
Kira-kira 60 orang menyertai perhimpunan tersebut di hadapan Pejabat Khidmat Komuniti ahli Parlimen Bandar Tun Razak, kira-kira jam 3 petang tadi.
Abdul Khalid adalah ahli Parlimen kawasan tersebut.
Mereka membawa sepanduk berbunyi "BN dikejar roh 46 ekor lembu" dan "Prinsip kami dari rakyat untuk rakyat" sambil melaungkan "Hidup Tan Sri Khalid" beberapa kali.

Perhimpunan aman selama sepuluh minit itu turut diawasi oleh kira-kira 20 anggota polis.
Penduduk kecewa
Sebelum ini, Gerakan Rakyat Anti-Korupsi (Gerak) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Khalid menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban untuk mengedarnya kepada penduduk di situ sewaktu Hari Raya Korban Disember lalu.
Sementara itu, Pengerusi Surau Firdaus, Ghazally Salim, melahirkan rasa kecewa kerana pemberian lembu tersebut dipersoalkan dan dipolitikkan.

"Padahal ini adalah sumbangan terus oleh PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) dan anak syarikat kerajaan negeri.
"Amalan sebegini sepatutnya digalakkan bukan dipersoalkan," tegas Ghazally dalam sidang media tersebut yang turut dihadiri kira-kira 15 wakil surau dan masjid di parlimen tersebut.
Ghazally mendakwa ramai penduduk di parlimen tersebut adalah anak jati negeri Selangor sebelum Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan.
Adakan solat hajat

"Sebahagian besar daripada kami masih anak Selangor!" tegas Ghazally.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli politik dari BN, Pakatan Rakyat, Gerak, SPRM dan rakayat Malaysia agar tidak mempolitikkan soal agama.
"Kalau kita tidak mampu untuk bersedekah, janganlah disekat orang lain daripada bersedekah," kata Ghazally.
Menurutnya, penduduk di situ juga akan mengadakan solat hajat dalam masa terdekat untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan menteri besar Selangor itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan