13 Feb 2009

Mufti Perak Tumpang Sekaki

Kalaulah tidak kerana Almarhum Ustaz Ishak Baharom Mufti Selangor dipecat, Mufti Perak tidak mungkin menjadi sandaran rakyat untuk membela Islam. Almarhum Mufti Selangor inipun pernah dipermainkan oleh pihak media sehingga beliau mengemukakan bahawa sesiapa yang memakai salib maka dia boleh terjerumus kepada murtad. Jawapan Almarhum telah digunakan oleh pihak media untuk mengaitkan tindakan Tengku Razaliegh yang memakai tengkolok yang ada corak salib padanya. Berikutan itu Almarhum Mufti Selangor sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada media. Selepas itu seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada beliau untuk membela dan bersuara meninggikan kalimah ALlah swt.

Selepas Almarhum dipecat, maka antara mufti yang paling senior ialah Mufti Perak Hj Harussani. Pada beliau rakyat Malaysia mula meletakkan harapan untuk menggantikan peranan Ustaz Ishak Baharom. Sekiranya Almarhum Ustaz Ishak pernah tersilap dipermainkan oleh pihak media tetapi kemudian rakyat boleh menerimanya kembali, demikianlah juga Hj Harussani. Sebelum itu, semasa era 1980 an ramai rakyat yang mengaitkan Hj Harussani sebagai mufti yang selalu bercakap "harus, harus" bila ditanyakan sesuatu soalan. Ketika enakmen Hukum Hudud dan Qisas dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan awal 1990 an, beliau dilihat tidak menyatakan pendiriannya secara jelas.

Kemudian apabila Kerajaan PAS Terengganu pula mengemukakan enakmen yang sama, sikap Hj Harussani juga seperti itu. Malah dalam satu ceramah di sebuah Masjid di Subang Jaya beliau kelihatan tidak mendukung usaha itu dengan menyifatkannya sebagai tergesa-gesa sehingga menyebabkan beliau diasak oleh pendengar-pendengar yang tidak berpuas hati dengan penerangan beliau. Demikian juga ketika isu penarikan balik bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat, beliau tidak begitu lantang menentang tindakan Dr Mahathir walaupun beliau adalah lulusan sekolah seumpamanya. Beliau lebih selesa mengambil jalan selamat, iaitu berbincang secara empat mata dengan Dr Mahathir ketika menyambut Dr Mahathir di lapangan terbang Ipoh. Apabila Dr Mahathir dengan tegas menyatakan tidak akan mengembalikan bantuan itu, Hj Harussani dikatakan sedih dan menitiskan air mata.

Mungkin selepas itu beliau mula menyedari bahawa UMNO sememangnya tidak mempunyai keazaman yang penuh untuk membela dan meninggikan Islam. Selepas itu rakyat melihat beliau mula lantang bersuara terutama apabila berkait rapat dengan isu-isu murtad dan liberalisasi agama. Semenjak itu rakyat mula menaruh harapan kepada beliau untuk menggantikan peranan Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Walaupun beliau bukanlah pendukung PAS, tetapi ahli-ahli PAS sendiri boleh menerima beliau apabila banyak pendirian beliau selari dengan pendirian PAS seperti dalam isu polisi moral dan IFC. Malah ahli-ahli PAS juga menyediakan platform kepadanya untuk bersuara berkenaan isu-isu tersebut.

Dari segi keilmuan, sememangnya sukar untuk diukur setinggi manakah keilmuan beliau. Hj Harussani adalah lulusan Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya yang sekarang telah diturun taraf menjadi sebuah sekolah berasrama penuh aliran agama. Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya pada ketika itu diterima sebagai bertaraf ijazah atau diploma. Beliau tidak pernah menghabiskan masa untuk menuntut ilmu-ilmu Islam di pusat-pusat keilmuan Islam seperti di Timur Tengah, India dan Pakistan. Beliau juga tidak pernah memondok bertahun-tahun di pondok-pondok traditional di negara ini sebagaimana ulama-ulama dahulu. Berdasarkan sejarah pengajian beliau, paling tidak beliau tidaklah setanding dengan para ilmuan negara ini yang pernah melalui susur galur pengembaraan ilmu seperti itu.

Sekiranya diukur dari segi sejarah perdebatan ilmu, beliau juga tidak begitu berketrampilan untuk duduk bersama para ilmuan Islam yang lain berbahas tentang sesuatu isu Islam. Semasa Pejabat Mufti Perak menganjurkan perbahasan tentang isu bid'ah sepatutnya beliaulah yang kehadapan untuk berbahas isu itu dengan Dr Asri Zainul Abidin. Sebaliknya Pejabat Mufti Perak menjemput Dr Abdul Aziz Hanafi yang merupakan Ahli Majlis Shura Ulama PAS. Beliau hanya dilihat menyerang Dr Asri dari belakang dan tidak pernah berhujah secara berhadapan. Menyedari hakikat tersebut, sekiranya diukur kepada kewibawaan ilmu, mungkin ramai lagi para ulama di Perak yang lebih layak menduduki kerusi Mufti seperti Ustaz Salleh Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.

Bagaimanapun, beliau sememangnya disayangi oleh Pihak Istana Perak terutama Sultan Azlan sendiri. Dengan sebab itu, dalam Perayaan Jubli Perak Sultan Azlan baru-baru ini, beliau adalah salah seorang yang diiktiraf sebagai paling berjasa kepada Sultan Azlan. Malah dari segi dunia akademik, beliau turut dianugerahkan Doktor Kehormat Shari`ah dari Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri. Tanpa menafikan sumbangan beliau kepada pentadbiran Agama Islam negeri Perak dan Malaysia, sumbangan beliau dari segi dunia akademik bagaimanapun tidaklah memberansangkan. Namun demikian anugerah yang bersifat akademik seperti ini turut diterima oleh beliau sebagai satu-satunya anugerah Doktor Kehormat Shari`ah yang pernah dianugerahkan oleh Universiti Malaya setakat ini.

Melihat kepada hubungan beliau dengan Sultan Perak, maka tidaklah menghairankan jika beliau mengisytiharkan derhaka kepada Hj Nizar Jamaluddin baru-baru ini. Walaupun telah banyak diperbahaskan dari sudut perundangan tentang kesahihan pemecatan Hj Nizar, iaitu ada yang bersetuju dan ada yang menentang. Akan tetapi semua pihak, termasuk yang bersetuju dengan pemecatan Hj Nizar ini bersepakat bahawa tindakan Sultan Azlan ini tidak betul dari segi moral. Tidak mungkin pihak Istana Perak tidak mengetahui bagaimana ada ADUN-ADUN yang disembunyikan, ada di kalangan mereka yang diculik dengan menggunakan nama Raja Muda dan ada di kalangan mereka yang diugut. Apakah Istana Perak lebih terkongkong dari 'katak di bawah termpurung'?

Semua pihak termasuk veteran-veteran UMNO dan pihak yang berkecuali seperti SUHAKAM berpendapat cara pengambilalihan kuasa itu tidak bermoral. Malah golongan yang bukan Islam termasuk bekas ADUN Bukit Selambau lebih bermoral dalam menanggapi isu-isu ini. Rakyat negeri Perak tanpa mengira agama kecuali penyokong tegar UMNO melihat tindakan BN yang kemudian diperkenankan oleh Sultan Perak sebagai tidak bermoral. Tiba-tiba Hj Harussani boleh membenarkan tindakan yang tidak bermoral atau berakhlak seperti ini. Sekiranya usaha melompat parti ini ada melibatkan unsur rasuah seperti yang dikhuatiri, maka adakah kenyataan Hj Harussani ini tidak boleh dilihat sebagai bersekongkol dengan golongan perasuah dan pemberi rasuah?

Hampir sepakat para ulama bahawa rasuah adalah antara dosa-dosa besar yang sangat dimurkai oleh Allah swt. Tiba-tiba Hj Harussani mengiyakan pembentukan sebuah kerajaan secara rampasan kuasa yang rakyat begitu meyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Tindakan Hj Harussani sememangnya akan menyebabkan institusi mufti akan dipandang hina bukan sahaja oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Sudah ramai pelayar internet menyeranah beliau dalam buku pelawat website Pejabat Mufti Perak. Selepas ini diyakini, sekiranya beliau berceramah di mana-mana orang Islam yang tidak berpuashati dengan pendirian beliau akan menyoal dan mempertikaikan tindakan beliau. Beliau tidak lagi akan dihormati sebagaimana sebelum ini.

Mungkin beliau tersilap kerana diperangkap oleh media sebagaimana yang berlaku kepada Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Namun demikian, selepas beliau mengulang-ulangkan pendirian beliau beberapa kali, maka situasinya telah dilihat berbeza. Kalau benar beliau adil beliau boleh menyanggah tindakan Hj Nizar dan pada masa yang sama beliau mesti juga menyatakan pendirian Islam tentang pembentukan kerajaan secara rampasan kuasa yang diyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Malangnya beliau hanya bertindak dengan menyebelahi satu pihak. Beliau kelihatan tidak jijik dengan budaya mengkhianati amanah rakyat dan amalan rasuah yang merupakan antara perkara yang dimurkai oleh Allah swt. Sepatutnya sebagai seorang mufti beliau gerun untuk tumpang sekaki seperti ini.

telaahpolitik

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setiap orang ada harganya. sultan perak pun najib boleh beli, mufti ni kacang saja.

ni najib la brader. najib the greatest magician in malaysia.

Tanpa Nama berkata...

Mungkin dlm kes "rampasan kuasa" di Perak,mufti "tersilap" pandangan.Jgn dhukum dia secara borong.Punbegitu seandai tuturkatanya sahih berlandaskan Al Quran dan Sunnah,ayuh di doakan agar dia dikurnia Al Jannah kelas pertama.Namun sekira diatas nafsu dan menjaga kepentigan bermunajatlah bersama agar dia dihumban ke neraka Jahanam paling dalam. Insan Kerdil nan Jahil.

LAN berkata...

Teman tak suka dia sejak kes Memali lagi.Salah seorang "Ulamak" yang digunakan oleh UMNO yang mengatakan Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya tidak syahid

Tanpa Nama berkata...

teman merasakan mufti memahami perasaan rakyat melayu kat Perak. Teman berkata demikian kerana teman telah lama tinggal di Perak.

saudaraku,
sebenarnya masyarakat melayu di Perak mengalami masaalah perhubungan dengan org cina. Berbanding negeri lain kaum melayu di Perak lebih merasa tertekan ,tertindas(atas kelemahan sendiri) dan tertinggal dari segi ekonomi di bumi sendiri.

secara jujurnya mereka merasa cemas dengan lemahnya kuasa melayu dalam kerajaan campuran perak. Mufti dan Sultan mungkin merasakan perkara yang sama.

Oleh kerana demikian , keputusan diambil untuk memihak kepada kerajaan majoriti melayu walaupun mungkin sangat rasuah dan korup.

sekian. demikianlah pendapat teman