20 Mac 2009

Isu ke Bukit Gantang : Ku Li dan Mahathir Hentam Lembaga Disiplin UMNO

Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan bahawa Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam boleh meminta Pendaftar Syarikat menghalang pemilihan UMNO diteruskan.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin UMNO telah mendapati Mohd Ali, yang merupakan seorang calon Timbalan Presiden, bersalah kerana melanggar peraturan berkempen.

Ekorannya, beliau telah dilarang dari bertanding tetapi kekal sebagai ahli parti dan Ketua Menteri Melaka.

Didalam komennya yang terbaru di dalam blognya, Razaleigh menyatakan ada kemungkinan keputusan jawatankuasa disiplin bertentangan dengan perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Razaleigh berkata Akta yang ada mengizinkan ahli-ahli dari badan yang berdaftar untuk mempunyai hak untuk mengundi dan memegang jawatan di dalam sesebuah organisasi.

"Lembaga Disiplin boleh membuang beberapa keistimewaan tetapi bukan hak seperti termaktub dalam perlembagaan (parti). Perlembagaan UMNO tidak boleh ditafsirkan bertentangan dengan Akta Pertubuhan.

Selagi Mohd Ali tidak digantung keahliannya, kata bekas naib presiden Umno itu, "adalah salah menyekatnya daripada bertanding seperti juga salah menghalangnya daripada membuang undi (dalam pemilihan Umno)," tambah beliau.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Razaleigh menyatakan ahli majlis tertinggi Umno Norza Zakaria masih berhak untuk mempertahankan jawatannya sekalipun telah didakwa di mahkamah kerana telah tuduhan rasuah dalam berkempen memenangi jawatan pada pemilihan parti akhir bulan ini yang dilakukan oleh agennya.

"Apa yang ditetapkan terhadap Norza, harus ditetapkan untuk Mohd Ali juga," kata ahli parlimen Gua Musang, mengulas larangan terhadap naib presiden Umno itu oleh lembaga disiplin.

Double standard untuk Umno?

Segala siasatan mengenai Mohd Ali, Razaleigh berkata lembaga disiplin perlu mendedahkan siapa yang menerima rasuah dari bekas agennya.

Namun, beliau berkata badan yang paling berhak untuk melakukan siasatan ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), yang merupakan badan berkecuali.

"Sementara tiada siasatan mendalam dilakukan oleh badan berkecuali, masih terdapat kemungkinan bahawa pemilihan parti dicemari dengan rasuah dan oleh itu ia mungkin tidak sah," jelasnya.

Razaleigh berkata oleh kerana lembaga disiplin telah mengumpulkan bukti gejala politik wang terhadap beberapa pemimpin UMNO, tugas mereka sekarang ialah menyerahkan bukti itu kepada SPRM.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak faham kenapa Mohd Ali tidak digantung daripada Umno walau didapati bersalah.

"Saya fikir lembaga disiplin terlepas pandang perkara ini," katanya.

Sementara itu mantan perdana menteri, Tun Dr Mahatir juga mempertikaikan keputusan lembaga disiplin di mana hukuman yang berbeza dikenakan kepada orang yang berbeza terdapat kesalahan yang serupa.

Beliau merujuk kepada kesalahan Khairy Jamaluddin yang melakukan kesalahan yang sama dengan apa yang dilakukan oleh Mohd Ali tetapi dibenarkan pula bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.

"Jika UMNO tidak sanggup untuk mengambil tindakan drastik untuk menunjukkan ia serius di dalam memerangi gejala rasuah, UMNO akan ditolak di dalam pilihanraya ke 13 akan datang."

Kredibiliti lembaga disiplin dipersoalkan akibat tindakanya yang ganjil itu, tambah Mahathir.

Malaysiakini pula melaporkan Mahathir berkata Datuk Seri Mohd Ali Rustam patut mengosongkan jawatan ketua menteri Melaka.

"Ya, itu pandangan saya. Saya bukan ahli Umno pun. Tetapi itu pandangan saya. Apabila sesuatu pengadilan dibuat, ia mestilah konsisten dan digunapakai terhadap semua orang, dalam situasi yang sama.

"(Sebagai contoh) kita tidak boleh kata, orang ini bersalah membunuh seseorang, jadi dia patut digantung.

"Untuk orang ini pula, oleh kerana dia orang penting, tidak perlu digantung. Kita tidak boleh cakap macam itu," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mantan presiden Umno itu menegaskan ketika ditanya soalan sama ada Mohd Ali patut kekal sebagai ketua menteri ekoran keputusan lembaga disiplin Umno semalam.

Dr Mahathir juga tidak menolak kemungkinan penyokong Mohd Ali akan memindahkan sokongannya kepada seorang lagi calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Ada kemungkinan mereka (penyokong Mohd Ali) akan menyokong Muhd Taib. Muhd Taib akan menang. Tetapi keputusan yang sebenar akan dilihat dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

"Apabila rakyat mendapati parti (Umno) memilih orang sebegitu, mereka akan membuat keputusan (dalam pilihanraya). Jadi terpulang kepada parti untuk memikirkan.

"Perwakilan (Umno) mesti memikirkan tanggungjawab mereka. Kalau mereka memilih orang yang tidak dihormati rakyat terbanyak dan pengundi, akhirnya parti akan kalah dalam pilihanraya," katanya.

Beliau juga mengisytiharkan sokongan terbukanya kepada seorang lagi calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya rasa, apa yang tinggal, orang yang tidak boleh membaca dan bercakap dalam bahasa Inggeris.

"Itu sebab dia buat kesalahan di Australia, kerana dia tidak baca Inggeris.

"Pilihan saya Muhyiddin," kata Dr Mahathir dengan sinis.

Pada 1999, Muhammad dilaporkan gagal mengisytiharkan wang tunai sebanyak RM2.4 juta di Australia.

Sewaktu memberi keterangan dalam mahkamah, beliau dilaporkan memberikan alasan tidak memahami bahasa Inggeris, dan kemudiannya didapati tidak bersalah.

Mengulas peralihan kuasa antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak, Dr Mahathir menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan timbalan presiden Umno itu, tetapi dengan syarat "tidak melantik pemimpin yang korup dalam kabinetnya".



Tiada ulasan: