Andaikata melalui PRU baru UMNO menang, maka kami rakyat yang tidak menyokong UMNO akan menerima dengan fikiran dan hati yang terbuka akan sesiapa sahaja pembesar negeri daripada kalangan UMNO yang diwatikahkan. Pembesar dan rakyat negeri tuanku akan kembali tenang dan damai untuk merangka dan melaksanakan kembali segala program ekonomi dan sosial di negeri ini. Kami rakyat yang bukan pengundi UMNO akan sabar menunggu PRU baru lima tahun lagi. Kami sentiasa mendoakan ke hadrat Illahi agar tuanku dan kerabat, pembesar negeri dan rakyat termasuk patik dilimpahi dengan rahmatNya.
Tetapi andaikata keputusan PRU nanti sama seperti sebelum ini, tuanku boleh menetapkan syarat kepada bakal pembesar negeri daripada kalangan PR ketika tuanku memperkenankan pembubaran DUN nanti. Mungkin patik boleh mencadangkan begini. Memanda menteri besar mesti Melayu daripada PAS atau PKR. Exco bukan Melayu mestilah tidak melebihi lima orang atau separuh daripada jumlah exco. Exco DAP tiga orang termasuk exco Melayu jika ada. Exco PAS juga tiga. Manakala Exco PKR pula empat iaitu dua Melayu, satu Cina dan satu India. Ringkasnya jumlah exco Melayu daripada PAS dan PKR mesti sekurang-kurangnya lima orang. Ini bermakna pentadbiran negeri akan dikuasai oleh Melayu. Ini juga bermakna tidak ada lagi gelaran memanda boneka oleh UMNO.
Tuanku, janganlah pula tuanku mencadangkan penggabungan UMNO dengan PAS. Cadangan sebegini hanya akan menambahkan lagi kemelut politik di negeri tuanku. Ini kerana buat ketika ini rakyat tuanku terbahagi kepada dua, sama ada menyokong BN atau PR. Biarlah kami rakyat yang menentukan corak politik yang kami kehendaki.
Ampun tuanku sembah patik mohon diampun.
Di hati kecil patik, patik memohon kepada tuanku mengeluarkan titah untuk mendakwa memanda dan pembesar-pembesar PR sekiranya mereka telah melanggar perlembagaan atau undang-undang negeri di sepanjang 10 bulan mereka memegang jawatan di negeri ini. Nyatakan secara jelas tentang perlembagaan atau undang-undang mana yang mereka telah langgari. Kami rakyat akan bersama tuanku menghukum mereka sekiranya kesalahan mereka dapat dibuktikan.
Tuanku, patik juga mohon titah perintah tuanku terhadap timbalan memanda negara yang telah memberi nasihat yang salah kepada tuanku sehingga Dewan Negeri tuanku bersidang di bawah pokok. Malunya patik kepada dunia sebagai rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan. Jikalau patik rakyat kecil inipun terasa bahang aibnya, tuanku mesti lebih lagi terasa hinanya. Hina dan aib negeri ini angkara timbalan memanda negara.
Ampun tuanku sembah patik yang tidak beradab ini mohon diampun.
Patik mohon kepada tuanku, perkenankanlah permohonan membubarkan DUN oleh Memanda DS Nizar pada hari Selasa ini. Jadikanlah kesilapan rakyat atau tuanku sebulan yang lalu sebagai satu iktibar untuk kami rakyat tuanku menyanjung kembali institusi istana. Kami rakyat mahu terus setia bernaung di bawah payung tuanku.
Ampunkan patik tuanku.
Daulat tuanku.
- mamamat
1 ulasan:
Pertama, dalam senario kini, saya rasa PR dan rakyat perlu menerima hakikat dan memikirkan pilihan-pilihan yang ada. Bagi saya, kemungkinan besar Tuanku Sultan Perak TIDAK akan bubarkan DUN. Apa pilihan kita? Adakah kita akan menjadi seperti pungguk yang merindu bulan, merayu dan merayu pada sesuatu yang tidak mungkin?Pimpinan PR perlu bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.
Kedua, kita mungkin fikir yang orang lain pun mempunyai perasaan seperti kita. Jika kita rasa aib, sedih dsbgnya dengan krisis Perak, kita jangka orang lain pun begitu. Tetapi manusia tidak semuanya serupa. Apa yang memilukan hati kita mungkin langsung tidak menyentuh hati orang lain pun.
Lagi pun, perbezaan situasi juga merupakan faktor. Ibarat dua orang yang terpaksa menanti lama untuk sesuatu. Penantian memang menyiksakan tapi bagi orang yang menanti di atas kerusi empok dalam bilik berhawa dingin pasti tidak terasa peritnya berbanding dengan orang yang menanti di bawah terik matahari, tanpa tempat berlindung atau tempat duduk yang selesa. Begitulah jurang yang wujud antara rakyat Malaysia dan pemimpin-pemerintah yang ada. Mana mungkin orang yang selesa dan mewah memahami perit jerih orang yang tersiksa dan menderita?
Catat Ulasan