23 Feb 2009

UMNO ke Queen's Counsel: Sireh Pulang Ke Gagang

Diberitakan team peguam-peguam Umno telah berlepas ke London bersama-sama dengan seorang Adun Umno Perak untuk mendapatkan pandangan daripada Peguam Diraja England untuk menyelesaikan konflik di negeri Perak.

Jika benar ini berlaku, ianya bolehlah saya disifatkan sebagai “sireh pulang ke gagang”.

Ini adalah kerana dari segi sejarah, Umno adalah agen penjajah British pada ketika itu. Sebab itulah kemerdekaan diberikan kepada Umno. Jika kemerdekaan berjaya diperolehi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan tulen, sudah pasti kepentingan Briish di Tanah Melayu tidak akan dijaga.

Dengan berkuasanya Umno, Malaysia yang pada ketika itu dikenali sebagai Malaya dapat meneruskan kepentingan penjajah British.

Pada ketika itu, Malaya amat penting kepada British. Ini dapat dibuktikan dengan pembinaan “underground train” di London yang dibiayai seratus-peratus daripada hasil Bijih Timah dari Malaya.

Selain daripada itu, kita juga boleh melihat bagaimana Umno meneruskan Dasar Pecah dan Perintah yang digunakan oleh penjajah British satu ketika dahulu. Umno akan tetap meneruskan dasar-dasar ini oleh kerana itu sahajalah cara berpolitik yang mereka tahu.

Kita boleh mengimbas kembali bagaimana selepas Tsunami Politik berlaku pada 8 Mac tahun lalu, sentimen perkauman terus dimainkan untuk memastikan rakyat pelbagai bangsa terus berpecah. Formula politik perkauman telah menemui kegagalan apabila rakyat tidak kira apa bangsa bersatu.

Dengan harapan apabila mengatakan bahawa orang-orang Melayu dalam bahaya dan hilang kuasa, sokongan daripada orang-orang Melayu dapat kembali kepada Umno. Malangnya propaganda tahun 60 an ini tidak lagi melekat di jiwa dan sanubari orang-orang Melayu. Cuma segelintir kecil rakyat sahaja yang percaya dengan propaganda ini.

Jika rakyat Malaysia tidak kira apa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain bangsa bersatu, formula pecah dan perintah yang diajarkan oleh penjajah British kepada Umno akan masuk kedalam tong sampah sejarah.

Jadi tidak mustahillah jika selain mendapatkan pandangan daripada Peguam Diraja England mengenai krisis politik Perak, Umno turut mendapatkan pandangan daripada guru-guru mereka disana tentang bagaimana untuk memepertahankan politik perkauman di Malaysia.

Amin Iskandar @ Black


1 ulasan:

Unknown berkata...

Bagus juga minta bantuan Nenek Angkat!