20 Mac 2009

Bukit Gantang Bukit Selambau : Pas Pahang hantar 600 petugas

Pas Pahang menghantar 600 petugas dari negeri ini termasuk dalam kalangan kelab penyokongnya bagi membantu calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah yang berlangsung serentak 7 April depan.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penghantaran jentera jabatan pilihan raya Pas negeri ini dilakukan secara berperingkat sejak 10 Mac lalu.

Menurutnya, seramai 15 petugas sudah dihantar membuat tugasan awam di dua kawasan terbabit setakat ini dan akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Setakat ini semua petugas yang dihantar akan memberi tumpuan membantu calon Pas di Bukit Gantang bagaimanapun mereka juga turut dihantar ke Bukit Selambau untuk bersama-sama membantu calon Pakatan Rakyat yang bertanding,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, petugas jabatan jentera pilihan raya ini akan berkampung di kawasan terbabit sehingga hari pengundian bagi memastikan kedua-dua pilihan raya itu berjalan lancar.

Mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung cadangan pembentukan kerajaan campuran Pas- Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata ia adalah kenyataan peribadi pemimpin itu.

Beliau berkata, Pas tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat berhubung isu terbabit dan segala keputusannya telah ditetapkan dalam Muktamar Pas di Ipoh, Ogos lalu.

“Mungkin beliau (Abdul Hadi) melihat kepada senario rasuah yang menular dalam UMNO kebelakangan ini dan cuba membersihkannya melalui kerajaan perpaduan namun secara jelasnya tidak timbul isu pergabungan ini,” katanya.

- sinarharian

Tiada ulasan: