13 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 13 Feb 2009

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

Mohammad Nizar selaku pemohon juga menuntut perintah injuksi menghalang Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir daripada menjalankan tugas sebagai menteri besar serta menuntut pilihan raya diadakan semula di negeri itu.

Dalam permohonan itu, beliau menamakan Zambry sebagai responden.

"Kita failkan saman ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (13 Februari 2009) untuk nyatakan pendirian kerajaan Pakatan Rakyat Perak bahawa kami dianiaya oleh Umno BN yang dipimpin oleh Najib Altantuya (Dato' Seri Najib Tun Razak)," kata Nizar selepas memfailkan saman ke atas Zambry di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat Jalan Duta.

Beliau memfailkan saman bernombor MK25-25-09 di bahagian Pendaftaran Rayuan dan Kuasa-kuas Khas di tingkat satu mahkamah tersebut.

Turut hadir bersama beliau ialah, para peguam antaranya Hanipa Maiden; Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Dato' Ngeh Koo Ham; Nga Kor Ming; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Ghazali, Ir Khalid Samad (MP Shah Alam); Dato' Kamarul Baharin Abbas (MP Telok Kemang); Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani (Adun Paroi) dan Ahli MT KeADILan, Badrul Hisham Shaharin selain beratus-ratus penyokong.

PILIHANRAYA BUKIT GANTANG DAN BUKIT SELAMBAU PADA 7 APRIL 2009

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau yang kosong awal minggu ini akan diadakan secara serentak 7 April ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, hari penamaan calon akan diadakan pada 29 Mac.

Kedua-dua komponen Pakatan Rakyat, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan pandangan bahawa jurang tempoh menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi dipengaruhi Barisan Nasional (BN) dan Umno.

"Kita tidak nampak mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mengadakan pilihan raya kecil ini. Ini kes langsung...ada kekosongan, SPR harus adakan pilihan raya (awal)," kata Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa.

Pemilihan tarikh tersebut dilihat sesetengah pihak dipengaruhi oleh BN dan Umno memandangkan Umno akan mengadakan perhimpunan agung pada 26 hingga 28 Mac ini.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menafikan perkara tersebut.

Penafian beliau amat meragukan kerana secara tiba-tiba Datuk Seri Najib telah membuat kenyataan dari Miri Sarawak menyatakan tempoh masa yang panjang untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau diadakan akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan juga pembangkang. Menunjukkan bahawa Najib telah mengetahui lebih awal keputusan SPR tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, keputusan SPR mengadakan dua pilihan raya kecil itu serentak dalam masa dua bulan lagi mempunyai kaitan dengan penyerahan kuasa yang akan berlaku dalam Umno.

Beliau berkata, tarikh 7 April depan dipilih untuk mengadakan pilihan raya adalah untuk memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijadualkan selepas Perhimpunan Agung Umno 26 Mac ini.

KHIR TOYO DITAHAN POLIS

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo hari ini ditahan polis ekoran cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana mahu menyaman Sultan Perak.

Beliau bersama tiga ketua Pemuda bahagian dan pemandunya ditahan di Taman Belia di sini pukul 3.30 petang sebelum dibawa ke balai polis Jalan Patani dan dibebaskan sejurus selepas diambil keterangan.

Mohd Khir yang mengadakan sidang media di sini hari ini, mengesahkan beliau ditahan polis untuk diambil keterangan berhubung rancangan mengadakan demonstrasi di depan kediaman ahli Parlimen Gelugor itu.

KES RAJA PETRA KAMARUDDIN (RPK) KEKAL DI MAHKAMAH TINGGI


Penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin yang didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain hari ini gagal dalam usahanya supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret apabila Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kes itu kekal di Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret membenarkan permohonan pendakwa supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan adalah sah dan teratur.

Beliau berkata keputusan pemindahan kes itu yang dibuat Majistret Nazran Mohd Sham, pada 15 Ogos 2008 itu tidak bercanggah dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.



Tiada ulasan: