13 Feb 2009

Dikemaskini: 7 April Tarikh Pilihanraya 2 kerusi

P
ilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan serentak iaitu pada 7 April depan.

Tarikh penamaan calon pula telah ditetapkan pada 29 Mac.

Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil bagi kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat serangan jantung, selepas terjatuh daripada basikal yang dinaikinya ketika dalam perjalanan ke farmasi berdekatan Batu Gajah, Perak Isnin lalu.

PAS - salah sebuah parti gabungan Pakatan Rakyat - bersetuju kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, di Kedah ditandingi calon PKR kerana ia memang kerusi tradisi parti tersebut.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika diminta mengulas desas-desus bahawa parti itu berminat meletakkan calonnya bertanding kerusi tersebut.

Sementara itu, TVANTARA melaporkan kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas Perhimpunan Agung Umno yang dijadual menabalkan Najib Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perhimpunan Agung Umno adalah dari 24 hingga 28 Mac depan.

Tan Sri Abdul Aziz tidak mengatakan kenapa SPR menetapkan pilihanraya kecil itu hampir dua bulan daripada sekarang , selepas pemilihan UMNO.

Beliau cuma mengatakan tarikh itu ditetapkan supaya "supaya semua selesa," tambahnya.

Lazimnya SPR mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh sebulan selepas kerusi berkenaan diisytiharkan kosong.

Penganalisis mengaitkan keputusan SPR mengadakan pilihanraya kecil selepas perhimpunan UMNO kepada sifir politik Najib memastikan tiada kemelut baru untuk dirinya di ambang beliau mengambil alih kepimpinan UMNO.

Setelah kalah pada pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu serta gagal membendung kemarahan rakyat apabila melancarkan rampasan kuasa di Perak, Najib tidak boleh menanggung risiko tewas lagi pada pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Pakatan Rakyat akan mempertahankan dua kerusi itu yang dimenangi oleh PAS dan seorang calon bebas yang kemudiannya masuk Parti Keadilan Rakyat.

Najib sekali lagi akan memimpin kempen BN pada pilihanraya kecil berkenaan, kali ini sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, jika perancangan politiknya berjalan mengikut jadual. .

Jika tewas di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, selepas menggunakan segala jentera kerajaan, media arus perdana dan dana awam, kebolehan Najib memimpin UMNO, BN dan negara akan disangsi dan dipertikaikan dengan lebih hebat.


Video akan menyusul

Tiada ulasan: