rakyat tidak diutamakan di Perak? Sebenarnya rakyat diketepikan di seluruh Malaysia, bukan di Perak saja. Itulah maksud sebenar Satu Malaysia wajib dikuasai kekayaan ekonominya oleh UMNO/BN dengan menguasai semua kerajaan, Persekutuan dan Negeri.
Sekarang rakyat sudah jelas apa maksud sebenar slogan Satu Malaysia itu. Orang UMNO tentu menafikannya, tetapi itulah yang mereka buat. Mereka telah menafikan hak rakyat Perak untuk menentukan siapa yang akan jadi pemerintah Perak. Seperti sudah terbukti dalam masa lebih 50 tahun ini, rakyat tidak pernah mendapat keutamaan dari UMNO/BN, oleh itu rakyat ditindas dan didera di Kelantan kerana memilih PAS, dan sekarang penderaan itu dilakukan di semua negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Supaya UMNO/BN kelihatan sangat prihatin terhadap rakyat, semua akhbar yang dikuasai UMNO/BN, termasuk TV dan Radio, menjeritkan setiap minit dan dalam setiap berita atau ulasan berita di akhbar bahawa pihak pembangkang gila kuasa, tamak kuasa, rakus kuasa, dengan cuba berkuasa melalui pilihan raya, padahal mereka sepatutnya memberi kuasa itu kepada yang berhak, yakni UMNO/BN.
Apa sebab? Kerana UMNOlah yang layak memerintah Malaysia, setelah memerintah lebih dari 50 tahun dengan aman sentosa dan telah melahirkan pemimpin UMNO/BN yang kaya raya dengan harta dan gelaran Datuk, Tan Sri, Tun dan macam-macam lagi gelaran yang menggambarkan jasa besar mereka kepada rakyat dan negara yang mereka jadikan hak mereka dan anak-beranak mereka.
Oleh itu tepat sekali tajuk “Satu Malaysia Sudah Gila” dijadikan tajuk berita utama di semua akhbar Malaysia untuk menggambarkan jahatnya parti pembangkang yang ingin merebut kuasa dengan menggunakan mahkamah. Setelah 50 tahun tertipu, tidak munasabah jika ada rakyat Malaysia yang belum faham! (13/5/2009) - Mohd Affndi Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan