Jazimin, 35, memfailkan permohonan setelah defendan-defendan melalui penyataan pembelaan mereka mengaku kecuaian Lans Koperal Amran Arifin yang membawa balik draf dan lebihan laporan bedah siasat menyebabkan gambar-gambar bedah siasat anaknya itu tersebar melalui telefon bimbit berkamera dan internet.
Permohonan dikemukakan melalui Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Berdasarkan pengakuan liabiliti defendan-defendan, Jazimin memohon supaya kes tidak lagi perlu dibicarakan sebaliknya mahkamah terus memutuskan isu sama ada mereka perlu membayar pampasan kepadanya.
Dalam permohonan itu Jazimin menyatakan, beliau mengambil tindakan kerana kecuaian defendan-defendan dalam pengendalian gambar-gambar bedah siasat tersebut hingga tersebar sedangkan gambar-gambar adalah dokumen sulit yang sepatutnya hanya untuk kegunaan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan kes penculikan dan pembunuhan anaknya.
“Saya menghantar surat bertarikh 4 Mei 2009 kepada Peguam Persekutuan sebagai saranan supaya tindakan undang-undang segera diambil terhadap anggota polis berkenaan yang bertanggungjawab terhadap penyebaran gambar-gambar tersebut.
“Bagaimanapun defendan-defendan tidak mahu membayar sebarang pampasan dan keengganan amat tidak wajar memandangkan defendan-defendan jelas memalukan, mencemarkan nama baik, reputasi dan menjatuhkan martabat saya dan keluarga,” kata Jazimin dalam permohonan tersebut.
Menurut kenyataan alasan Jazimin, akibat kecuaian defendan, ketenteraman dan maruah terganggu selain memberikan impak dahsyat kepada emosinya dan keluarga selepas kematian Nurin.
“Ini kerana gambar-gambar tersebut bersifat sulit dan peribadi sepatutnya berada dalam kawalan dan jagaan defendan-defendan untuk menjalankan siasatan bukannya untuk tatapan umum.
“Defendan-defendan dalam penyataan pembelaan menyatakan bahawa gambar-gambar tersebut dirakam oleh anggota polis bertugas semasa bedah siasat Nurin dijalankan untuk maksud penyiasatan dan anggota tersebut kemudiannya diarahkan untuk memusnahkan lebihan laporan,” katanya.
“Bagaimanapun Amran tidak mematuhi arahan sebaliknya membawa balik lebihan laporan mengandungi gambar-gambar bedah siasat tersebut ke rumah dan menunjukkannya kepada jiran.
“Gambar-gambar tersebut telah dirakam dan disebarkan melalui telefon berkamera dan internet (e-mel) selanjutnya defendan-defendan menegaskan tindakan Amran membawa balik lebihan laporan adalah berasaskan motif peribadi yang tiada kaitan dengan skop pekerjaan tugasnya,” katanya.
Dalam permohonannya juga dinyatakan, pekerja di syarikat keselamatan itu memfailkan saman pada 21 Ogos tahun lalu terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia, dengan dakwaan kecuaian berhubung penyebaran gambar bedah siasat anaknya melalui Internet.
Kemudian pihak defendan dalam pernyataan pembelaan mereka pada 5 Disember tahun yang sama mengaku bahawa gambar yang disiarkan adalah gambar bedah siasat kanak-kanak itu bagaimanapun mendakwa kejadian adalah di luar kawalan mereka.
Memetik laporan media sebelum ini, adik Nurin Jazlin, 8, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar seorang ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju.
Selepas 27 hari berita kehilangannya tersebar, seluruh negara kemudiannya gempar dengan penemuan mayatnya dalam sebuah beg sekolah yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di Petaling Jaya.
Hasil bedah siasat menyatakan, kanak-kanak comel itu mati akibat didera secara seksual dengan kejam oleh pembunuhnya.
1 ulasan:
Malaysia kian menjadi negara yang mengerikan.
Catat Ulasan