23 Feb 2009

Ibrahim Ali menggali kuburnya sendiri

Gelagat Ibrahim Ali menjadi "lembu gila" nampaknya menanduk sesiapa sahaja, bahkan tuannya sendiri( PAS) dan akhirnya mencetuskan kemarahan PAS yang secara ihsan telah memberi kerusi parlimen Pasir Mas kepadanya atas tiket bulan dalam PRU ke 12. Bukan setakat Takiyudin Hassan sahaja mencabar beliau meletakkan jawatan, bahkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) sendiri, yang dikatakan memberi persetujuan beliau bertanding di Pasir Mas telah mendesaknya mengosongkan kerusi tersebut dan bertanding semula bagi menguji pengaruhnya.

Watak katak dan lembu gila yang menjadi ciri khas Ibrahim Ali benar-benar membengangkan Pakatan Rakyat(PR). UMNO dah lama tidak berkenan dengan tingkah laku Ibrahim Ali ini, lalu beliau ditalaktigakan oleh Pak Lah. Ini menyebabkan beliau berkelana mencari platform politik. PAS pada mulanya pula agak sukar menerimanya berdasarkan latarbelakangnya memusuhi parti itu sejak dulu lagi. Apatah lagi beliau terlibat dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan bersama Ku Li pada tahun 1978. Dipihak Parti Keadaan Rakyat(PKR) juga cukup menyampah dengan perangai beliau sejak dari dulu lagi kerana sikap permusuhannya dengan Dato' Sri Anwar Ibrahim yang tak pernah kunjung padam.

Akibatnya beliau berkelana dan tersungkur di pentas politik. Hakikat ini terbukti bila beliau kecundang sebagai calon bebas dalam PRU ke 11 dan PRK Permatang Pasir sejurus selepas itu. Dengan itu ramai orang melihat hayat politiknya telah berakhir.

Meski ditimpa kegagalan demi kegagalan, Ibrahim Ali terus memasang strategi untuk membuat "comeback". Cara mudah beliau ialah dengan menggadaikan harga dirinya dan menyokong PAS. Munkin beliau ada seni pujuk rayu dan kelentong menyebabkan PAS mengorbarkan kerusi Pasir MAS kepada beliau. Kita tidak menyalahkan PAS kerana PAS kita ketahui sebagai sebuah parti dakwah munkin sebagai usaha berdakwah kepada beliau supaya menyokong PAS khususnya dan PR amnya.

Bagaimanapun PAS telah tersilap congak. Sejurus selepas beliau bergelar MB atas tiket PAS, beliau mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas. Beliau menyatakan sikapnya untuk menegur atau menghentam mana-mana pihak sama ada BN atau PR jika difikirkannya tidak betul. Dalam beberapa siri ceramah juga beliau telah melukakan hati penyokong PR dengan mendakwa kemenangannya adalah kerana para pengundi di Pasir Mas marah dengan BN, tanpa menyebut kawasan parlimen tersebut adalah kubu kuat PAS dan orang-orang PASlah yang memenangkannya.

Oleh kerana lupakan diri beliau bersifat "lembu gila" yang turut menanduk semula tuannya. Terbaru penentangan terbukanya kepada PR di Parlimen menyaksikan berlaku pertikaman lidah antara beliau dengan beberapa AP PR menyebabkan ramai AP PR jengkel dengannya lalu meninggalkan dewan.

Kemanakah arah tuju politik Ibrahim Ali selepas ini? Apakah beliau merasa masih popular di Pasir MAS? Menjawab kepada cabaran PAS supaya beliau meletakkan jawatan, Ibrahim Ali bertegas beliau akan berbuat demikian jika majoriti pengundi di Pasir Mas mahukan beliau berundur. Bagaimana jika PAS berjaya mengumpul tandatangan sebahagian besar pengundi di kawasannya mendesaknya supaya berundur.

Apa yang pasti, PR tidak akan membenarkan beliau menggunakan pentas PR lagi untuk berceramah. Jika ini berlaku, beliau hanya layak berceramah di keda-kedai kopi yang hanya pendengarnya hanya sekitar sepuluh orang sahaja. Itu pun kerana beliau membayar harga minuman dan nasi kerabu atau nasi berlauk mereka.

Jika beliau berkeras tidak mahu mengosongkan kawasannya meskipun menerima pelbagai desakan, beliau perlulah menghitung hari menanti ketibaan PRU ke 13 yang dijangka akan diadakan lebih kurang tiga tahun lagi. Jarak tiga tahun itu tidak lama. PR semestinya tidak akan ditipu kali kedua oleh beliau, begitu juga UMNO pun rasanya takkan menggunakan khidmat "Cina buta" untuk merujuk kembali dengannya. Munkin beliau akan bertanding atas tiket bebas lagi. Dengan itu beliau akan menggali kubur politiknyanya untuk selama-selamanya.

gedebe

Tiada ulasan: