3 Jun 2015

[VIDEO] Katanya Pemuda Pertahankan Ulama, Tapi Berakhlak Syaitaniah..


Tuntut taat pada ketua Pemuda undang 'boo'

Perwakilan Pemuda PAS Johor membangkitkan isu walak (taat setia) yang didakwanya diamalkan secara terpilih dalam parti Islam itu.

Syafiq Aziz mempersoalkan mengapa terdapat segelintir ahli yang hanya walak kepada individu tertentu tetapi tidak kepada pemimpin sayap kanan parti itu Suhaizan Kaiat.

"Mutakhir ini timbul masalah tarbiah contohnya yang berlaku ialah walak yang terpilih. Kita tak walak pada keputusan parti tetapi kita boleh walak pada individu tertentu.

"Sebagai contoh, kita semua dalam dewan muktamar ini bersetuju untuk walak kepada presiden, tetapi kenapa dalam konteks Pemuda, kita tidak walak kepada ketua pemuda dan saf pimpinannya hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar ketua pemuda di Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Shah Alam hari ini.

Kenyataan yang dibuat Syafiq itu mendapat "boo" dari pemerhati serta perwakilan sehingga menyebabkan Timbalan Pengerusi Tetap Dr Ridhuan Mohd Noor meminta supaya semua orang bertenang.

"Bertenang," kata Ridhuan.

Suhaizan dicabar anak ikon ulama PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sepenggal mengemudi dewan itu, beliau dilihat berdepan cabaran besar mempertahankannya kali ini susulan kebangkitan arus besar kumpulan proulama dalam PAS.

Pertikai bacaan al-Quran Suhaizan

Sementara itu, perwakilan Pemuda PAS Terengganu pula menegur bacaan al-Quran Suhaizan sebelum melaungkan slogan perjuangan.

"Perbetulkan bacaan al-Quran sebelum melaungkan perjuangan. Jangan ambil mudah bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran ini pun tidak diperhalusi jadi di mana wawasan rabbani, fakih dan haraki yang diutarakan?" kata Raja Arizal.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh perwakilan Selangor Mohd Zuhdi Mat Piah.

"Saya tak minat nak kritik dalam Facebook tetapi saya nak kritik di sini, di muktamar. Sepatutnya ucapan itu dibaca berkali-kali dan dirujuk dulu dengan mereka yang mahir terutamanya kalimah yang menggunakan bahasa Arab.

“Saya minta maaf dan saya tak nak ia berulang dan disebut di media sosial di luar sana. Kita sebut di sini (muktamar),” katanya. -mk


PAS: Suhaizan Kena "Boo" Beberapa Jam Sebelum Pemilihan Pemuda

Kurang 12 jam sebelum berlangsungnya proses pemilihan parti, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dilihat ‘kurang bernasib baik’ apabila di’boo’ sekumpulan lelaki, dipercayai pemerhati muktamar sayap parti itu. Respons tersebut diterima ketika penyandang jawatan yang bakal bertanding mempertahankan kerusi itu berada di pentas bagi memberi penjelasan berhubung isu dan perkara yang dibangkitkan perwakilan melalui perbahasan di Muktamar Pemuda PAS ke-56, malam Selasa.

Suhaizan tampil selepas dijemput oleh Pengerusi Tetap, Kamal Ashaari untuk menjawab pertanyaan yang dibangkitkan beberapa perwakilan berkaitan dirinya dan isu kepartian.

Antara yang dipersoalkan adalah sejauh mana Suhaizan, atas kapasitinya sebagai ketua sayap parti itu mengadakan perbincangan dengan DAP yang dilihat semakin lantang menentang hudud dan menyerang kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perasaan ‘kurang senang’ dengan Suhaizan dapat dilihat sebaik sahaja beliau naik ke pentas apabila kedengaran suara-suara, dipercayai pemerhati yang ditempatkan di dewan berasingan.

Keadaan masih tenang apabila Suhaizan menjawab satu demi satu persoalan, termasuk mengenai pendirian konsisten DAP berkaitan hudud.

Kemuncak ketidakpuasan hati itu ditunjukkan kumpulan tersebut apabila kedengaran dengan jelas - "boo" ketika beliau menyatakan pendirian bahawa Pemuda PAS mengangkat idea dan kepimpinan Hadi.

Tidak cukup dengan "boo", ada juga terselit suara yang melaungkan perkataan ‘penipu’, ketika beliau memberi penjelasan.

Pada pemilihan parti yang berlangsung pada pagi Rabu, Suhaizan dicabar calon yang bukan calang-calang iaitu Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dilihat mempunyai pengaruh besar kepimpinan bapanya yang juga bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini Suhaizan dilihat lebih mesra Pakatan Rakyat namun situasi itu mungkin berakhir jika Nik Abduh berjaya merampas kedudukan tersebut.

Berbanding Suhaizan, Nik Abduh lebih lantang mengkritik kepimpinan DAP dan PKR khususnya dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti Islam itu termasuk yang terbaharu berkaitan pelaksanaan hudud.
-mstar



ULASAN GB

Berlaku lagi, seperti tahun lepas, segolongan Pemuda PAS dengan gelagat "memboo".

Namanya Pemuda Parti Islam SeMalaysia, kononnya mereka memperjuangkan dan mempertahankan kepimpinan ulama, tapi akhlaknya syaitan. Mengalahkan akhlak dan perangai parti lawan.

Inilah akibatnya apabila TIADA TINDAKAN TEGAS DIAMBIL terhadap mereka pada muktamar yang lepas. Mustafa Ali, kamu berdiri dan jawab di padang masyar nanti mengapa kamu melakukan tindakan berpilih di dalam hal disiplin ahli dan sikap kamulah yang mengnancurkan parti.

Jangan Rosakkan Lagi Hubungan PAS Dengan PKR & DAP


Pandangan 3 anak bekas pemimpin PAS Oleh A Shukur Harun

Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang akan berlangsung di Kuala Selangor bermula hari ini akan menjadi penentu sama ada PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat atau sebaliknya.

Walau apa pun hujah dan pandangan pelbagai pihak, ia menjurus kepada penentuan ini dan inilah mimpi ngeri sebenarnya.

Semuanya ini terletak kepada keputusan perwakilan yang mengundi yang akan memilih dan menentukan siapakah bakal saf pimpinan yang akan mengemudikan PAS di masa akan datang.

Menurut situasi terkini dan mood yang ada, golongan dari jalur keras dilihat beberapa pihak mungkin akan mendominasi keputusan pemilihan pucuk pimpinan yang sangat penting itu. Bagaimanapun, semuanya belum pasti lagi, kerana hari penentuan akan tiba bermula 4 Jun ini.

Persoalan yang berlegar ialah sama ada selepas muktamar ini, PAS akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat atau akan bersendirian mengharungi cabaran politik tanah air.

Persoalan ini tidak boleh dielakkan kerana ia berlegar sejak beberapa tahun lalu dan muktamar kali ini akan menentukannya.

Benar, beberapa pemimpin PAS memberi jaminan dengan kata-kata PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat. Namun sesetengah pihak berpendapat itu adalah jaminan kata-kata, sementara perbuatan belum tahu lagi atau bagaimana, mungkin berlainan dengan apa yang dikatakan.

Sebab itu, pelbagai pihak meramalkan jika golongan jalur keras yang sangat kritikal terhadap Pakatan Rakyat mendominasi keputusan pemilihan nanti, maka kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyaat menjadi tandatanya yang amat besar.


Namun saya teringat apa yang dikatakan oleh Nik Omar, anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di satu forum di Shah Alam, yang ayahandanya sangat mempertahankan Pakatan Rakyat, bahkan sebelum meninggal dunia dia masih mengingatkan kami supaya pertahankan Pakatan.

Ayahanda, katanya, menatang Pakatan Rakyat kerana besar faedah PAS berada dalam Pakatan.

Pada forum tersebut, tiga anak bekas pemimpin utama PAS – Dr Mujahid Yusuf Rawa, Faiz Fadzil Mohd Noor dan Nik Omar Nik Abd Aziz ketika berucap turut mempertahankan Pakatan Rakyat kerana melihat banyak faedah yang diperoleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

Ketiga-tiganya juga menekan perlunya PAS meneruskan hubungan rapat dengan orang bukan Islam.

Bahkan menurut mereka ketiga-tiga ayahanda mereka sentiasa memelihara hubungan baik dengan orang bukan Islam.

Bahkan, kata mereka, ayahanda mereka sentiasa mengadakan hubungan rapat bukan saja dengan PKR tetapi juga dengan DAP.

Sikap keterbukaan ayahanda mereka menyebabkan ahli PKR dan DAP turut bertungkus-lumus membantu calon PAS dalam PRU 2008 dan 2013.

Kata Faiz, hubungan baik PAS dengan PKR dan DAP jangan dirosakkan. Kalau ada isu berbeza pandangan boleh dibawah ke meja rundingan.


Menurut Faiz, PAS sebagai parti politik moden tidak boleh bersendirian kerana ia perlukan sokongan kalangan bukan Islam. Bukan saja untuk kemenangan politik, tetapi juga untuk kepentingan dakwah.

Seperti yang saya katakan, memang ada jaminan kata-kata dari sesetengah pemimpin PAS untuk terus bersama Pakatan Rakyat, tetapi ada kenyataan berlainan dari sesetengah sesetengah pemimpin PAS sendiri.

Malah ada kata dua, amaran dan sebagainya yang boleh mengancam perpadduan dalam Pakatan Rakyat.

Kini dengan isu perbalahan PAS-DAP yang meruncing, ada kecenderungan di kalangan sesetengah pendukung PAS yang berlumba-lumba untuk turut ‘menyerang’ DAP dengan hebatnya.

Iaitu melebihi serangan balas pemimpin PAS sendiri. Iaitu untuk menunjukkan mereka lebih ke depan sebagai ‘pendekar ulung’ PAS yang berani dengan lantang ‘membelasah’ DAP, terutamanya pada ketika musim pemilihan pimpinan.


Ahli memang berhak mempertahankan parti dan pemimpin, tetapi jangan lebih sudu dari bubur.

Pemerhati menjangka keadaan PAS akan menjadi lebih buruk nanti jika sekiranya golongan yang kritikal terhadap Pakatan mendominsi keputusan pemilihan parti itu.

Pada waktu itu, kata mereka, kedudukan PAS dalam Pakatan, terutamanya di Selangor akan benar-benar tercabar.

Ada yang berpendapat, sekiranya PAS keluar Pakatan Rakyat, Selangor kemungkinan berdepan dengan situasi di mana Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.

Pada masa ini, PAS dan DAP masing-masing mempunyai 15 kerusi manakala PKR mempunyai 13, tidak termasuk ADUN bebas yang juga bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri, di mana 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Sekiranya PAS tidak lagi berada dalam Pakatan, maka DAP dan PKR akan hanya mempunyai 28 kerusi.

Tetapi sekiranya Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin menyokong terus Pakatan maka PKR dan DAP boleh membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah dengan 30 kerusi.

Demikianlah serba kemungkinan boleh berlaku dan inilah mimpi ngeri bagi menjelang muktamar PAS bermula Khamis ini.

Saya tertarik dengan pandangan Dr Mujahid, Faiz dan Nik Omar yang PAS perlu terus menerus mengadakan hubungan dengan kalangan di luar PAS, terutama dengan kalangan bukan Islam.

Ketiga-tiganya menyebut bagaimana hebatnya sokongan kalangan bukan Islam terhadap PAS terutamanya ketika kempen PRU 2008 dan 2013 hingga ada yang menyelimutkan badan mereka dengan bendera PAS.

Ini, kata mereka, menyebabkan Pakatan Rakyat menang besar dalam kedua-dua pilihan raya umum tersebut.

Oleh itu muktamar PAS bermula Khamis ini, dengan Muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat sehari sebelumnya akan menentukan hala tuju masa depan PAS.

Mereka yang terpilih dalam pemilihan pucuk pimpinan nanti mestilah berusaha memulihkan kembali imej PAS, memperlihatkan PAS sebagai parti politik yang terbuka, toleransi, bukan fanatik dan ekstrem, memulihkan semula hubungan dengan kalangan di luar PAS, terutama dengan bukan Muslim, bahkan juga melakarkan road-map masa depan PAS yang boleh meyakinkan rakyat.

Telefon Bimbit Suhaizan & Husam Digodam. Kerja Siapa?


Telefon digodam hantar SMS maki Hadi

Ketika sedang menyampaikan ucap utama dalam muktamar Pemuda PAS di Shah Alam hari ini, ketua dewan itu Suhaizan Kaiat menerima SMS menggelarnya "celaka".

Terkejut dengan tulisan itu, beliau dengan hormat bertanya kembali sebabnya.

Tetapi beliau terus dimaki hamun kembali setelah didakwa mencela Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlebih dahulu.

"Tu kenapa kau nak celakakan orang. Kalau Hadi itu celaka, samalah kau pun celaka," tulis pihak itu, yang tidak jelas identitinya, kepada Suhaizan.

Menjelaskan perkara itu, Suhaizan berkata telefonnya digodam dan beliau juga tidak melihat mesej asal yang dikatakan daripadanya.

Mesej anti-Hadi itu berbunyi: "Undur Hadi Undur! Ini masa terbaik untuk kita jatuhkan si celaka Hadi Presiden PAS yang paling tak guna."

Suhaizan mengetengahkan salinan imej perbualan itu di Facebook beliau sebentar tadi.

Dalam pemilihan muktamar Pemuda parti itu, Suhaizan dicabar oleh anak ikon ulama PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Abduh, dalam pertembungan satu lawan satu.

Nik Abduh dilihat satu kem dengan Hadi.

Suhaizan pula dilihat lebih dekat dengan kumpulan properubahan dalam PAS diketuai oleh bekas naib presiden dan bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Ahmad Awang.

ULASAN GB

Bertuah kumpulan UG ... selain mendapat liputan media UMNO BN sperti akhbar dan TV, kini ada pula "hantu-hantu" menolong mereka untuk menggodam telefon bimbit golongan profesyenal menabur fitnah. Selain dari Suhaizan, dilaporkan telefon bimbit Husam Musa juga digodam untuk tujuan yang sama.

Sewaktu pilihanraya umum lepas, telefon bimbit Salahuddin Ayub dan Mat Sabu juga digodam.

Sungguh sayang UMNO kepada kumpulan UG ini.

Sebelum ini pun puak UG telah pun merekrut "faceboker hantu" yang bernama Tok Usin Ceroi, El-Haraki, Keli Laut dab lain-lain di dalam mencapai impian mereka.

Sepertimana biasa, kumpulan UG itu memperlekehkan isu "godam hanfon" itu sebagai satu "lawak" menurut mereka. Sama caranya dengan hal mereka lakukan tatkala kereta Dr.Hatta diserang, tatkala Dr.Dzulkefly Ahmad ditumbuk di subuh hari. Kata mereka ia dilakukan sendiri oleh Dr.Hatta dan Dr.Dzulkefly untuk meraih simpati.


Tak apalah.... seperti yang GB katakan.... kemenangan dengan cara yang sedemikian tiada kebenrkatannya. Hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan dan hantu-hantu itulah yang bakal menyebabkan mereka kalah. Dan hukum kebenaran dan keadilan akan juga menghukum sekalian hantu-hantu berkebenaan dengan hukuman yang amat dasyat. Sama-sama kita nantikan.

2 Jun 2015

Anda Pasti Kenal Wajah Penjenayah Terkenal Ini..

Kota Kinabalu: Penjenayah terkenal Mat Malaya akhirnya berjaya ditangkap selepas polis menyerbu sebuah rumah tumpangan di Kundasang lewat malam Isnin.

Lelaki berusia 44 tahun itu merupakan adik kepada bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar ditangkap bersama-sama dengan isterinya berusia 24 tahun dan bayi perempuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah SAC Datuk Sallehhudin Abd Rahman berkata suspek yang dikehendaki kerana menembak seorang mekanik pada 6 Mei lalu tidak membantah ketika penangkapan dilakukan.

Mat Malaya atau nama sebenarnya Mohd Jusnaidi Omar sedang disiasat kerana cubaan membunuh dan memiliki senjata api.

Polis, bagaimanapun, tidak menemui sebarang senjata dalam simpanannya.

Suspek dikatakan telah menembak seorang mekanik di bengkel penghawa dingin kereta selepas kedua-dua mereka merenung antara satu sama lain.

Suspek kemudian naik berang dan bertindak menembak mangsa.

Mat Malaya sebelum ini didakwa atas kesalahan mengedar dadah pada tahun 2007 tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

BERITA SEBELUM INI: Adik Noh Omar Diburu Polis Sabit Kes Tembak

[BERGAMBAR] Sayang PAS Dan Perkukuhkan PR, Pilih Mereka Ini Menerajui PAS


Menepati slogan PAS FOR ALL, dan menjunjung resolusi muktamar setiap tahun yang meminta Pakatan Rakyat diperkukuhkan, maka berikut ialah calon-calon Pro-PR yang perlu di berikan sokongan para perwakilan. Sekalipun dituduh pro-DAP, mengikut telunjuk DAP atau anti-ulama dan digelar dengan pelbagai gelaran buruk, namun usah perdulikan tuduhan, fitnah dan cacian itu kerana ia hanyalah rekaan dan luahan golongan yang cemburu dengan perjuangan mereka selama ini yang telah berjaya merapatkan hubungan PAS dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Mereka yang terdiri dari gabungan ulama dan progresif yang terdiri dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan profession, yang sebenarnya pendokong aspirasi PAS FOR ALL dan merekalah yang menjadi tonggak harapan PAS untuk memperkukuhkan PR dan menumbangkan UMNO BN di dalam pilihanraya nanti.

PRESIDEN

Ustaz Ahmad Awang

TIMBALAN PRESIDEN

Mohamad Sabu

NAIB PRESIDEN

Datuk Husam Musa

Salahuddin Ayub

Datuk Mahfuz Omar

AHLI JAWATANKUASA PAS PUSAT (pilih 18 orang saja)

Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus

Ustaz Abd Ghani Samsudin

Dr. Abu Bakar Mohamed

Aiman Athirah Aljundi (Raj Munni Sabu)

Aminolhuda Hassan

Dr. Dzulkefly Ahmad

Hanipa Maidin

Dr. Hatta Md Ramli

Khalid Samad

Lahirul Lagitu

Mazlan Aliman

Misbahul Munir Masduki

Datuk Seri Ir.Mohd Nizar Jamaluddin

Dr. Muhaimin Sulam

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa

Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob

Dr.Siti Mariah Mahmud

Taufek Abd Ghani

Zulkifli Mohd Omar

KETUA DEWAN PEMUDA

NAIB KETUA DEWAN PEMUDA

KETUA DEWAN MUSLIMAT

TIMBALAN KETUA DEWAN MUSLIMAT



GRAFIK TAMBAHAN





DAN JANGAN SEKALI-KALI DILUPAKAN PESANAN INI

1 Jun 2015

Hanya Si "Tolol" Percaya Laporan Akhbar Mat Sabu Sindir Hadi


Mat Sabu bukan sindir Hadi, kata naib presiden PAS

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyarankan orang ramai memahami keseluruhan ucapan Mohamad Sabu pada satu ceramah di Tumpat malam Jumaat lalu sebelum membuat kesimpulan, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kelantangan ucapan timbalan presiden PAS itu mengenai kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sesuatu yang berbentuk sindiran atau memperlekehkan kredibiliti presiden parti itu.

Menurut Salahuddin, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu, dalam ucapannya itu meletakkan satu konteks yang mana apabila PAS bersama dengan gabungan politik, barulah parti itu dapat memperluaskan wilayah dan pengaruhnya.

"Apabila buat satu kesimpulan mengenai isu yang dibawa seseorang dalam ceramah, kita harus baca keseluruhan ucapan. Kadang-kadang kita bercakap untuk memberitahu tentang satu gambaran atau senario politik yang besar, dengan memberi satu contoh beberapa individu.

"Mohamad bercakap tentang PAS boleh luaskan wilayah apabila kita berada dalam kesepakatan politik," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut perkara itu,Salahuddin berkata, PAS boleh menawan Kelantan apabila PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada era 80-an, begitu juga dengan Terengganu apabila bersama Barisan Alternatif.

"Kemudian, sekarang ini PAS boleh menang di Johor dan kita ada kerusi di Pantai Barat, apabila bersama atas nama Pakatan Rakyat (PR)," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan, ucapan Mat Sabu itu bukan satu sindiran sekiranya seseorang itu membaca atau melihat keseluruhan ucapan itu.

Sebelum ini dilaporkan, Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar PR.

"Pidatonya (Hadi) begitu hebat. Ceramahnya, kuliahnya, Rusila, kereta parking berbatu, jadi macam pekan sehari bila Tok Guru Hadi beri kuliah. Tapi bila pilihan raya umum, (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan Nasional).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah isu semasa PAS di Tumpat, Kelantan Jumaat lalu.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu melaksanakan hudud di Kelantan. – TMI


Mat Sabu timbang saman Bernama, akhbar

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita nasional dan dua akhbar utama yang menyiarkan laporan mendakwa beliau menyindir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad berkata ucapannya dalam ceramahnya di Tumpat Jumaat lalu "diputar belit" sehingga mencetuskan "keresahan ahli, memburukan imej beliau dan menjadi ketidakharmonian dalam parti."

Sinar Harian dan Utusan Malaysia menyiarkan laporan tersebut di muka depan semalam.

"Oleh itu saya akan berbincang dengan peguam. Kalau ada kes, tindakan undang-undang akan diambil.

"Tulisan (laporan) itu berniat jahat terhadap saya dan terhadap parti saya," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kuala Lumpur petang ini.

Kelmarin Bernama melaporkan krisis dua pucuk pimpinan utama PAS dilihat semakin meruncing menjelang pemilihan parti itu awal Jun ini, dengan Mohamad semakin lantang mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Menurut laporan itu, beliau lebih dikenali Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir Hadi yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, beliau mencabar ketiga-tiga media itu mengeluarkan atau menyiarkan transkrip penuh ucapan yang didakwa menyindir Abdul Hadi.

"Ucapan saya tu orang dah dengar dah. Bukan benda baru. Saya berucap di konvensyen di Perak, (perkara) ini juga," katanya.

Pada masa yang sama, beliau memuji kehebatan, ketokohan serta akhlak pemimpin PAS termasuk bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Nor dan bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sehingga berjaya memukau kehadiran rakyat menerusi kuliah dan ceramah.

Kalau nak sindir, sindir semua

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba beberapa pilihan raya umum sebelum ini, kedua-dua mereka gagal menguasai Kedah dan Kelantan sehingga PAS membentuk dan bekerjasama politik.

Menurutnya lagi, Nik Aziz berjaya menguasai Kelantan selepas berpakat secara politik dengan Semangat 46 dan menang pilihan raya umum 1990 selepas Umno berpecah.

Katanya, dalam pilihanraya umum pada 1978, 1982 dan 1986 PAS gagal menguasai Kelantan.

Begitu juga, kata Mohamad, di Kedah PAS berjaya menguasai negeri melalui Datuk Seri Azizan Abdul Razak selepas mengadakan persefahaman politik pada 2008 ditambah pula dengan pengundi bukan Islam sedia mengundi PAS.

Sebelum itu, katanya, PAS hanya berjaya menguasai tiga kerusi pada pilihan raya umum 1986.

"Kalau saya nak menyindir, saya sindir (termasuk) Datuk Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz (sama). Itulah baru sindiran.

"Ertinya saya nak tekankan berbelas kali dalam ucapan saya, iaitu PAS tidak boleh bersendirian untuk tawan negeri. Inilah pokok ucapan saya (di muktamar)," katanya.
-mk




ULASAN GB

Hanya si "tolol" yang membuat kesimpulan dan yang percaya bahawa Mat Sabu menyindir Haji Hadi tidak kiralah si "tolol" itu dalam PAS atau di luar PAS.

Dari ucapan mat Sabu jelas bahawa beliau hanya melakukan perbandingan ucapan Haji Hadi semasa PAS berada dengan PR dengan sewaktu belum wujud PR. Itu saja.

Tetapi telah dimanipulasikan oleh BERNAMA dan akhbar untuk menggambarkan kononnya Mat Sabu menyindir Haji Hadi untuk mencalarkan imej Mat Sabu dan menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya. Sama seperti kes Mat Indera satu ketika dulu.

Kita menyokong penuh Mat Sabu untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas BERNAMA dan para akhbar yang melaporkan berita fitnah tersebut.

Pilih Ahmad Awang Untuk Kukuhkan PAS Dan Pakatan Rakyat


Nizar: Pilih Ahmad Awang demi kukuh PAS, Pakatan

Presiden dan barisan kepimpinan yang baru perlu diwujudkan di dalam PAS bagi memastikan parti itu terus kukuh bersama Pakatan, bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Nizar berkata beliau hanya mahukan parti itu dipimpin oleh individu yang tidak memperkecilkan rakan pimpinan dalam Pakatan demi menjaga keharmonian parti.

"Selepas muktamar apa yang saya mahu ialah muka presiden yang baru dan Pakatan akan kukuh seperti asal pada 2008 yang mana persefahaman pemimpin Pakatan jauh lebih akrab dan tidak keluarkan kenyataan yang memperkecilkan rakan pimpinan Pakatan.

"Presiden perlu baru, perlu juga pimpinan yang baru yang campuran bersama ulama. PAS perlu dipimpin oleh ulama dan siapa ulama itu? Dia ialah Ustaz Ahmad Awang.

"Dia (Hadi) boleh cakap Arab, dia (Ahmad) juga boleh bercakap dalam bahasa Arab, dia (Ahmad) boleh bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, dia (Hadi) tidak boleh.

"Kita perlukan kepimpinan yang dihormati parti dan negara kita. Dan dengan kepimpinan baru yang raikan Pakatan ia akan menghilangkan khurafat yang mengatakan hanya Umno boleh pimpin orang Melayu," kata Nizar.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015' di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Turut hadir sebagai ahli panel dalam forum itu ialah calon Presiden Ahmad Awang dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Nizar berkata, walaupun beliau tewas untuk mengekalkan jawatan yang dipertua PAS Kawasan Kampar, namun beliau tetap bertanding mempertahankan kerusi ahli jawatankuasa PAS Pusat pada pemilihan kali ini.

Beliau turut mendakwa, semasa pemilihan PAS kali ini, beliau teruk difitnah "orang dalam parti" berbanding yang pernah dilakukan oleh Umno semasa pilihan raya umum lalu. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan individu terbabit.

Nafi tolak ulama

Katanya, fitnah yang dilemparkan bahawa beliau menolak kepimpinan ulama tidak benar sama sekali memandangkan segala kritikan yang diberi kepada kepimpinan PAS demi sayangkan parti.

"Adakah betul kumpulan profesional nak gulingkan ulama sedangkan saya beranggapan kalau tiada ulama (Majlis Syura) untuk tangani masalah yang di bawa Umno, dah lama PAS merudum.

"Ulama sebenarnya yang menyelamatkan parti kerana mereka ada ilmu yang boleh menyelamatkan parti. Tiba-tiba saya hari ini dituduh anti ulama dan nak jatuhkan presiden.

"Sedangkan kalau di dalam mesyuarat, kalau saya beri kritikan itu bermakna saya sayangkan orang tersebut tetapi saya lebih sayangkan parti.

"Saya beri pandangan dan kritikan kerana saya nak mereka membangun, bukankah itu peradaban dalam Islam. Semasa dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Datuk Nik Aziz (Nik Mat), saya beri kritikan yang sama dan mereka raikan pandangan mana-mana ahli PAS.

"Hari ini pandangan dalam PAS, kalau kritik presiden, ini lah orang yang sokong bawa rebah," kata ADUN Changkat Jering itu lagi.

Susulan kenyataan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yang dilapor memberi kata dua kepada perwakilan dan bebas memilih pemimpin sama ada yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya, Nizar mempersoalkan sama ada perwakilan mahukan presiden yang didakwanya menjadi boneka DAP atau Umno.

Menurut Nizar, dalam situasi banyak pihak mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat pihak dalam PAS yang mengeluarkan kenyataan supaya mengekalkan ahli parlimen Pekan itu sebagai ketua negara.

"Umno sekarang dalam keadaaan paling lemah apabila Tun Mahathir Mohamad, (timbalan perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adik najib turut menghentam (Najib), tetapi ada pihak pula yang kata kekalkan Najib.

"Kalau macam itu saya boleh kata, nak jadi presiden yang jadi boneka DAP atau boneka Umno?" soal Nizar yang mendapat tepukan daripada hadirin. -mk

Ahmad Awang berazam satukan PAS kembali


Calon presiden Ahmad Awang akan memberikan fokus kepada penyatuan ahli parti yang berpecah teruk sekarang sekiranya beliau terpilih memenangi kerusi itu dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 minggu ini.

Ini kerana, beliau berpendapat, isu ini, terutama perpecahan antara golongan konservatif dan profesional, tidak diuruskan dengan baik oleh presiden PAS sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ia perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaah Islam dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya," kata bekas pesuruhjaya PAS Perak itu dalam wawancaranya dengan The Malaysian Insider.

Ahmad, yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia, akan menentang Hadi pada muktamar bermula 4 hingga 6 Jun ini di Kuala Selangor.

Berikut petikan wawancara beliau dengan The Malaysian Insider (TMI).

TMI: Mengapa anda terima pertandingan?

Ahmad: Saya rasa ia kehendak pihak akar umbi di pelbagai peringkat dalam PAS, melalui pencalonan yang diberikan, dan melayakkan saya untuk bertanding. Ke mana saja saya pergi dan berjumpa mereka, mereka merayu agar saya jangan menolak pencalonan itu.

Daripada 179 kawasan PAS, 115 sahaja yang membuat pencalonan untuk presiden (Hadi), manakala 82 lagi tidak membuatnya. Saya mendapat 7 pencalonan manakala Datuk Husam Musa, 8. Jadi, bagi saya, peluang ada di situ.

TMI: Apakah masih ada harapan untuk PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) selepas apa yang berlaku dalam PAS dan selepas muktamar nanti? Atau lebih baik PAS bersama Umno?

Ahmad: Cakap-cakap para pemimpin yang ada nampaknya bersama dengan PR, tetapi tindakan dan perbuatan, ke arah tidak bersama lagi. Multaqa Ulama di Kedah beberapa tahun lalu juga menjelaskan usaha untuk mengkaji hubungan ini. Ia boleh dilihat melalui perbahasannya. Cuma tidak menyerang PR secara langsung tetapi menyerang pemimpin PAS yang mahu bersama PR.

Kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dijadikan alasan untuk mengaitkan kononnya sesetengah pemimpin tidak wala' (taat) kepada pemimpin parti, tetapi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebenarnya, jika kita sokong Anwar, bermakna kita sokong PAS, kerana PAS berada dalam PR.

Jadi, PAS dan PR ini bergantung kepada siapa yang memimpin PAS selepas ini.

TMI: Bagaimana hubungan dengan Umno?

Ahmad: Kita, PAS dan saya, secara peribadi bersama dengan Umno sebelum ini. Umno bersetuju untuk berdakwah apabila kita bersama mereka. Maka, lahirlah Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan terbentuknya Pusat Islam, dan saya menjadi pengarah dakwahnya.

Namun selepas itu, PAS ditendang daripada Umno dan kemudiannya saya ditendang daripada Pusat Islam dan ditukar ke Kementerian Pelajaran atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Ia berlaku apabila saya bersetuju yang mangsa tragedi Memali adalah syahid, sebagaimana dikatakan pemimpin PAS ketika itu.

Sepanjang pengalaman ini, saya kenal Umno dan tidak akan bersama dengan Umno lagi.

TMI: Apa pandangan anda mengenai sikap penentangan DAP terhadap hudud?

Ahmad: Memang kita tahu DAP dari awal tak pernah sokong hudud. Karpal Singh pernah berkata 'langkah mayat saya dulu untuk laksana hudud'. Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah jumlah Karpal mengenainya walaupun dia tahu sikap Karpal. Yang pasti, boleh berbincang mengenainya. Ia tidak menggugat PR selagi ada perbincangan.

Tetapi, ia berjaya menggugat PR apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom (menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkata di Dewan Rakyat, kerajaan pusat sedia membantu Kelantan melaksanakan hudud, lalu terbentuknya Jawatankuasa Teknikal mengenainya.

Apabila ia dibangkitkan DAP, PAS bersetuju berbincang mengenainya sebelum dibawa ke Dewan Rakyat. Tetapi nampaknya bukan saja kepada DAP, kepada Jawatankuasa PAS Pusat juga, ia tidak ditunjuk dan diajak berbincang apabila rang undang-undang persendirian hendak dibentangkan.

Bagi saya, DAP menentang kerana mereka tidak diberi ruang mendengar apa yang PAS nak bawa. Kalau diterangkan yang hanya (melibatkan) Akta 355 yang sudah ada dalam Perlembagaan, ia tidak menjadi seteruk ini. Tetapi kerana tidak dibincangkan, jadilah macam ini.

Lagipun, kalau BN yang berkata menyokongnya, membawanya ke Parlimen, ia lebih baik kerana DAP boleh memberikan alasan kepada penyokongnya yang ia bukan dibawa PAS, tetapi Umno.

Perkara ini timbul kerana PAS percaya sangat kepada Umno. DAP lihat ini sebagai permainan politik. DAP juga pelajari hal ini dengan membaca buku Yusof Qardhawi. Tetapi bagi sesetengah pemimpin PAS, ia tidak baik. Walaupun bagi saya, ia baik, kerana DAP mula mempelajari Islam.

TMI: Apa pandangan anda tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ekonomi dan Islam yang progresif dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia?

Ahmad: Apa yang berlaku kepada 1MDB menambahkan lagi bobroknya pentadbiran negara di bawah presiden Umno, khasnya yang ada sekarang.

Saya secara peribadi terlibat dalam pembinaan Putrajaya ketika menjadi panel penasihat syariah RHB Bank. RHB diberikan amanah untuk menguruskan pengeluaran bon kerajaan bagi membina Putrajaya dan kami kena kaji hal ini.

Isu penyelewengan ini memang teruk dari dulu lagi, cuma bertambah sekarang. Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini berada di kemuncaknya selepas teruk sekian lama.

Tan Sri Aziz Abdul Rahman yang pernah menjadi pemimpin MAS pernah berkata, beliau meninggalkan MAS dengan harta dan aset yang banyak, tetapi apa berlaku kepada MAS sekarang?

Bagi saya, kegagalan paling besar Najib ialah kegagalan memisahkan dirinya dengan pelaksana dasar, sedangkan dia pembuat dasar. Konsep pemisahan kuasa dalam pentadbiran itu dilanggar. Itulah yang berlaku dalam kes 1MDB. Dia perdana menteri, dia menteri kewangan dan dia pengerusi 1MDB.

TMI: Apa peranan ulama dalam masyarakat moden dan parti politik?

Ahmad: Bagi saya, ulama kena jadi pakar rujuk umat. Antaranya membuat kajian ilmiah supaya orang Islam, dan ahli PAS khasnya, berpolitik dengan betul dan memahami konsep politik Islam.

Misalnya bila bertahaluf dengan DAP, kita kena sokong calon DAP walaupun siapa rakan tahaluf itu, kerana itulah prinsipnya. Bukan kita kena campur semua. Pendek kata, kajian hukum fikah politik, kena buat.

Yang kedua, ulama perlu membuat kajian mendalam bagaimana melaksanakan konsep atau pendekatan ulama yang profesional dan profesional yang ulama. Ulama kena kaji untuk mengintegrasikan semua ini agar mereka tidak senang dipecahkan macam sekarang.

TMI: Apa yang anda boleh tawarkan yang tidak ada pada presiden PAS sekarang?

Ahmad: Yang saya tawarkan ialah menyatukan semua kelompok ahli PAS yang sedang berpecah sekarang. Ini perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaaah Islam, dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya yang dia (Hadi) tidak hendak tawarkan.

Saya juga akan usahakan agar orang Melayu dan Islam yang berada dan bergantung kepada Umno berpaling dan bergantung kepada PAS. Bagi saya, PAS belum berupaya menarik mereka selama ini.

Saya juga akan berusaha agar pemimpin PAS diterima sebagai pemimpin PR dan memasukkan banyak parti lagi ke dalam PR bukan setakat tiga sahaja, kerana dengan cara itu kita boleh kukuhkan PR dan tumbangkan BN.

TMI: Hudud sebahagian kecil syariah saja dan perlu kajian mendalam sebelum dilaksanakan. Boleh anda jelaskan?

Ahmad: Solat ini wajib bagi umat Islam, tetapi ada syarat untuk solat. Begitu juga hudud wajib, tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan? Perlu ada syarat-syaratnya. Hudud juga bukan keutamaan dalam Islam kerana berdasarkan fikah, ia terletak terkemudian berbanding dengan yang lain.

Fikah Islam disusun dengan memulakan ibadat dan ibadat yang utama pula solat. Selepas itu barulah muamalah dan selepas itu barulah undang-undang jenayah yang termasuk dalamnya hudud itu. Jadi kita perlu dahulukan yang dahulu dan kemudiankan yang kemudian.

Solat diutamakan dalam Islam kerana perlu dilaksanakan di mana saja kerana ia adalah asas untuk mendidik manusia mematuhi perintah Allah. Bila kita sudah terdidik dan patuh dengan Allah, apa yang diperintah oleh Allah semuanya akan mudah.
-TMI


UG Bertelagah, TITM Serang DAP, PAS Selangor Kata Tak Ada Isu Dgn DAP


Isu yang dibesarkan'

KLANG - Tekanan DAP terhadap Pas menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-61 nanti cuma isu yang diperbesarkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tidak ada isu tekanan DAP terhadap Pas sebagaimana yang digembar-gemburkan.

“Saya rasa ia cuma satu isu yang diperbesarkan sahaja. Saya kira tak ada apa isunya,” katanya selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Hari Kualiti Pendidikan 2015 Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), semalam.

Bercakap mengenai muktamar, Ahmad Yunus berkata, ia adalah jalan penyelesaian ke atas perkara-perkara yang didebatkan.

Katanya, keputusan akan dicapai selepas penggulungan dilakukan walaupun senarionya pelbagai.

“Ia macam tradisi yang biasa berlaku. Saya rasa ahli-ahli pun dah dewasa berkaitan dengan isu yang berlaku.

“Saya harap muktamar pada kali ini akan berakhir dengan baik. Macam carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga,” katanya. -SH


DAP banyak campur tangan urusan Pas

SHAH ALAM – Terlalu banyak campur tangan pimpinan DAP dalam pentadbiran Pas membuatkan seolah-olah wujud kumpulan dalam Pas yang suka mengikut nasihat DAP.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun DAP merupakan rakan komponen dalam PR, tetapi parti itu tidak sepatutnya mencampuri urusan dalam Pas.

“Seperti sekarang, pimpinan DAP seolah-olah cuba campur tangan dalam pemilihan Pas yang akan berlangsung Jun ini. Antaranya ialah DAP sering menyebut mengenai keperluan untuk Pas menukar kepimpinan.

“Apabila ada kenyataan daripada DAP, ia seolah-olah mencerminkan wujud situasi begitu (golongan yang menyokong DAP). Sepatutnya tiada orang luar yang menentukan hala tuju Pas,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin bahawa wujud dua golongan dalam Pas, iaitu yang menyokong DAP dan golongan yang setia mempertahankan dasar Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, segala kritikan dan campur tangan DAP tidak akan menjejaskan dasar parti Islam itu.

“DAP pernah menyatakan tidak menerima kepimpinan Abdul Hadi, tetapi masih kerjasama dengan Pas. Ini sesuatu yang pelik.

“DAP tidak perlu tunggu sehingga selepas muktamar ini untuk melihat dasar dan polisi Pas. Ini kerana, bagi kita, terutamanya golongan ulama dalam Pas, sama ada sebelum atau selepas muktamar, perjuangan kita tetap sama dan tidak berubah,” katanya.
-SH


ULASAN GB

Benci sangat dengan DAP... keluar lah Pakatan Rakyat.. apa tunggu lagi? Tapi tak mahu...

Haji Hadi sampai beri katadua kepada perwakilan, pilih dirinya atau calon yang ikut telunjuk DAP.

Dan beberapa pemimpin termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man (calon Timbalan Presiden) menyokong kenyataan Haji Hadi seperti laporan di atas kononnya DAP cuba campurtangan dalam pemilihan PAS.

Kenyataan Haji Hadi dan Tuan Ibrahim itu sebennarnya menyusahkan kumpulan mereka di Selangor yang kini membentuk kerajaan dengan PKR dan DAP di Selangor. Itu sebab exco Selangor dari PAS, Mohd Yunus Hairi membuat kenyataan "tekanan DAP terhadap Pas itu cuma isu yang diperbesarkan."

Dan kebanyakan ADUN-ADUN PAS Selanor tahu kemenangan mereka dulu adalah kerana sokongan kaum Cina yang rata-rata penyokong DAP. Serangan terhadap DAP akan meenyebabkan kedudukan mereka tergugat terutama yang dah jadi exco-exco. Kini kerusi exco-exco PAS bergegar, masing-masing dah kecut akan tertanggal semua. Mereka boleh kehilangan jawatan jika PAS keluar atau dikeluarkan dari Pakatan Rakyat. Malah ramai yang akan kecundang dalam pilihanraya jika PAS terus mengambil sikap bermusuh dengan DAP. Haji hadi dan TITM tak kasihan dan tak bersimpati pun dengan mereka.

Haji Hadi lansung tak memikirkan negeri-negeri yang multi-racial. Yang dilihat hanya Terengganu, dimana kaum Cina tidak ramai. Begitu jua Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di Jengka.... dimana kaum Cina boleh dibilang dengan jari.

Terus bermusuhan dengan DAP, berakirlah riwayat PAS Selangor...

31 Mei 2015

Serang Peribadi & Tuduh Ikut DAP Tanda Pro-UG Kehabisan Modal


Ahmad: Serang peribadi bukti habis modal

Pencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang kesal apabila budaya fitnah-memfitnah kini dilakukan pihak tertentu dalam parti itu khususnya menjelang pemilihan parti yang semakin hampir ke kemuncaknya.

Bekas naib presiden PAS itu mendakwa terdapat pihak yang melakukan "pembunuhan watak" dengan melakukan serangan peribadi kerana tidak mempunyai "modal" untuk mengecamnya berikutan keputusannya bertanding jawatan tertinggi parti.

"Mereka dah tak tahu nak kata apa lagi, sebab saya istiqamah dalam gerakan Islam
, saya juga dah ceritakan kenapa lima tahun dulu saya tidak aktif, saya juga ulama.

"Jadi sekarang ini apa yang dilakukan ialah pembunuhan watak.

"Dulu orang Umno yang fitnah, tapi sekarang ini orang PAS pula," katanya dalam forum Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015 di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Kira-kira lima hari lagi sebelum muktamar, Ahmad kini diserang oleh kumpulan pendukung status quo dalam PAS sebagai mengetuai "kumpulan yang lunak dengan DAP" .

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya.

Turut hadir sebagai ahli panel pada forum itu ialah bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Sementara itu bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata perpecahan yang berlaku dalam PAS kini turut melibatkan pihak luar daripada parti.

Profesional lari

Beliau juga mendakwa Umno tidak akan membiarkan PAS terus kuat bersama Pakatan dan menjadi punca berlaku perpecahan sehingga wujudnya dua kem dalam parti Islam itu.

"Politik adalah seni kepada kemungkinan. (Umno) kena buat sesuatu, kalau tidak imej Umno akan merudum. Jadi cara yang mesti dilakukan ialah pecahbelahkan Pakatan, PAS dan DAP perlu dilagakan.

"Dan cara nak pecahkan PAS pula ialah dengan memisahkan mereka dengan pihak ulama dan profesional. Saya tengok PAS jadi mangsa, sesetengah pemimpin PAS jadi mangsa.

"Selepas itu mereka kata golongan profesional nak menentang hudud. Mana ada pihak yang nak tentang hudud, yang saya tau (nak tentang hudud) Umnolah,
" katanya.

Justeru itu, bekas naib presiden Umno itu berkata lagi, menjelang muktamar PAS ke-61, beliau berharap agar parti itu tidak akan menyingkirkan golongan profesional.

Ini kerana, sekiranya PAS mengambil pendirian untuk menolak golongan profesional, dikhuatiri ia akan menjadikan parti itu lemah dan golongan tersebut tawar hati untuk menyertai PAS selepas ini.

"Kalau ulama buang profesisonal, lepas ini golongan ini tak nak masuk lagi ke dalam PAS. Yang tinggal hanya ulama.

"Lebih baik (PAS) jadi badan dakwah sahaja. Kita nak PAS dengan kekuatan yang boleh jadi alternatif kepada pimpinan negara,"
katanya lagi. -mk


Bekas MB Selangor ramal PAS dipinggir profesional selepas muktamar

Bekas menteri besar Selangor yang rancak bersama PAS sejak tahun 2013, Tan Sri Muhammad Muhd Taib memberi amaran parti Islam itu bakal dipinggirkan golongan profesional selepas muktamar ke-61 Jun ini.

Kenyataan itu dibuatnya selepas seminggu lalu mengkritik sesetengah pemimpin PAS yang pakar dalam agama, tetapi jahil ilmu ekonomi dan perkembangan semasa negara.

"Kalau selepas ini PAS buang golongan profesional, selepas ini golongan profesional tidak mahu masuk PAS lagi," kata bekas naib presiden Umno itu pada forum "Mampukah PAS Dilonjakkan Pasca Jun 2015?", malam tadi.

Pada 23 Mei lalu, Muhammad berkata mereka yang menghafal Al-Quran dan hadis, tetapi tidak dapat memahami isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak layak memimpin negara.

Disebabkan perkara itu, beliau dilaporkan mengaku mula hilang minat dengan PAS.

Menurut Muhammad yang juga dikenali sebagai Mat Taib, beliau akan menunggu selesai muktamar untuk menilai barisan kepimpinan baru PAS.

Namun, pada forum semalam, Muhammad menjelaskan beliau bukannya "merajuk" dengan seperti disangka sesetengah pihak.

"Bukan saya tidak minat dengan PAS, tetapi tidak minat perangai sesetengah pimpinan PAS," katanya pada forum anjuran Free Public Forum Malaysia itu.

Sementara itu, Muhammad turut menyatakan sokongan terbukanya kepada calon presiden PAS, Ahmad Awang yang mencabar penyandang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau yakin bekas naib presiden PAS itu mampu meletakkan parti pada landasan betul dalam kerangka kerjasama Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR.

Pesannya, PAS perlu mengelak dari memilih calon yang mahu menyokong Umno ketika parti itu hampir tumbang ditolak rakyat.

"Kita hendak orang yang memperkukuhkan PAS, dan memperkukuhkan PR. Oleh itu saya tengok Ustaz Ahmad Awang dia boleh memperkukuhkan PR,"
katanya.

Turut hadir pada forum itu adalah Ahmad Awang sendiri serta bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
-TMI


Zuhdi Marzuki Sah Bermulut & Tangan Yang Cirit Birit....


Zuhdi buat hal lagi, kali ini perlekeh anak Nik Aziz

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Ahmad Zuhdi Marzuki sekali lagi menimbulkan kontroversi kali ini memperlekehkan anak bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan ayahnya lebih mengutamakan Pakatan Rakyat (PR) daripada anak-anaknya sendiri.

Melalui perbualan di sebuah kumpulan WhatsApp, Zuhdi dikatakan mengkritik Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bercakap pada sebuah forum malam tadi.

"Bila TGNA meninggal dunia, yang solatkan dia dan menguruskan jenazahnya adalah anak-anak dia, tak nampak pula Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng lakukan semua itu," kata Zuhdi, di dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut yang hanya dikenali sebagai “Sayuti Shah Alam” yang memuat naik "Tok Guru Nik Aziz tatang Pakatan Rakyat lebih dari tatang anak sendiri, Nik Omar Nik Aziz," rentetan forum bertajuk “PAS dan Masa Depan Politik Islam Malaysia” yang dianjurkan di Shah Alam semalam.

"Eloklah kamu buat wasiat dari sekarang Sayuti, kalau kami mati nanti, minta Shaykh Kit Siang atau Sidi Guan Eng jadi imam, sebab kamu tatang mereka lebih dari anak sendiri," kata Zuhdi dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Sumber daripada Pemuda PAS berkata kepada The Malaysian Insider, kenyataan Zuhdi itu menunjukkan sikap sebenar pemimpin PAS tersebut.

"Secara peribadi saya tidak bersetuju, tetapi saya enggan respons," katanya.

The Malaysian Insider turut difahamkan, petikan kenyataan Zuhdi itu turut tersebar apabila ada anggota kumpulan WhatsApp itu menyebarkannya kepada pihak lain.

"Zuhdi sudah marah, dia kata ada pengkhianat yang sebar isi kandungan kumpulan WhatsApp," katanya, dan menambah, kumpulan khidmat pesanan mesej itu adalah kumpulan terbuka.

Zuhdi sebelum ini mencetuskan kontroversi melalui khidmat pesanan sama, apabila mencadangkan PAS bekerjasama dengan Umno bagi mengekalkan kepimpinan susulan krisis menteri besar Selangor ketika itu.

Melalui paparan skrin mesej WhatsApp dalam kumpulan AJK PAS Pusat yang bocor itu adalah:"Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi Adun PKR+12 Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB.

"Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serban, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So, mana-mana suara non Muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini," katanya, dalam mesej tersebut.

ULASAN GB

Sungguh dasyat mentaliti assabiyah golongan pro-UG ini.. sehingga tergamak bercakap demikian.

Kerana apa? Kerana DAP dikatakan menentang hudud. DAP sajakah menentang hudud? Gerakan dan MCA yang bersama UMNO itu tidak? Malah UMNO sendiri selama ini menyokong hudud?

Sebenarnya kumpulan UG ini memang anti-progresif. Masih lagi ingat kes-kesnya yang sebelum ini yang cuba menuduh Anwar nak serahkan Selangor kepada UMNO walhal beliaulah yang mencanangkan membentuk UG di Selangor:



Di dalam satu kes demontrasi di depan pejabar PAS, Zuhdi Marzuki pernah ditegur oleh Mustafa Ali sendiri menyatakan Zuhdi ini bukan saja bermulut cirit-birit, tetapi tangan pun sama. Baca: "Guling" Hadi: Mustafa Ali Tempelak Zuhdi Marzuki & Geng Mokhtar Senik